TEALIVE DAN DUTCH LADY LANCARKAN RANGKAIAN PRODUK TENUSU BERPERISA TEH SEDIA DIMINUM BAHARU
Tealive dan Dutch Lady baru-baru ini melancarkan rangkaian produk tenusu berperisa teh sedia diminum (ready-to-drink - RTD) baharu yang diinspirasikan daripada dua minuman ala kafe yang menjadi kegemaran ramai, iaitu teh susu dan matcha.
Gandingan antara Tealive, jenama teh gaya hidup terkemuka di Asia Tenggara, dan Dutch Lady, syarikat tenusu terkemuka Malaysia, menawarkan pengguna minuman ala kafe kegemaran mereka dalam bentuk RTD. Pengguna kini boleh menikmati Dutch Lady x Tealive Signature Milk Tea dan Signature Matcha pada bila-bila masa dan di mana sahaja, sama ada di rumah, di tempat kerja mahupun ketika dalam perjalanan.
MooTea (Signature Milk Tea) dan MeowCha (Signature Matcha) dihasilkan sebagai minuman tenusu berkrim yang kaya dengan kalsium serta sumber protein. Kedua-dua produk ini menggabungkan pengalaman Tealive dalam menghasilkan minuman ala kafe yang digemari ramai dengan warisan Dutch Lady yang dipercayai dalam nutrisi tenusu sejak sekian lama. MooTea memberikan rasa susu berkrim disulami aroma teh yang harum, mengingatkan kepada keenakan teh susu klasik manakala MeowCha mengimbangi rasa matcha lembut dengan susu yang lazat berkrim.
Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Loob Holding Sdn Bhd, Bryan Loo berkata, gandingan ini didorong daripada perubahan cita rasa pengguna. Rakyat Malaysia kini semakin peka terhadap pilihan minuman mereka, termasuk apa yang mereka minum, bila mereka menikmatinya, di mana mereka boleh mendapatkannya dan bagaimana pilihan tersebut sesuai dengan rutin harian mereka.
“Pengguna hari ini lebih cenderung memilih minuman yang sesuai dengan rutin harian mereka, tanpa perlu berkompromi dari segi kenikmatan rasa. Teh susu dan matcha terus menjadi pilihan ramai kerana sesuai dinikmati sepanjang hari,” katanya.
“Gandingan dengan Dutch Lady membuka peluang kepada Tealive untuk menjadi sebahagian daripada rutin harian pengguna di luar premis kami, dan di mana sahaja. Ia juga merupakan satu langkah penting dalam usaha kami memperkukuh aspirasi Tealive untuk terus berkembang sebagai jenama minuman gaya hidup yang menjadi sebahagian daripada isi rumah rakyat Malaysia.
“Apa yang membuatkan MooTea berbeza ialah bagaimana ia mengekalkan identiti rasa gula perang ikonik Tealive, yang digabungkan dengan kebaikan susu berkrim dan aroma teh yang lazat untuk menghasilkan rasa yang cukup dikenali penggemar Tealive,” katanya.
Rangkaian minuman baharu ini berteraskan konsep “bertemu”, yang menggambarkan bagaimana cita rasa, rutin dan detik harian bertemu serta saling melengkapi. “Bagi kami, ‘bertemu’ adalah tentang menyatukan pengalaman yang dinikmati bersama, di mana sahaja dan pada bila-bila masa," tambah Loo.
Veronika Utami, Pengarah Urusan Dutch Lady Milk Industries Berhad, berkata, gandingan ini mencerminkan usaha berterusan syarikat untuk terus berinovasi dalam memenuhi keperluan pengguna masa kini, dengan menggabungkan nutrisi berkualiti dan rasa yang enak dalam pengalaman minuman RTD yang praktikal dan sesuai dengan gaya hidup moden.
“Sebagai jenama yang dipercayai dan menjadi sebahagian daripada isi rumah rakyat Malaysia selama beberapa generasi, Dutch Lady sentiasa berusaha mempertingkatkan hubungan dengan pengguna kami. Melalui gandingan ini, kami dapat menawarkan minuman teh ala kafe dalam bentuk RTD yang bukan sahaja mengandungi kalsium dan protein, malah memenuhi cita rasa pengguna yang mencari gabungan kenikmatan dan kemudahan dalam pilihan minuman mereka,” katanya.
MooTea dan MeowCha diperkenalkan ketika kecenderungan pengguna meningkat terhadap pilihan minuman RTD yang menawarkan kemudahan dan lebih sesuai dengan gaya hidup moden. Minuman tenusu RTD makin relevan dalam penggunaan harian, didorong oleh ketersediaan yang meluas menerusi pelbagai saluran peruncitan.
Seiring dengan permintaan pengguna terhadap variasi minuman yang semakin meningkat, gandingan seperti ini mencerminkan bagaimana jenama yang dipercayai dapat menggabungkan rasa, kualiti dan pengalaman untuk kekal relevan dengan perubahan gaya hidup serta cita rasa semasa.
Bagi memeriahkan pelancaran ini, Dutch Lady dan Tealive akan menganjurkan aktiviti selama lima hari di Sunway Pyramid bermula dari 24 hingga 28 Jun 2026. Aktiviti ini akan membawakan pelbagai zon interaktif, pengalaman interaktif secara langsung, sesi merasa produk serta detik-detik yang boleh dikongsi. Pengunjung juga berpeluang mencuba rangkaian minuman baharu tersebut sambil merasai sendiri bagaimana keenakan minuman ala kafe dan kebaikan susu bertemu dalam detik-detik harian.
.jpg)
.jpg)
%20(Custom).jpg)
Comments
Post a Comment