ANOM SURAYA: ADAPTASI NOVEL LARIS KINI DI SLOT LESTARY TV3
Lahir daripada minda dan ilham dua generasi, Anom Suraya mengangkat sebuah karya istimewa yang mempertemukan sentuhan novelis popular Dr. Samsiah Mohd. Nor bersama anaknya, Daiyan Trisha. Diadaptasi daripada novel yang pernah mencuri perhatian pembaca, drama ini membawa kisah cinta, pengorbanan dan pilihan hidup yang mampu mengubah takdir, sekali gus menghidupkan semula sebuah naskah malar segar yang kekal diingati sejak era 1990-an.
Bakal bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam menerusi slot Lestary TV3 mulai 4 Julai 2026 ini, Anom Suraya diarahkan oleh Osman Ali dan diterbitkan oleh Nuansa Film Sdn Bhd. Drama 13 episod ini diterajui oleh Daiyan Trisha bersama Idris Khan, Yusuf Bahrin, Fazlina Dato’ Ahmad Daud, Halim Radzi, Puteri Khareeza, Iman Suhana dan ramai lagi. Istimewa sempena tayangan perdananya, penonton bakal disajikan dengan siaran eksklusif selama dua jam menerusi tayangan dua episod pertama secara berturut-turut pada Sabtu ini, 4 Julai, bermula jam 9.00 malam.
Diterbitkan pada tahun 1992, Anom Suraya menjadi antara novel Melayu paling laris pada era penerbitannya, dengan 4 hingga 5 cetakan semula susulan sambutan hangat daripada para pembaca.
Tidak sekadar menampilkan kisah cinta biasa, karya ini dikenang kerana jalan ceritanya yang penuh turun naik emosi dan dekat dengan realiti kehidupan masyarakat. Setiap watak dibangunkan dengan identiti tersendiri, disulami elemen kehidupan Melayu yang menjadi antara kekuatan karya ini.
Drama ini mengikuti kehidupan Anom (Daiyan Trisha), seorang gadis kampung yang berhijrah ke Kuala Lumpur demi membantu ibunya dengan bekerja sebagai pembantu rumah di kediaman Puan Raden. Di situ, Anom menjaga Bakhtiar (Idris Khan) serta adiknya, Badrol (Yusuf Bahrin) yang berdepan masalah kesihatan mental, sebelum kehadirannya mula membawa perubahan dalam kehidupan mereka.
Namun, keadaan menjadi rumit apabila hubungan Anom dan Bakhtiar menimbulkan bibit cinta, sementara Badrol turut mula menyimpan perasaan terhadapnya. Dalam masa sama, Puan Raden berharap Anom dapat terus membantu menenangkan Badrol demi kestabilan keluarganya, sekali gus meletakkan Anom dalam dilema.
Menariknya, Anom Suraya turut membawa nilai sentimental buat Daiyan Trisha apabila drama ini merupakan adaptasi daripada novel tulisan ibunya sendiri, Dr. Samsiah. Berkongsi tentang pengalaman tersebut, Daiyan berkata, “Saya dan Anom Suraya lahir daripada orang yang sama. Novel ini sangat dekat dengan keluarga saya kerana ia merupakan antara karya yang paling bermakna buat ibu dan paling disenangi ayah. Sebab itu, peluang untuk membawa Anom ke layar kaca datang dengan tanggungjawab yang cukup besar, dan saya berharap dapat memberi penghormatan yang sebaiknya kepada karya ini menerusi lakonan saya.”
Pengarah terkenal, Osman Ali, turut berkongsi pandangannya tentang kekuatan karya ini, “Apa yang membuatkan Anom Suraya kekal relevan ialah kejujuran penceritaannya. Kekuatan penulisan Dr. Samsiah menjadi asas kepada perjalanan setiap watak, dan sebagai pengarah, tanggungjawab saya adalah memastikan roh karya itu terus terpelihara apabila diterjemahkan ke layar agar penonton dapat memahami, merasai dan percaya dengan setiap perjalanan yang dipaparkan.”
Dr. Samsiah Mohd Nor, ibunda kepada Daiyan Trisha, juga berkongsi pandangan beliau, “Anom Suraya lahir daripada jiwa seorang ibu dan seorang penulis, yang mencurahkan rasa, pengalaman dan pemerhatian terhadap kehidupan sebenar ke dalam satu naskah. Karya ini bukan sekadar sebuah kisah cinta, tetapi tentang pilihan hidup yang sering menuntut pengorbanan tanpa syarat, tentang bagaimana manusia terpaksa berdepan dilema antara hati, tanggungjawab dan takdir yang tidak selalu memihak kepada mereka.”
Saksikan Anom Suraya menerusi siaran eksklusif selama dua jam yang membawakan dua episod pertama secara berturut-turut pada Sabtu ini, 4 Julai, bermula jam 9.00 malam di slot Lestary TV3. Drama ini kemudiannya akan bersiaran setiap Jumaat dan Sabtu, jam 9.00 malam.
Penonton juga boleh strim episod baharu 24 jam lebih awal di www.tonton.com.my, atau muat turun aplikasi Tonton di Google Play dan App Store.
Untuk maklumat lanjut dan perkembangan terkini, ikuti TV3 di Facebook, X, YouTube dan Instagram @TV3Malaysia, serta Instagram rasmi Drama Sangat di @dramasangat.
.jpg)
Comments
Post a Comment