GURU MATEMATIK DINOBAT PEMENANG KUIZ UTAMA SALAM BAITULLAH 2026


Seorang guru mata pelajaran Matematik dari Perak, Mohd Fadhlurrahman bin Othman dinobatkan pemenang utama Kuiz Salam Baitullah 2026. Menerima pakej menunaikan umrah untuk dua orang, hadiah disampaikan oleh Encik Ashwad Ismail, Ketua Pengarah Penyiaran pada majlis yang berlangsung di Mardhiyyah Hotel & Suites, Shah Alam, baru-baru ini.

Dengan slogan dipertaruhkan iaitu ‘Pertama kali mendengar lagu OST Salam Baitullah... Bait-bait indah yang penuh makna mencengkam kerinduan dalam relung sukma pencetus inspirasi jihad generasi muda memangkin istiqomah menempuh perjalanan terindah’, telah berjaya menambat hati juri daripada ribuan penyertaan yang diterima.

Merupakan salah seorang pendidik di sebuah sekolah menengah agama swasta di Pengkalan Hulu, Perak, beliau yang telah pun mula mengikuti program ini sejak tahun 2014 lagi berhasrat mahu membawa ibunya menunaikan umrah bersama-sama tahun hadapan.


Kemenangan ini disifatkan pemuda berusia 39 tahun ini sebagai sesuatu yang tidak dijangka dan bersyukur dengan rezeki dikuniakan Allah SWT ini. Dijangka bakal berangkat menunaikan umrah pada tahun hadapan, beliau merancang menyertai kursus umrah sebagai persiapan awal.

Program Salam Baitullah musim ke-18 ini ternyata berjaya mencatat sejarah tersendiri apabila meraih lebih 19 juta tontonan merentasi pelbagai platform penyiaran. Pencapaian ini merupakan peningkatan jumlah tontonan tertinggi sejak program berkenaan mula diterbitkan pada tahun 2009.

Jumlah tontonan musim ke-18 meningkat lebih empat kali ganda berbanding hampir lima juta tontonan yang direkodkan pada musim ke-17 tahun lalu.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, televisyen kekal menjadi platform utama dengan merekodkan 16.2 juta tontonan. Baki tontonan disumbangkan menerusi media sosial serta platform RTMKlik.

“Pencapaian bersejarah ini menyuntik keyakinan kepada pasukan penerbitan RTM untuk melangkah lebih jauh. Sambutan luar biasa itu juga memberi gambaran masyarakat mahukan kandungan yang mengisi jiwa serta menekankan pemantapan kerohanian, bukan hanya berkisar mengenai musim haji, tetapi bagaimana mengekalkan kekuatan dalaman selepas kembali dari Tanah Suci,” katanya.

Menurut beliau, sambutan menggalakkan daripada golongan muda, khususnya Generasi Z, turut membuktikan minat mereka terhadap kandungan berteraskan ilmu, nilai kemanusiaan dan kerohanian semakin meningkat.

Program yang bersiaran selama 16 episod itu turut memperkenalkan segmen baharu, Istiqamah. Segmen berkenaan memberi penekanan kepada kepentingan mengekalkan perubahan diri serta meneruskan penghayatan kerohanian selepas pulang dari Tanah Suci.

Sepanjang musim ini, Salam Baitullah mengangkat tema Jihad Yang Terindah yang menumpukan kepada usaha memperbaiki diri, memelihara akhlak, mengawal nafsu dan membentuk masyarakat yang lebih harmoni.

Majlis penutup Salam Baitullah 2026 turut diserikan persembahan nyanyian oleh Wany Hasrita, Raqib Majid dan Lah Ahmad yang menyampaikan lagu tema dengan judul sama, Salam Baitullah.

Comments

Popular posts from this blog

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

GELAGAT JANNA NICK DAN DINI BAKAL MENCUIT HATI PENONTON DALAM DRAMA ‘SELAMAT PENGANTIN HARU!’

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA