SABHI SADHI HIDUPKAN SEMULA MAGIS CINTA DENGAN “ROMANSA”


Selepas mencipta fenomena melalui lagu hit “Cinta Sesungguhnya”, penyanyi kelahiran Sabah, Sabhi Sadhi, kembali dengan taruhan terbaharu berjudul “ROMANSA”. Lagu ini sarat dengan elemen cinta, kebahagiaan serta penghargaan terhadap hubungan yang dibina atas dasar kesetiaan dan pengorbanan, sekali gus mengukuhkan reputasi Sabhi sebagai penyanyi balada romantis pilihan ramai.

Menurut Sabhi, proses pemilihan lagu ini dilakukan dengan penuh teliti kerana beliau mahu setiap karya yang dihasilkan benar-benar mencerminkan identiti seni dan perjalanan muziknya. “Saya memang seorang yang sangat memilih dalam soal lagu. Biasanya saya mengambil masa dua hingga tiga tahun untuk hadir dengan karya baharu kerana saya mahu pastikan mesejnya memberi impak positif kepada pendengar,” jelasnya.

Menariknya, “ROMANSA” turut mengekalkan aura sentimental seperti “Cinta Sesungguhnya”, namun dengan jalan cerita berbeza. Jika karya terdahulu lebih berfokus kepada konsep perkahwinan, kali ini Sabhi membawa naratif perjalanan cinta sepasang kekasih yang berdepan pelbagai dugaan sebelum kembali bersatu.


Sabhi tidak menolak apabila dirinya dilabel sebagai penyanyi ‘wedding’ kerana lagu-lagunya sering menjadi pilihan pasangan untuk mengiringi hari bahagia. “Saya anggap itu sebagai rezeki. Kalau karya saya dekat dengan hati pendengar sehingga dijadikan lagu perkahwinan, itu satu penghargaan besar,” katanya.

Dalam penghasilan “ROMANSA”, Sabhi bekerjasama dengan komposer Farouk Roman dan penulis lirik Senna. Farouk mendedahkan bahawa inspirasi lagu ini lahir daripada gabungan pengalaman peribadi dan pemerhatian terhadap kisah kehidupan sekeliling. “Tema cinta dan kehilangan sangat dekat dengan masyarakat. Saya percaya karya yang lahir daripada emosi jujur lebih mudah menyentuh hati,” ujarnya.

Muzik video “ROMANSA” pula tampil dengan konsep dramatik – mengangkat perjalanan cinta daripada pertemuan, perpisahan hingga penyatuan semula dalam ikatan perkahwinan. Lebih istimewa, Sabhi sendiri bertindak sebagai pengarah muzik video dan membimbing pelakon baharu untuk menjiwai emosi yang diperlukan.

Dengan melodi romantis, lirik puitis serta visual dramatik, “ROMANSA” diyakini mampu mencipta hubungan emosi mendalam bersama pendengar, sekali gus mengulangi kejayaan besar yang pernah diraih melalui “Cinta Sesungguhnya”.


Diterbitkan oleh AJ Productions, lagu ini kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama termasuk Spotify, Apple Music dan YouTube Music.

Comments

Popular posts from this blog

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

GELAGAT JANNA NICK DAN DINI BAKAL MENCUIT HATI PENONTON DALAM DRAMA ‘SELAMAT PENGANTIN HARU!’

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA