SENTUHAN KASIH “SUPER MUMMY” WANY HASRITA: SELAMI REALITI INDAH DUNIA KEIBUAN MENERUSI OH MUMMY!+ MULAI 5 JULAI INI


Selepas mencuri perhatian penonton menerusi Oh Mummy sepanjang bulan Ramadan, program realiti kekeluargaan ini kembali dengan nafas baharu menerusi Oh Mummy!+, sebuah siri spin-off yang tampil dengan pengisian lebih segar, mendalam dan menyentuh hati. Bakal bersiaran mulai 5 Julai 2026, setiap hari Ahad, jam 7.50 malam di TV3, program ini mengajak penonton menyaksikan sisi peribadi kehidupan penyanyi popular Wany Hasrita dalam mengharungi fasa baharu sebagai seorang Super Mummy kepada anak perempuannya, Aishah Al Iman.

Menerusi siri mini lapan episod berdurasi 10 minit ini, Oh Mummy!+ mengetengahkan cabaran yang dilalui Wany sebagai seorang ibu yang menjalani perkahwinan jarak jauh (LDR), apabila suaminya bertugas di Sarawak. Dalam menggalas tanggungjawab membesarkan Aishah di Semenanjung, Wany berkongsi pelbagai pengalaman yang dekat dengan kehidupan ramai ibu bapa hari ini, daripada mengurus rutin harian dan mengimbangi kerjaya seninya yang padat, sehinggalah detik-detik mencuit hati serta momen penuh kasih sayang yang mewarnai proses tumbesaran anaknya.

Sepanjang lebih sedekad mewarnai industri seni tanah air, Wany Hasrita terus mengukuhkan namanya sebagai antara penyanyi popular negara menerusi pelbagai karya dan pencapaian membanggakan, termasuk dinobatkan sebagai Bintang Paling Popular di ABPBH 31 (2018) serta meraih tempat ketiga di AJL35 (2021) menerusi lagu duet bersama Datuk Jamal Abdillah, Belenggu Rindu.

Di sebalik kejayaan di pentas seni serta latar belakang akademiknya dalam bidang Sains Perubatan, kini Wany melangkah ke satu lagi fasa yang paling bermakna dalam kehidupannya iaitu sebagai seorang ibu. Menerusi Oh Mummy!+, penonton berpeluang mengenali sisi berbeza Wany di luar dunia hiburan apabila beliau berkongsi perjalanan membesarkan Aishah Al Iman dengan penuh kasih sayang, kesabaran dan keikhlasan.

"Setiap tawa, tangisan, dan langkah kecil Aishah adalah memori yang amat berharga. Walaupun berjauhan dengan suami, tanggungjawab ini saya galas dengan penuh kasih sayang. Saya berharap perkongsian yang jujur dalam Oh Mummy!+ ini dapat memberi inspirasi dan kekuatan kepada ibu-ibu lain yang turut melalui fasa yang sama,” kata Wany Hasrita.

Melalui perkongsian yang jujur dan bersahaja itu, Oh Mummy!+ bukan sekadar memaparkan rutin harian seorang selebriti, malah meraikan perjalanan seorang ibu moden dalam mengimbangi keluarga dan kerjaya, sambil mengangkat nilai kasih sayang, kesabaran dan pengorbanan dalam membesarkan anak.

Jangan ketinggalan untuk menyaksikan momen manis, mencuit hati dan keceriaan bersahaja Wany Hasrita bersama si kecil Aishah Al Iman dalam Oh Mummy!+ bermula 5 Julai ini, setiap hari Ahad pada jam 7.50 malam di TV3 dan strim juga melalui Tonton.

Comments

Popular posts from this blog

DRAMA BAHARU AKASIA TV3: “LUKA DI HUJUNG SETIA” GANDINGKAN DATO’ ADI PUTRA & ZARA ZYA

GELAGAT JANNA NICK DAN DINI BAKAL MENCUIT HATI PENONTON DALAM DRAMA ‘SELAMAT PENGANTIN HARU!’

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA