TOYOTA START YOUR IMPOSSIBLE OUTRUN 2026 HIMPUN LEBIH 7,500 PESERTA DAN KUMPUL RM200,000 UNTUK MEMERANGI KANSER
UMW Toyota Motor (UMWT) dengan jayanya menutup tirai Toyota Start Your Impossible (SYI) Outrun 2026, apabila acara ini kembali untuk edisi kelima di Dataran Wawasan, Putrajaya dengan penyertaan lebih 7,500 peserta serta berjaya mengumpul RM200,000 bagi menyokong National Cancer Society of Malaysia (NCSM). Dianjurkan pada Ahad, 5 Julai 2026, larian amal tahunan ini terus mengukuhkan kedudukannya sebagai acara komuniti pilihan yang menyatukan rakyat Malaysia melalui kecergasan, cabaran peribadi dan sokongan terhadap perjuangan berterusan.
Acara ini menampilkan kategori Larian Santai 5KM, Larian Kompetitif 10KM dan 21KM, menyambut penyertaan keluarga, pelari baharu, peserta setia dan pelari kompetitif dari awal pagi sehingga ke garisan penamat. Edisi 2026 mencatatkan sambutan memberangsangkan dengan 2,200 peserta menyertai Larian Kompetitif 10KM dan 1,800 peserta menamatkan cabaran 21KM.
“Yang menjadikan edisi kelima ini begitu bermakna ialah sokongan berterusan di belakangnya. Toyota SYI Outrun kini menjadi larian pertengahan tahun yang dinanti rakyat Malaysia kerana ia mudah diakses, membawa mesej positif dan berkait dengan perjuangan yang relevan. Bagi UMWT, ini mencerminkan nilai membina inisiatif komuniti secara konsisten, di mana setiap edisi memperkukuh penyertaan, kesedaran dan sokongan praktikal untuk organisasi seperti NCSM. Kami amat berterima kasih kepada para pelari, rakan kongsi, penyokong dan sukarelawan yang menjadikan acara tahun ini satu lagi pencapaian bermakna,” kata Datuk Ravindran K., Presiden UMW Toyota Motor.
Sejak diperkenalkan pada 2019, Toyota SYI Outrun telah menyokong pelbagai perjuangan berkaitan kesejahteraan dan inklusiviti, bermula dengan Majlis Paralimpik Malaysia dan diteruskan dalam edisi-edisi terkini bersama NCSM.
Sorotan Hari Perlumbaan
Berlatarbelakangkan mercu tanda ikonik Putrajaya, Toyota SYI Outrun 2026 menawarkan laluan larian yang indah serta suasana meriah di kampung acara, menghimpunkan peserta, penyokong, sukarelawan dan rakan kongsi sepanjang pagi.
Perlumbaan kompetitif menambah tenaga keseluruhan acara dengan jumlah hadiah bernilai RM138,000 diberikan kepada 10 peserta teratas bagi setiap kategori kompetitif.
Acara ini turut menandakan penampilan pertama Muhammad Ammar Aiman Nor Azmi di acara UMWT selepas debut rasminya dalam Global Team Toyota Athlete (GTTA) – platform global Toyota yang menghimpunkan atlet yang menjelmakan semangat mencabar batasan serta memberi inspirasi kepada perubahan positif melangkaui pertandingan. Pelari pecut para kelahiran Johor dan pemenang pingat emas Asian Para Games ini membawa mesej Start Your Impossible ke kehidupan nyata, mencerminkan keyakinan Toyota terhadap konsep Mobility for All serta kepentingan mewujudkan peluang sukan dan masyarakat yang lebih inklusif.
Sebagai sebahagian daripada inisiatif global Start Your Impossible, Toyota SYI Outrun menzahirkan komitmen UMWT dalam membina platform komuniti yang menggalakkan rakyat Malaysia untuk turut serta, kekal aktif dan menyokong perjuangan yang bermakna. Dengan edisi kelima ini, UMWT berhasrat untuk terus memperkukuh Outrun sebagai wadah yang menyatukan rakyat Malaysia dalam menyokong NCSM serta komuniti yang lebih luas.
.jpg)
%20Outrun%202026%20(Custom).jpg)
Comments
Post a Comment