'BISIKAN NAFSU' SARAT MESEJ KEMASYARAKATAN, ANGKAT ISU SENSITIF KE LAYAR PERAK
Isu jenayah seksual membabitkan kes bapa tiri merogol anak sentiasa menjadi topik sensitif yang mendapat perhatian ramai. Walaupun undang-undang mengenakan hukuman berat, kes-kes membabitkan haruan makan anak ini masih lagi kerap berlaku dalam masyarakat. Keprihatinan terhadap fenomena sosial ini telah mendorong penerbit popular, Dato' A. Aida, untuk menterjemahkan realiti berkenaan menerusi naskhah layar lebar terbaharu berjudul Bisikan Nafsu.
Filem arahan Riza Baharudin ini bukan sekadar mengupas isu jenayah seksual dalam kekeluargaan, malah turut mengetengahkan nilai kasih sayang, pengorbanan, dan kesetiaan yang sukar dicari. Dato' A. Aida, yang bertindak sebagai penerbit eksekutif serta penulis skrip, menjelaskan bahawa objektif utama filem ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat, terutamanya golongan ibu yang berkahwin semula, agar sentiasa peka terhadap keselamatan anak perempuan. Pada masa sama, beliau turut menekankan kepentingan menjaga penampilan diri agar tidak mengundang perkara yang tidak diingini.
Selain aspek kesedaran sosial, Bisikan Nafsu turut menonjolkan nilai kesetiaan seorang lelaki. Menurut Dato' A. Aida, kebiasaannya apabila timbul tragedi berat sebegini, ada lelaki yang memilih untuk meninggalkan pasangan. Namun menerusi naskhah ini, beliau ingin memaparkan bahawa masih wujud lelaki yang sanggup berdiri kukuh di sisi insan tersayang walaupun diuji dengan ujian paling perit.
Naskhah ini menceritakan kisah Nadia, seorang wanita yang mengalami kemurungan dan trauma teruk selepas menjadi mangsa rogol bapa tirinya sendiri, UR (Ustaz Romantik). Akibat gangguan emosi yang melampau, Nadia membuat keputusan untuk memutuskan pertunangan dan cuba menamatkan riwayat hidupnya beberapa kali. Di sebalik kegelapan hidup Nadia, hadir tunangnya, Arisz, yang tidak berputus asa. Arisz memilih untuk terus setia, menyiasat punca perubahan sikap Nadia, serta memberikan sokongan padu tanpa syarat.
Dari sudut pembentukan watak, filem ini menampilkan garapan cerita yang mendalam. Watak UR, yang dipegang oleh Zul Huzaimy, merupakan seorang penceramah popular yang bersikap playboy di belakang isterinya, Alyssa (dijayakan oleh Aleza Shadan). Alyssa yang dibutakan oleh cinta turut memaafkan kelakuan UR walaupun mengetahui kecurangan suaminya bersama rakan baiknya sendiri, Aida (Watie Sadali). Pelakon muda Azeva memegang watak utama sebagai Nadia, manakala Aniq Suhair memegang peranan sebagai Arisz.
Filem terbitan Hello Production Sdn. Bhd. dengan kerjasama A. Aida Production dan Mache Allstar United ini turut membariskan gabungan pelakon baharu dan senior seperti Raja Azmi (Lola), Ezzaty Abdullah (Siti), Aishah Husna (Kak Ma), serta Lan Siro (Pak Soma). Penonton juga bakal dihiburkan dengan penampilan istimewa daripada Ameng Spring dan Siti Khadijah.
Projek ini turut melakar sejarah tersendiri apabila menjadi produk sulung terbitan Hello Production, sebuah syarikat produksi baharu yang diasaskan oleh Azeva. Dato' A. Aida berkongsi bahawa penubuhan syarikat tersebut adalah atas permintaan anaknya sendiri yang mahu menimba pengalaman dalam industri penerbitan dari peringkat asas. Menurutnya, seseorang penerbit yang baik perlu memahami keseluruhan proses produksi dari A hingga Z.
Kerjasama ini turut disambut baik oleh pemilik Mache Allstar United, Kolonel Bersekutu (PA) Datuk Arisz Ab. Rahman. Beliau menyifatkan Dato' A. Aida sebagai mentor yang banyak memberi bimbingan ketika beliau mula menceburi dunia penerbitan drama televisyen. Filem Bisikan Nafsu menjadi projek perintis bagi kerjasama mereka, dengan pembahagian tugas yang menyaksikan Dato' A. Aida mengendalikan aspek kreatif dan kandungan, manakala Datuk Arisz menguruskan kewangan serta operasi produksi.
Bagi pengarah Riza Baharudin, peluang mengendalikan filem ini merupakan satu tanggungjawab besar. Meskipun mengakui berasa sedikit gugup kerana ini merupakan pengalaman pertamanya mengarahkan filem, beliau berusaha memberikan hasil terbaik mengikut bajet yang disediakan. Antara cabaran utama yang dihadapi sepanjang penggambaran termasuk babak aksi yang memerlukan pelakon terjun dari kawasan air terjun setinggi enam tingkat serta babak menyelam dalam air untuk tempoh yang lama. Walau bagaimanapun, beliau luahkan rasa lega atas komitmen penuh yang diberikan oleh barisan pelakon.
Hasil gabungan elemen suspen, pengajaran sosial, dan emosi ini dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 1 Oktober 2026.
.png)
.jpg)
Comments
Post a Comment