CHENG LEI CURI PERHATIAN DI MALAYSIA MENERUSI KEMUNCULAN SULUNG DI IQIYI STARSHIP 2026

Peminat Malaysia disajikan dengan sebuah petang yang penuh keterujaan apabila Duta Global Antarabangsa iQIYI, Cheng Lei (丞磊) membuat kemunculan sulungnya di Malaysia bersama iQIYI menerusi iQIYI STARSHIP 2026, yang berlangsung baru-baru ini di Sunway Velocity Mall, Kuala Lumpur.

Acara tersebut memberi peluang kepada Cheng Lei untuk mendekati peminat tempatan menerusi permainan interaktif dan pelbagai momen istimewa di atas pentas, sebelum diteruskan dengan satu sesi sidang media khas.

Cheng Lei Curi Hati Peminat Malaysia

Acara pada petang itu dimulakan dengan kehadiran para peminat yang berkumpul untuk menyambut Cheng Lei, selain berpeluang melihat sisi dirinya yang lebih santai dan mencuit hati, jauh berbeza daripada watak-watak yang sering dibawakannya di layar.

Antara momen yang paling mencuri perhatian adalah apabila Cheng Lei belajar beberapa ungkapan Bahasa Melayu dan menggunakannya secara bersahaja untuk menceriakan suasana serta mencuri hati para peminat. Aksinya itu disambut dengan sorakan dan gelak tawa daripada para peminat, sekali gus memberikan sentuhan istimewa yang dekat dengan budaya Malaysia sempena kemunculan sulungnya di iQIYI STARSHIP di negara ini.

Suasana kemudiannya bertukar lebih menyentuh hati apabila Cheng Lei membaca mesej daripada para peminat dan menonton sebuah video khas yang dihasilkan oleh mereka. Momen tersebut mencipta satu hubungan yang cukup dekat, hangat dan bermakna antara Cheng Lei dan para peminat yang hadir.

Pada penghujung acara terbuka kepada umum itu, Yang Xianghua, Presiden iQIYI International, menyampaikan sebuah anugerah penghargaan kepada Cheng Lei sebagai tanda pengiktirafan atas peranannya sebagai DUTA GLOBAL ANTARABANGSA iQIYI.

Dinesh Ratnam, Pengarah Urusan Kanan iQIYI Asia Tenggara, berkata: “Membawa iQIYI STARSHIP ke Malaysia buat kali kedua pada tahun ini mencerminkan kekuatan pasaran Malaysia serta peningkatan minat dan penglibatan peminat tempatan terhadap hiburan dari China. Selepas kemunculan artis seperti Luo Zheng, Chen Zheyuan dan Esther Yu sebelum ini, kami amat berbesar hati untuk mengalu-alukan kehadiran Cheng Lei dan mendekatkannya dengan peminat Malaysia. Menerusi promosi drama, acara bersama peminat dan pengalaman eksklusif, iQIYI STARSHIP membolehkan kami membawa pengalaman hiburan melangkaui skrin, di samping mengeratkan hubungan antara artis China dan penonton tempatan.” 

Daripada Watak Popular kepada Pengiktirafan Antarabangsa yang Semakin Meningkat

Populariti Cheng Lei terus berkembang dalam kalangan penonton antarabangsa, didorong oleh portfolio drama-drama China yang mendapat sambutan luas. Drama lakonannya, How Dare You!? (成何体统), kini menjadi antara drama China paling popular di iQIYI International, dengan wataknya sebagai Xiahou Dan, seorang “maharaja yang berpindah dunia” dengan sisi perwatakan yang penuh kontras, berjaya menarik perhatian dan mendapat tempat di hati penonton.

Karya-karya popularnya yang lain termasuk Legend of the Female General (锦月如歌) dan Shadow Love (与晋长安). Para peminat juga tidak sabar menantikan kemunculan drama terbaharunya, Leading Stars (许你星河千里).

Cheng Lei berkata: “Ini merupakan kali pertama saya menyertai iQIYI STARSHIP di Malaysia dan saya sangat gembira dapat bertemu dengan semua peminat di sini. Sambutan yang diberikan sangat luar biasa dan melihat sendiri keterujaan semua orang menjadikan kunjungan kali ini lebih bermakna dan sukar dilupakan. Saya amat menghargai segala sokongan yang diberikan dan berharap dapat kembali ke Malaysia pada masa akan datang.”

Meneruskan Interaksi Bersama Media Malaysia dan Serantau

Selepas acara terbuka kepada umum, Cheng Lei turut meluangkan masa bersama media Malaysia dan serantau menerusi satu sesi sidang media khas.

Dalam sesi tersebut, beliau berkongsi pandangannya mengenai Malaysia, pengalaman menikmati makanan tempatan serta perjalanan kariernya sebagai seorang pelakon, termasuk cabaran dan proses kreatif yang dilalui dalam menghidupkan pelbagai watak yang dibawakan di layar.

Comments

Popular posts from this blog

KEMPEN "MARI BER-CAROUSELL" GALAK AKTIVITI “DECLUTTERING”

AEON MALL RAIKAN KEMERIAHAN PESTA KUIH BULAN 2026 MENERUSI KEMPEN “CHERISH REUNIONS”

JYNNS BUKA FLAGSHIP STORE DI PAVILION KUALA LUMPUR, PERKENAL SEMBURAN MULUT PROPOLIS MADU TRIGONA

ADAKAH RAKYAT MALAYSIA TERLEPAS PANDANG RISIKO SEBENAR DI SEBALIK PENYAKIT JANTUNG?

HUAWEI KEKAL SEBAGAI JENAMA JAM TANGAN PINTAR NO.1 GLOBAL SERTA MENERAJU PASARAN MALAYSIA BAGI SEPARUH PERTAMA 2026