HEALTH SUMMIT ASIA (HSA) 2027: MEMACU INOVASI, AKSES PASARAN DAN PERTUMBUHAN EKONOMI DI SELURUH EKONOMI KESIHATAN ASIA YANG BERNILAI RM20 TRILION
Health Summit Asia (HSA) akan kembali berlangsung pada 5 hingga 7 Mei 2027 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, dengan tema “One Ecosystem. One Pulse. Shaping the Future of Health Economy”. Penganjuran ini bertepatan dengan perkembangan pasaran kesihatan Asia yang diunjurkan mencecah US$5 trilion (RM20 trilion) menjelang 2030, seiring dengan keperluan populasi yang semakin menua.
Asia kini merangkumi 60% daripada populasi dunia yang berumur 65 tahun ke atas. Suruhanjaya Ekonomi dan Sosial Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Asia dan Pasifik (UNESCAP) menganggarkan jumlah penduduk berusia 60 tahun ke atas di rantau Asia-Pasifik akan meningkat dua kali ganda, daripada 670 juta pada 2022 kepada 1.3 bilion menjelang 2050.
Perubahan demografi ini menjadikan penyampaian perkhidmatan kesihatan secara mampan semakin mendesak, khususnya di Malaysia, yang menurut unjuran Bank Dunia akan menjadi masyarakat menua menjelang 2044 (14% penduduk berusia 65 tahun ke atas) dan masyarakat sangat menua menjelang 2056 (20% ke atas).
Mengulas kepentingan acara itu pada majlis pelancaran awal HSA 2027, Yang Berhormat Dato’ Hajjah Hanifah Hajar Taib, Timbalan Menteri Kesihatan Malaysia, berkata, “HSA 2027 selari dengan matlamat penjagaan kesihatan negara serta strategi kesihatan awam-swasta Malaysia. Acara ini mencerminkan hakikat penting bahawa kemajuan dalam sektor kesihatan tidak lagi boleh dicapai secara berasingan. Sebaliknya, ia memerlukan usaha bersepadu dan kerjasama merentas kerajaan, penyedia perkhidmatan kesihatan, industri, akademia, pelabur, inovator serta keseluruhan ekosistem ekonomi kesihatan.
“Dengan menghimpunkan pemimpin dan pakar dari seluruh rantau, saya percaya HSA mampu menyumbang secara bermakna ke arah membina masyarakat yang lebih sihat, produktif dan berdaya tahan.”
Bagi mempercepatkan impak sebenar dalam pasaran, HSA 2027 akan memperkenalkan Market Access Clinics, sebuah program praktikal utama yang membantu delegasi antarabangsa dan serantau menterjemahkan peluang perniagaan kepada pelan kemasukan pasaran Malaysia dan Asia yang tersusun.
Market Access Clinics akan berlangsung pada 7 Mei menerusi sesi kumpulan kecil yang memfokuskan aspek penting kemasukan ke pasaran kesihatan Malaysia, merangkumi tiga topik utama:
● Peraturan: Memahami rangka kerja kawal selia, keperluan bukti dan pematuhan sebelum membuat komitmen sumber.
● Penerimaan oleh hospital: Menunjukkan kerelevanan klinikal, kesesuaian dengan aliran kerja, daya maju ekonomi serta tahap kesediaan pelaksanaan kepada penyedia perkhidmatan kesihatan.
● Kerjasama pengedaran: Mengenal pasti dan menilai rakan pengedaran yang sesuai, serta merangka perjanjian komersial bersama mereka.
Mengulas lanjut mengenai acara itu, Richard Teo, Pengerusi Eksekutif Qube Integrated Malaysia, berkata, “Industri kesihatan kini berada pada titik perubahan yang penting. Kita perlu merentasi sempadan dan membina kerjasama bagi mengembangkan industri ini daripada tumpuan klinikal yang terbatas kepada ekonomi pertumbuhan berskala penuh, merangkumi penyampaian penjagaan, infrastruktur digital, kecerdasan buatan (AI) dan kesejahteraan pencegahan.
“HSA 2027 akan menjadi platform untuk merealisasikan usaha ini, memahami perkembangan industri di peringkat serantau, menghimpunkan peneraju perubahan dan menterjemahkan perbincangan strategik kepada tindakan komersial.”
HSA 2027 menyasarkan penyertaan 120 pempamer dari 10 negara. Acara ini akan mengetengahkan lima komponen utama: persidangan selama dua hari, pameran perdagangan, Market Access Clinics, sorotan industri dan pertemuan perniagaan (B2B).
HSA 2027 dijangka menarik pempamer serta delegasi dari lebih 60 negara, meliputi bidang kesihatan digital dan teknologi, peranti perubatan dan bahan guna habis, inovasi farmaseutikal, pemakanan dan nutraseutikal, serta dasar dan kawal selia kesihatan.
Persidangan ini akan menampilkan perbincangan utama serta perkongsian pandangan penting daripada tokoh industri kesihatan.
Persidangan ini akan menampilkan perbincangan utama dan perkongsian pandangan industri kritikal daripada beberapa wakil industri kesihatan yang terkemuka. Hari pertama persidangan HSA 2027 bertema Asia’s Health Economy - Markets, Policy, Capital and Technology (Ekonomi Kesihatan Asia - Pasaran, Dasar, Modal dan Teknologi). Ini akan merangkumi topik-topik seperti The Silver Economy: Where Demand and Capital Are Moving (Ekonomi Perak: Ke Mana Permintaan dan Modal Bergerak) dan Funding the Health Economy: What Capital Will Back in 2027 (Membiayai Ekonomi Kesihatan: Modal Apakah yang Bakal Disokong pada 2027).
Manakala hari kedua persidangan tersebut bertema From Market Access to Better Health - Commercialisation, Medicine and Wellness (Daripada Akses Pasaran kepada Kesihatan Lebih Baik - Pengkomersialan, Perubatan dan Kesejahteraan). Ia bakal menampilkan topik seperti From Approval to Adoption: Winning Buyers and Distribution Channels Across ASEAN (Daripada Kelulusan kepada Penerapan: Memenangi Pembeli dan Saluran Pengedaran di Seluruh ASEAN) dan The Next Operating Theatre: Robotics, Image-Guided Surgery and Minimally Invasive Care (Dewan Bedah Masa Depan: Robotik, Pembedahan Berpandukan Imej dan Penjagaan Invasif Minimum).
Antara penceramah dan panelis yang akan menyertai persidangan HSA2027 termasuk Dato’ Dr. Kuljit Singh, Presiden Persatuan Hospital Swasta Malaysia; Dr. Kamal Amzan, Ketua Pegawai Eksekutif IHH Healthcare Malaysia; Ivin Yew, Ketua Pegawai Eksekutif General Health Services, Doctor Anywhere Singapura; Dr. Jacob Choi, Ketua Pegawai Teknologi Samsung Medical Centre, Korea Selatan; Proud Patavanich, Penolong Ketua Pegawai Eksekutif MedPark Hospital Bangkok, Thailand; Profesor Patrick Tan, Dekan - Duke-NUS Medical School Singapura & Pengarah Eksekutif Precision Health Research Singapura; Profesor Yoshihiro Muragaki, Profesor Jabatan Kejuruteraan Peranti Perubatan, Universiti Kobe Jepun; dan Gertrude Ting, Pengurus Besar Peranti Perubatan DKSH Malaysia serta Bendahari Kehormat Persatuan Peranti Perubatan Malaysia.
Mengulas mengenai HSA 2027, Kevin Teo, Timbalan Pengarah Urusan Qube Integrated Malaysia merangkap Pengarah Acara HSA 2027, berkata, “HSA 2027 bakal menjadi pentas perniagaan dan risikan pasaran terunggul di Asia untuk menterjemahkan peralihan pasaran kepada hasil ekonomi dan klinikal yang berkesan. Kami telah merangka acara akan datang ini dengan teliti untuk menawarkan pengalaman yang memberi impak, dengan fokus kepada sesi B2B yang berkualiti, padanan bersasar, dan peluang laluan-ke-pasaran secara terus. Saya menjemput seluruh warga ekosistem kesihatan yang dinamik ini untuk menyertai kami dalam perjalanan menuju HSA 2027 ini.”
HSA 2027 dianjurkan oleh Qube Integrated Malaysia dengan sokongan Kementerian Kesihatan Malaysia. Sebagai sebahagian daripada senarai rakan kongsi yang semakin berkembang, HSA 2027 telah mengumumkan Persatuan Farmasi Malaysia (MPS) dan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) sebagai Rakan Sokongan, serta Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita Malaysia (NCWO) dan VNU Asia Pacific sebagai Rakan Strategik.
Health Summit Asia akan berlangsung dari 5 hingga 7 Mei 2027 di KL Convention Centre. Untuk maklumat lanjut, layari: https://healthsummitasia.com/. Untuk menempah ruang di pameran perdagangan, layari: https://reg.healthsummitasia.com/book-a-space/. Bagi sebarang pertanyaan lain, hubungi: vimeitaygm@qube.com.my.
.jpg)
.jpg)
Comments
Post a Comment