MISHA OMAR KEMBALI MENERUSI SHOWCASE EKSKLUSIF "AKU & LELAKI" MENJELANG KONSERT ULANG TAHUN KE-25


Selepas kejayaan siri showcase Back to Basic dan DiA, penyanyi tersohor tanah air, Misha Omar bakal kembali menemui peminat menerusi sebuah showcase eksklusif berjudul "Aku & Lelaki" yang akan berlangsung pada 24 Oktober 2026, jam 8.30 malam di JioSpace, Petaling Jaya, Selangor.

Lebih menarik, showcase ini merupakan sebahagian daripada perjalanan menuju konsert meraikan 25 tahun perjuangan seni Misha Omar yang bakal berlangsung pada tahun hadapan.

Berbeza daripada persembahan sebelum ini, “Aku & Lelaki” mengetengahkan konsep yang lebih segar di samping meraikan keseimbangan dua sisi yang saling melengkapi – maskulin dan feminin, kekuatan dan kelembutan serta kehilangan dan harapan.

Pastinya persembahan itu nanti meraikan keindahan pelbagai emosi yang hadir dalam setiap perjalanan hidup - daripada rasa cinta, kehilangan, kerinduan, galau sehingga kepada kegembiraan dan harapan.

Setiap lagu dipilih dengan teliti bagi membentuk sebuah penceritaan yang menampilkan keseimbangan antara elemen maskulin dan feminin selari dengan identiti showcase ini.

Selain mempersembahkan lagu-lagu popular daripada katalog peribadinya, Misha Omar turut akan memberikan interpretasi tersendiri kepada lagu-lagu ikonik yang pernah dipopularkan oleh penyanyi lelaki dari Malaysia, Indonesia dan antarabangsa.

Dengan kekuatan vokal, kehalusan emosi serta keupayaan Misha Omar menghidupkan setiap karya, showcase ini dijangka menjadi sebuah persembahan yang menggabungkan elemen nostalgia, penghargaan terhadap muzik, dan pengalaman artistik yang intim.

“Saya tidak mahu peminat mendengar perkara yang sama setiap kali kita bertemu. “Aku & Lelaki” adalah ruang dan peluang saya untuk meneroka lagu-lagu yang saya kagumi daripada penyanyi lelaki yang banyak memberi inspirasi kepada perjalanan muzik saya.

“Namun pada masa yang sama, saya masih dan akan tetap membawa identiti saya sebagai seorang penyanyi wanita.

“Saya mahu peminat menikmati sesuatu yang baharu dan saya berharap showcase ini dapat membuat penonton pulang dengan kenangan yang istimewa,” kata Misha Omar.

Bagi memastikan persembahan mencapai standard produksi yang diidamkan, "Aku & Lelaki" menghimpunkan barisan tenaga kreatif berpengalaman diterajui oleh Pengarah Muzik, Ee Jeng yang bertanggungjawab menyusun keseluruhan muzik dan persembahan secara segar dan eksklusif.

Arah persembahan pula dipimpin oleh Jennifer Thompson manakala aspek teknikal dikendalikan oleh Simon bagi memastikan pengalaman visual dan audio yang terbaik buat para peminat kesayangannya.

Showcase ini dianjurkan oleh Double M Productions dengan pengurusan konsert oleh Altus Prohouse sekali gus menjanjikan sebuah produksi berkualiti yang pasti memenuhi jangkaan peminat muzik tempatan.

Sebagai pembuka tirai menuju konsert ulangtahun ke-25 Misha Omar, “Aku & Lelaki” bukan sekadar sebuah showcase tetapi suatu malam yang meraikan muzik, nostalgia dan emosi yang menyatukan Misha Omar dengan para peminat yang telah setia mengiringi perjalanan seninya selama lebih dua dekad.

Tiket akan mula dijual pada 3 September 2026, Khamis mulai jam 12 tengah hari di www.ticket2u.com.my/aku-lelaki-misha-omar






Comments

Popular posts from this blog

BELLA ASTILLAH JADI BARISTA BUBBLE TEA SEHARI, LAYAN LEBIH 500 PEMINAT DI IOI CITY MALL, SIAP ‘TAPAU’ DONUT TRUEDAN UNTUK AYDEN DAN ARA

PENGALAMAN 2 HARI 1 MALAM DI BANDAR YILAN, TAIWAN: KOTA KESENIAN TRADISIONAL DENGAN WARISAN BUDAYA YANG INDAH