“SANTET: BLACK MAGIC” MENYIHIR DI PAWAGAM 25 OKTOBER



Setelah tampil dengan sebuah filem seram berjudul Roh Yang Tak Terlihat pada April lalu, kali ini Skylar Pictures dengan kerjasama Cashmere Studios dan Empire Film Solution tampil dengan sebuah lagi nashkah dengan genre yang sama berjudul SANTET: BLACK MAGIC.

Santet yang bermaksud ‘ilmu hitam’ memaparkan sebuah kisah seram mengenai sebuah keluarga yang diganggu dengan ilmu hitam. Pengarahnya, Helfi Kardit menyatakan bahawa jalan cerita dalam filem SANTET: BLACK MAGIC ini merupakan inspirasi kepada kisah yang pernah berlaku.


“Sesuatu yang istimewa mengenai filem SANTET: BLACK MAGIC apabila kami menggabungkan barisan pelakon daripada tiga buah negara iaitu United Kingdom, Filipina dan Indonesia. Malah, kami berasa cukup bertuah kerana berjaya mendapatkan pelakon popular, Kelly Brook sebagai teraju utama filem ini,” ujarnya.
Selain Kelly, SANTET: BLACK MAGIC turut menampilkan barisan pelakon Indonesia seperti Marcelino Lefrandt, Ray Sahetapy and Ayu Dyah Pasha serta pelakon kelahiran Filipina iaitu Jazz Ocampo.

Bercerita lebih lanjut mengenai pemilihan Kelly Brook sebagai teraju utama, Helfi menyatakan kemunculan model dan pelakon seksi yang pernah tampil dalam beberapa filem Hollywood seperti The Italian Job dan Piranha 3D itu telah menampilkan aksi lakonan yang cukup memberangsangkan.

“Kalau menceritakan tentang bayaran untuk Kelly, jumlahnya sahaja boleh menampung kos untuk menghasilkan sebuah filem seram di Indonesia. “Namun begitu, ia bukan menjadi satu ukuran buat kami kerana apa yang lebih penting adalah impak filem ini agar dapat memberi kepuasan kepada penonton yang menggemari filem-filem bergenre seram,” jelasnya.



Bagi pelakon utamanya iaitu Marcelino Lefrandt, antara cabaran yang perlu dilalui adalah apabila 90 peratus dialognya menggunakan Bahasa Inggeris. 

Bagaimanapun, pelakon itu menjelaskan tawaran berlakon dalam filem SANTET: BLACK MAGIC tidak dapat dilepaskan, lantaran jalan ceritanya yang menarik. “Untuk filem ini, selain memantapkan penggunaan bahasa Inggeris, saya perlu bersedia daripada segi stamina memandangkan harus melakukan sendiri babak-babak aksi.

“Mengenai gandingan bersama Kelly pula, saya tidak memerlukan masa yang lama untuk mendapatkan keserasian bersamanya apabila membawakan watak sebagai pasangan suami isteri,” jelasnya.


Bakal ditayangkan di pawagam seluruh Malaysia pada 25 OKTOBER 2018, filem SANTET: BLACK MAGIC turun ditayangkan di beberapa buah negara lain seperti Indonesia, dan Filipina.

Menjalani penggambaran sepenuhnya di Indonesia, filem berkenaan turut menelan kos pembikinan sebanyak RM4 juta. Selain tu, syarikat 4Digital Media yang bernaung di bawah Sony Pictures juga telah diberi hak pengedaran untuk Video On Demand (VOD) di Amerika Syarikat dan United Kingdom.


SINOPSIS
SANTET: BLACK MAGIC mengisahkan tentang Rendy (Marcelino) kembali ke kampung halamannya di Indonesia bersama-sama isterinya, Laura (Kelly Brook) dan dua anak perempuannya Aaliyah (Jazz Ocampo) dan Kelly (Bali Nadeya Curtain).

Rendy yang sudah lama bermastautin di Amerika Syarikat pulang ke negara kelahirannya kerana ingin menjaga ibunya selepas bapanya mengambil keputusan nekad dengan membunuh diri. Sejak kepulangannya, Rendy melihat tahap kesihatan ibunya yang merudum dan hanya mampu terlantar di katil sahaja. Ibunya hilang keupayaan untuk bercakap dan mula meracau-racau selain menyerang Laura dan cucu-cucunya, seakan-akan memberi tanda untuk mereka keluar dari rumah agam keluarga Rendy.


Ibu Rendy kemudian dibawa ke hospital selepas dia memuntahkan darah, kaca dan paku di hadapan Rendy, isteri dan anak-anak mereka. Walaupun mengetahui apa yang dialami oleh ibunya tidak boleh dirawat dengan kepakaran doktor perubatan, namun Rendy tetap berkeras menghantar ibunya ke hospital.

Rendy menyedari yang keluarganya diganggu syaitan dan makhluk halus, namun tiada apa yang dapat dilakukannya untuk mengelakkan keluarganya daripada terus diganggu.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING