10 JUTA TONTON DA’I PENDAKWAH NUSANTARA



Da’i Pendakwah Nusantara musim ke-6 terus kukuh sebagai program realiti No.1 Malaysia, apabila berjaya meraih rating terkumpul sebanyak 10 juta penonton selama 11 minggu bersiaran!

3.6 juta penonton telah menyaksikan Muhammad Adam Muhibullah Abdullah atau Da’i Adam mencipta sejarah tersendiri apabila menjadi peserta muallaf pertama yang diangkat sebagai juara pada episod akhir yang bersiaran hari Jumaat lepas. (sumber: Nielsen Audience Measurement).

Selain hadiah utama iaitu wang tunai RM60, 000 daripada TV3, dua tiket umrah tajaan Almas Beauty & Health dan sebuah trofi, Adam turut membolot hadiah wang tunai RM2, 000 dan produk Almas bernilai RM 2,000 apabila menjadi pilihan penaja utama bagi kategori Da’i Pilihan Almas.

Adam telah menewaskan dua lagi finalis iaitu Imran Mohd Zaki (Da’i Imran) di tempat kedua, Haziq Safwan Norazman (Da’i Haziq) di tempat ketiga. Di tempat kedua, Da’i Imran menerima hadiah wang tunai RM15, 000, tiket umrah untuk seorang berserta trofi.

Manakala, Da’i Haziq di tempat ketiga membawa pulang hadiah wang tunai RM 10, 000, wang tunai RM 2,000 dan produk Almas bernilai RM 2,000. Da’i Haziq juga turut membawa pulang hadiah wang tunai RM 1, 000 dan sebuah trofi apabila menjadi peserta yang paling kerap menerima undian tertinggi di laman sosial twitter bagi kategori Da’i Pilihan Penonton.

Di pentas akhir yang dihoskan oleh Datuk Rosyam Nor dan Da’i Izzhar ini, peserta perlu melalui dua pusingan. Pusingan pertama, mereka perlu menghuraikan topik mengikut konsep yang diberikan oleh pihak produksi selama lima minit. Turut bergandigan bersama mereka adalah pelakon Naim Daniel, Ashraff Muslim dan Elly Mazlein.

Di pusingan kedua pula, topik tazkirah adalah bebas mengikut pilihan finalis sendiri. Tetapi, di pusingan ini mereka wajib untuk bertarannum. 

80% markah adalah daripada juri tetap iaitu Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud dan Prof. Madya Dr. Sharifah Haayati Syed Ismail manakala baki 20% lagi adalah daripada murabbi mereka yang telah memantau persembahan mereka dari minggu pertama hingga akhir iaitu Ustaz Harryanto Rizal Rokman dan juga Ustaz Fakhrul Radhi Khamarudin di bawah selian Mursyid, Dato’ Ustaz Mohd Zawawi Yusoh.

Menurut juri tetap, Ustaz Mohamad Zarifi Mohamad Daud, “Persembahan Adam menepati kriteria yang telah ditetapkan. Bacaan Al-Qurannya juga baik walaupun baru sahaja 8 tahun memeluk islam. Hadis dan dalil yang digunakan dalam tazkirahnya amat bertepatan dengan topik. Kedua-dua topik yang dibawakan Adam telah menyentuh masyarakat keseluruhannya, tetapi topik kedua beliau iaitu “Saya Muallaf” itu sendiri menjadi penentu kepada kemenangannya. Boleh saya katakan, sudah lima musim bersiaran, peserta bagi musim ke-6 ini adalah yang terbaik!”

Mengulas mengenai perancangan membuka ruang buat peserta serantau, untuk menyertai Da’i Pendakwah Nusantara, Puan Siti Nurlisia Mohd Nadzri, Pengurus Besar, Kumpulan Pengurusan Jenama dan Rancangan TV3 berkata, “Memang kita sudah punya rancangan untuk mengumpulkan pendakwah-pendakwah dari seluruh nusantara seperti Indonesia, Brunei, Singapura dan Thailand khususnya, tetapi  ianya bukan mudah. Kami memerlukan sedikit masa lagi, dengan perancangan yang lebih rapi dan teliti sebelum membuka ruang untuk merealisasikan objektif program ini sebagai pentas yang menghimpunkan para pendakwah hebat bukan sekadar di Malaysia malah dari seluruh nusantara.

Di kesempatan ini, saya juga ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada para penonton yang setia memberi sokongan dan menjadikan Da’i Pendakwah Nusantara program realiti keagamaan no. 1 di Malaysia!” ujarnya lagi.

Pentas akhir Da’i turut dimeriahkan lagi dengan persembahan artis jemputan iaitu Tomok, Aizat Amdan, Azmi Saat dan diserikan lagi dengan kehadiran Tetamu Nusantara yang dijemput khas dari Indonesia, Oki Setiana Dewi. Da’i musim ke-6 terbitan Primeworks Studio ini diterajui oleh Shukri Ibrahim sebagai penerbit dan ditaja oleh Almas Beauty & Health selaku penaja utama, Siti Khadijah dan Lembaga Zakat Selangor selaku penaja bersama.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO