SUNWAY ANJUR PROGRAM SOKONG MATLAMAT UNSDG
Seramai 8,165 rakyat Malaysia menyertai program ikrar sokongan kepada 17 bidang utama dalam Matlamat Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) di Sunway City, baru-baru ini.
Sunway Education Group tekad menyokong matlamat Pembangunan Mampan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSDG) sempena ulang tahun ke-3 SDG.
Pengerusi dan Pengasas Sunway Group, Tan Sri Dr Jeffrey Cheah berkata menyokong matlamat SDG adalah penting bagi memastikan kelangsungan pelbagai aspek di dunia ini kepada generasi akan datang.
Turut hadir bersama Tan Sri Jeffrey Cheah adalah Raja Muda Selangor Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah, penyanyi Reshmonu, Pelawak Harith Iskander dan ramai lagi selebriti, duta besar, pemimpin kerajaan dan wakil korporat yang berikrar untuk memperjuangkan komitmen UNSDG ke arah mewujudkan dunia yang lebih baik bagi generasi sekarang dan akan datang.
Universiti Sunway dan organisasi lain seperti Universiti Monash, Pusat Perubatan Sunway, Sunway Lagoon, Sunway Hotel dan Sunway Pyramid turut bekerjasama menyokong matlamat yang sama.
Cheah berkata penglibatan awam yang besar akan memastikan mesej yang disampaikan didengari di seluruh negara.
"Inilah tujuan utama inisiatif ini, iaitu untuk membuat generasi akan datang menyedari betapa pentingnya untuk mengikuti 17 sasaran yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," katanya kepada pemberita semasa sambutan ulang tahun UNSDG ketiga di Universiti Sunway, baru-baru ini.
Cheah berharap program yang dianjurkan dapat menggalakkan negara dan komuniti lain turut sama berikrar untuk UNSDG, terutamanya mengenai perubahan iklim.
"Sekiranya kita tidak melakukan sesuatu seperti ini, saya takut generasi akan datang akan menderita kerana perubahan iklim dan pencemaran, dan bumi tidak lagi menjadi tempat sesuai untuk kehidupan," katanya.
Comments
Post a Comment