PASUKAN LELAKI MUNCUL JUARA PERTANDINGAN MEMASAK MAGGI



Peringkat Akhir Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® (MSSCC) 2018 di Hotel Grand Alora menjadi medan pertarungan chef muda terbaik dari seluruh negara untuk merebut kejuaraan!

Dianjurkan dengan matlamat untuk menyemai amalan memasak dan tabiat makan yang baik dalam kalangan anak muda Malaysia, pertandingan tahun ini menandakan tahun ke-22 kerjasama antara MAGGI® dan Kementerian Pendidikan (KPM).

Sebanyak 15 pasukan pelajar berumur 13-15 tahun dari seluruh negara mewakili negeri masing-masing dalam Peringkat Akhir Kebangsaan.

Berdasarkan tema ‘Anda dan MAGGI®. Sajikan Kelainan’, peserta digalakkan membuat perubahan dengan mengamalkan gaya hidup lebih sihat menerusi masakan. Pertandingan Peringkat Akhir menyaksikan chef muda yang berbakat besar menggunakan teknik memasak yang lebih sihat dan ramuan-ramuan alternatif dalam usaha untuk menyediakan sajian masakan yang berkhasiat tetapi lazat!

Puan Geetha Balakrishna, Pengawai Eksekutif Perniagaan, MAGGI®, Nestlé (Malaysia) Berhad, berkata, “Di MAGGI®, kami percaya bahawa memasak dapat mewujudkan saat-saat indah untuk dikongsi dengan keluarga tersayang. Ini terbukti apabila peserta kami mendapat sokongan padu daripada guru-guru dan keluarga mereka semasa membuat persediaan untuk pertandingan ini. MSSCC bukan satu lagi pertandingan memasak semata-mata, ia turut menggalakkan chef-chef muda untuk mengamalkan tabiat memasak dan makan yang lebih sihat dengan cara yang menyeronokkan dan interaktif. Untuk Pertandingan Peringkat Akhir ini, kami telah memperkenalkan elemen terbaru iaitu sesi ‘Show & Tell’ 90 saat! Chef-chef kami berpeluang untuk menawan hati pengadil dan hadirin dengan menceritakan inspirasi di sebalik sajian masakan yang disediakan mereka.”

Cabaran Kotak Misteri MAGGI® juga menguji kemahiran kulinari peserta, di mana chef muda ini perlu berfikir dan bertindak pantas. Untuk memberi pengiktirafan kepada Kedah sebagai negeri tuan rumah MSSCC tahun ini, para pelajar diberi nasi sebagai sumber utama karbohidrat.

Tema cabaran khas ini ialah “Hebatkan Nasi Goreng dengan MAGGI® Cukup Rasa”, bagi menjadikan pertandingan lebih menarik. Peserta dikehendaki menyediakan Nasi Goreng, satu daripada masakan paling popular di Malaysia, yang lazat dan sihat, disertakan dengan protein dan sumber serat misteri.

Kreativiti, kepantasan dan pengetahuan kulinari pelajar benar-benar teruji kerana mereka hanya diberi masa 45 minit untuk mengatasi satu sama lain dengan menyediakan Nasi Goreng yang berkhasiat dan menambat selera menggunakan MAGGI® Cukup Rasa.

Puan Rozainum binti Ahmad, Pengarah, Bahagian Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan, berkata, “Kerjasama padu antara MAGGI® dan Kementerian Pendidikan Malaysia bagi MSSCC amat mengagumkan. Pertandingan ini juga merupakan satu usaha menyokong agenda pendidikan yang berasaskan perkembangan dan pemantapan kemahiran untuk melahirkan generasi muda yang berbakat dalam bidang kulinari. Di samping melahirkan murid-murid yang kreatif, berinovasi serta bersedia menghadapi cabaran, MSSCC juga boleh menimbulkan kesedaran mendalam terhadap masakan berkhasiat dan pemakanan seimbang dalam kehidupan. Saya berharap agar kegemilangan program ini akan bergemerlapan di tahun-tahun hadapan!”

Pusingan Akhir pertandingan berakhir dengan majlis penyampaian hadiah di acara makan malam bersama semua peserta. Wang tunai berjumlah hampir RM10,000 dan hamper MAGGI® telah dianugerahkan, di samping penyampaian piala dan pingat pemenang.

Pasukan lelaki dari SMK Penanti, Pulau Pinang, Muhammad Haziq Amsyar bin Zaimi dan Muhammad Amirul Amir bin Md Sa’ad, kedua-duanya berumur 15 tahun, membuktikan bahawa mereka adalah chef terbaik apabila mereka muncul juara keseluruhan. Sajian lazat dan seimbang mereka, Nasi Lemuni dengan Spiced Mackerel Rendang dihidang bersama Jantung Pisang dan Salad Pucuk Paku yang merupakan gabungan unik masakan Barat dan Melayu tradisional berjaya memikat hati pengadil.

Sebagai Juara Peringkat Akhir MSSCC, mereka bukan sahaja berjaya mengharumkan nama negeri dan sekolah masing-masing, tetapi juga membawa pulang Piala MSSCC yang menjadi rebutan, hadiah RM3,000 peluang eksklusif untuk masuk televisyen kebangsaan dan pengembaraan kulinari 3 hari 2 malam ke Kuching, Sarawak. Tempat kedua pula dimenangi oleh pasukan dari SMK Sura, Terengganu, Nor Mashitah binti Rani, 15 dan Khairunieha binti Khairuddin, 15 yang telah mencipta Burger Nasi Kerabu tersendiri.

Mereka telah menerima hadiah wang tunai sebanyak RM2,000. Sementara itu, Mas Skadauf Abdullah Sani, 15 and Muhammad Syaqirul Alim Haspul Anuar, 15 dari SMK Syed Ibrahim, Kedah, memenangi tempat ketiga dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM1,000.

Tahun ini, MSSCC telah mencapai satu mercu jaya dengan pelancaran portal pendidikan ‘Memupuk Masa Depan Lebih Sihat’, yang membolehkan pelajar dan guru-guru mendapat maklumat tentang cara memasak yang sihat, pemakanan dan lebih banyak petua memasak. Buat pertama kali, pelajar juga boleh mengemukakan permohonan MSSCC mereka dalam talian melalui laman web ini.

Untuk maklumat lanjut tentang Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI®, sila ke laman web https://www.maggi.com.my/bm/msscc-2018

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI

PROGRAM BAHARU ‘THE HARDEST SINGING SHOW’ CABAR VOKAL DAN KREATIVITI PENYANYI HEBAT TEMPATAN DI ASTRO