SINOPSIS DRAMA BERSIRI ASTRO PRIMA "SELAFAZ CINTA"

 

Drama bersiri panjang ‘Selafaz Cinta’ merupakan sebuah naskah asal yang mengangkat genre melodrama berat terbitan pihak Astro Prima dengan kerjasama syarikat produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd arahan sutradara Pali Yahya dan Eez Jalaluddin selaku pengarah bersama. 

Drama ‘Selafaz Cinta’ akan berdurasi selama 60 minit sepanjang 60 buah episod dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, jam 6.00 petang mulai 27 November 2018 menerusi slot Tiara secara eksklusif di saluran Astro Prima (105) dan Maya HD (135).

Untuk pilihan yang fleksibel, drama ‘Selafaz Cinta’ juga turut boleh diakses menerusi aplikasi Astro Go dan perkhidmatan ‘on demand’.

Natasha Hashim, Pengurus Saluran Astro Prima berkata, “Seperti yang kita lihat, trend penerbitan drama sering berubah mengikut peredaran masa. Kita pernah melalui fasa yang mana naskhah-naskhah berat sering menjadi pilihan di kalangan khalayak penonton suatu ketika dahulu. Kini, kecenderungan selera penonton beralih pula kepada kandungan hiburan yang lebih ringan dan bersifat santai untuk dinikmati. Biarpun trend tersebut terbukti menjadi kegilaan ramai sehingga mencetuskan fenomena luar biasa, namun masih ada segelintir penonton yang mahukan keseimbangan pada pola penerbitan drama Melayu tempatan."

"Selaku stesen televisyen berbayar, Astro harus pantas dalam menyusun strategi bijak kerana kami mempunyai tanggungjawab sosial untuk terus menghasilkan pengisian hiburan secara kreatif dan seimbang khusus buat para pelanggan yang semakin bijak dan selektif dalam memilih kandungan yang mahu ditonton," tambahnya lagi. 

Kebelakangan ini, Astro Prima sering menerbitkan kandungan drama yang mengetengahkan format adaptasi kerana fenomena tersebut terbukti mendapat sambutan memberangsangkan.

Terbaharu, Astro mengangkat naskah asal untuk diketengahkan menerusi drama ‘Selafaz Cinta’ yang dilihat memiliki kekuatan tersendiri daripada segi penceritaan bagi memberi kelainan dan variasi kepada penonton.

Kali terakhir drama bersiri yang tampil dengan naskah asal untuk siaran di platform Astro Prima adalah ‘Cinta Ibadah’ yang diterbitkan sekitar tahun 2014. 

Semoga kelainan yang ditampilkan ini mampu meletakkan ‘Selafaz Cinta’ sebagai sebuah drama yang paling ditunggu oleh penggemar dan peminat drama Melayu sekaligus mengumpul kelompok peminatnya yang tersendiri.” TRIVIA DRAMA ‘SELAFAZ CINTA’.

Bagi menjayakan drama ‘Selafaz Cinta’ sekaligus mempercepatkan keseluruhan proses penggambaran, kedua pengarah Pali Yahya dan Eez Jalaluddin berkolaborasi untuk berkongsi idea terutamanya yang melibatkan bahagian teknikal bagi memantapkan lagi naratif penceritaan agar produk akhir dapat disempurnakan dengan baik.

Ini penting bagi memastikan keseluruhan perjalanan cerita tidak kelihatan janggal dan mempunyai ‘feel’ yang sama sungguhpun diarahkan oleh dua sutradara yang berbeza.

Sebelum ini, Eez sering bekerjasama dengan Pali untuk beberapa buah drama selaku penolong pengarah kepada beliau. Lokasi utama penggambaran drama ‘Selafaz Cinta’ telah dijalankan di sekitar Selangor dan Lembah Klang serta mengambil masa lebih kurang 70 hari (September hingga November 2018) untuk diselesaikan.

Antara cabaran besar sepanjang penghasilan drama ‘Selafaz Cinta’ termasuklah berhadapan dengan tempoh ‘deadline’ yang singkat untuk menyiapkan drama ini. Namun, strategi untuk meletakkan dua pengarah dengan dua pasukan krew yang berbeza ternyata berkesan untuk memastikan drama ini dapat disudahkan mengikut tempoh yang diberikan.

Lebih membanggakan, pasukan produksi juga berjaya menyudahkan satu episod setiap hari sepanjang tempoh penggambaran drama ‘Selafaz Cinta’. Selain itu, aspek pengolahan skrip dan pembentukan karektor barisan pelakon juga amat dititik beratkan bagi memastikan keberkesanan kualiti lakonan dapat disampaikan dengan baik dalam apa jua watak yang dipegang.

Malah, kesemua barisan pelakon yang dipilih untuk menjayakan drama ini juga adalah berdasarkan kesesuaian watak untuk memastikan lakonan yang berkesan. 

Menarik lagi, drama ‘Selafaz Cinta’ juga turut mempertaruhkan tiga pelakon handalan yang masing-masing telah dicungkil bakatnya menerusi pertandingan Hero Remaja dan Dewi Remaja selaku tonggak utama. Mereka adalah Saharul Ridzwan, Syatilla Melvin dan Puteri Aisyah.

Lagu runut bunyi dan video muzik istimewa terbitan Sony Music Malaysia untuk drama ‘Selafaz Cinta’ berjudul ‘Alasan Terindah’ ciptaan Sharon Paul dan lirik oleh Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri dinyanyikan oleh penyanyi muda BBNU, Farisha Iris.

SINOPSIS DRAMA ‘SELAFAZ CINTA’ 
Drama ‘Selafaz Cinta’ mengisahkan mengisahkan konflik rumah tangga melibatkan dilema seorang wanita bernama Jannah (lakonan Syatilla Melvin) yang menghadapi masalah orang ketiga dalam rumahtangganya.

Lebih malang lagi apabila orang ketiga tersebut merupakan adik kawan baiknya sendiri. Semuanya berubah bila Jannah secara tidak sengaja terbaca pesanan teks di telefon bimbit suaminya, Reza (lakonan Saharul Ridzwan).

Pesanan yang berbaur mesra tersebut dihantar oleh seorang wanita yang menggelarkan dirinya sebagai ‘Snow White’. Walau bagaimanapun, Jannah tetap bersangka baik pada Reza.

Comments

  1. Why ending cerita ni seolah2 tidak mempunyai idea yang bernas? Adakah ini hasil karya tanah melayu? Serius memang tak profesional langsung

    ReplyDelete
  2. Tggu 100 episod tgk jannah kwin ustz.. Larh bg reza jgk... Tggu2 hjung tergantung... Sakit ht jgk adeh

    ReplyDelete

Post a Comment

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING