LEBIH 200 KANAK-KANAK BINA REPLIKA AISKRIM TERBESAR

  

246 kanak-kanak dari rumah-rumah anak yatim sekitar Johor bersama-sama Paddle Pop dan LEGOLAND® Malaysia Resort telah memanfaatkan 8,000 batang aiskrim bagi membina “Replika Ais Krim Terbesar Menggunakan Bahan Kitar Semula”. Replika aiskrim yang menakjubkan ini telah berjaya disenaraikan ke dalam Malaysia Book of Records. Pembinaan replika berkenaan dianjurkan sempena Hari Kanak-Kanak Sedunia. 

Dengan bertemakan seni mesra alam, Paddle Pop telah membina rangka replika aiskrim tersebut dan kanak-kanak ini kemudiannya berusaha mengumpul batang-batang aiskrim menerusi beberapa siri permainan yang menyeronokkan. Batang aiskrim berkenaan kemudiannya diwarnakan bagi menghasilkan replika aiskrim yang bertemakan pelangi. Replika aiskrim terbesar berukuran 3.2 meter tinggi, 1.2 meter lebar dan berkedalaman 0.1 meter (11 kaki x 4 kaki) itu ditempatkan di LEGOLAND® Malaysia Resort di Iskandar Puteri.

Struktur aiskrim bertemakan pelangi itu dipilih kerana ia melambangkan Papple Pop sebagai jenama aiskrim terkenal dalam kalangan kanak-kanak.

Pengarah Pemasaran Makanan & Minuman, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Shiv Sahgal berkata, “Kami teruja melihat kanak-kanak begitu bersungguh ketika membina replika aiskrim tersebut. Mereka kelihatan sangat gembira kerana dapat mengambil bahagian di dalam aktiviti ini untuk mengitar dan mengguna semula barang-barang yang biasa ditemui daripada dibuang begitu sahaja. Hari Kanak-Kanak Sedunia mengingatkan kami untuk terus menyediakan peluang supaya kanak-kanak ini dapat bermain dan mencipta pengalaman yang bermanfaat. Pengalaman ini dapat membantu mereka memahami peranan yang boleh dimainkan oleh semua pihak dalam melindungi alam sekitar. Replika berkenaan akan dikekalkan di LEGOLAND® Malaysia Resort sebagai peringatan kepada kanak-kanak lain setiap kali mereka berkunjung ke taman tema LEGOLAND®”.

Rekod berkenaan telah disampaikan oleh Pengurus Operasi, Penyelidikan dan Pemasaran, Malaysia Book of Records Sdn Bhd, Edwin Yeoh Tiong Chin kepada Pengarah Pemasaran Makanan & Minuman, Unilever (Malaysia) Holdings Sdn Bhd, Shiv Sahgal, dan disaksikan oleh Pengarah Jualan dan Pemasaran LEGOLAND® Malaysia Resort, Thila Munusamy

“Saya amat gembira kerana Paddle Pop dan LEGOLAND® Malaysia Resort telah berjaya mencipta rekod di dalam Malaysia Book of Records dengan bantuan kanak-kanak ini. Pada masa sama, memupuk kesedaran tentang kebaikan mengitar semula. Kami amat berbesar hati kerana diberi pengiktirafan serta anugerah ini. Ia menyemarakkan lagi semangat kami untuk terus berusaha memupuk kesedaran mengenai alam sekitar ke dalam diri kanak-kanak secara lebih menyeluruh. Ini turut melambangkan kanak-kanak untuk terus bergembira sementara mereka masih kecil dan juga berteraskan kepercayaan jenama Paddle Pop iaitu ‘Let Kids be Kids’”, tambah Shiv.

“Kolaborasi bersama Paddle Pop ini amat penting supaya kami dapat terus memberi kegembiraan kepada kanak-kanak. Sebagai pihak yang bertanggungjawab dalam menyediakan pembelajaran yang menyeronokkan, kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak untuk bermain dan berkembang melalui bermain. Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia tahun ini amat bermakna kerana kami dapat berkongsi pengalaman memecah rekod dengan membina replika aiskrim terbesar menggunakan bahan kitar semula bersama-sama dengan kanak-kanak dari rumah anak-anak yatim. Kegembiraan yang terpancar di wajah mereka menjadi bukti bahawa kami telah berjaya mencipta satu pengalaman yang tidak dapat dilupakan untuk mereka,” kata Pengarah Jualan dan Pemasaran LEGOLAND® Malaysia Resort, Thila Munusamy. 

Sepanjang berlangsungnya aktiviti Hari Kanak-Kanak Sedunia berkenaan, kesemua 246 kanak-kanak ini telah dibawa untuk merasai pengalaman yang mengujakan di taman tema LEGOLAND® Malaysia Resort. 

“Kami amat berbesar hati kerana dijemput oleh Paddle Pop untuk menyertai acara ini. Ia merupakan satu pengalaman yang sangat menyeronokkan disamping penuh dengan ilmu pengetahuan untuk kanak-kanak berkenaan dan kami berharap agar diberi peluang seperti ini lagi di masa hadapan,” kata Datuk Haji Mohamad, penjaga salah sebuah rumah anak yatim yang mengambil bahagian, Pertubuhan Kebajikan Anak-Anak Yatim Islam Kota Tinggi. 

Untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai Paddle Pop, sila layari ke laman web www.paddlepop.com.my. Untuk mengetahui lebih lanjut mengenai LEGOLAND® Malaysia Resort, sila layari ke laman web www.LEGOLAND.my.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING