ULASAN FILEM: PETTA - FILEM SUPERSTAR RAJINIKANTH SEJATI



Rajinikanth harus mempunyai genre filemnya yang tersendiri – yang menampilkan aksi, komedi, drama, cinta, plot twist dan lebih aksi. Pelakon bertaraf superstar yang terkenal sejak tahun 70an lagi masih ligat di pawagam walaupun umurnya kini mencecah 69 tahun. 

Khabarnya, filem PETTA adalah pertaruhan dari pelakon veteran ini dalam industri perfileman. Filem berbahasa Tamil ini ditulis dan diarahkan oleh Karthik Subbaraj. Rajinikanth disertai oleh barisan pelakon-pelakon hebat Bollywood seperti Vijay Sethupathi, Simran, Trisha, M. Sasikumar, Nawazuddin Siddiqui, Bobby Simha, J. Mahendran dan Guru Somasundaram.


Filem ini mengisahkan Kaali (Rajinikanth), seorang lelaki misteri yang tiba-tiba muncul untuk mendapatkan jawatan warden asrama lelaki di sebuah sekolah di Darjeeling. Kehadirannya kurang disenangi oleh sekumpulan pelajar lelaki nakal yang diketuai oleh Michael (Bobby Simha), anak kepada seorang berpengaruh di bandar tersebut (Aadukalam Naren). Michael dan kuncu-kuncunya sering membuli pelajar-pelajar lain termasuk seorang pelajar baru Anwar (Sananth Reddy).

Kaali berjaya menghalau Michael dan kuncu-kuncunya dari asrama tersebut. Pada masa yang sama, Kaali bertambah rapat dengan Anwar dan cuba membantu Anwar dalam masalah percintaannya. Anwar sebenarnya sedang bercinta dengan Anu (Megha Akash) tetapi percintaan mereka tidak direstu oleh ibu Anu, Mangalam (Simran). Kaali cuba berjumpa Mangalam untuk menerima Anwar sebagai teman lelaki Anu. Tanpa disangka-sangka, Kaali dan Magalam pula yang terjatuh cinta.


Michael yang sukakan Anu, menjadi marah apabila mendapat tahu yang perhubungan Anwar dan Anu telah direstui oleh ibu Anu. Lalu, dia cuba memalukan Anwar dengan merakam video tular tetapi rancangannya telah disekat oleh Kaali. Sebaliknya, video Michael pula ditularkan dan ia ditonton oleh seorang penjahat bernama Jithu (Vijay Sethupathi) di bandar Uttar Pradesh. Jithu adalah anak kepada seorang ahli politik yang berpengaruh Singaaram atau Singaar Singh (Nawazuddin Siddiqui). 

Singaaram dan Kaali mempunyai dendam yang belum selesai dan tersimpan sejak dua-puluh tahun lampau. Apabila dia ternampak Kaali dan Anwar di dalam video tersebut, dia mengarahkan pengikut-pengikutnya ke Darjeeling untuk membunuh mereka berdua. Siapakah Kaali sebenarnya? Apakah dendam di antara Singaaram dan Kaali sehingga mereka sanggup berbunuhan? Soalannya bakal terjawab dalam filem PETTA nanti.


Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, Rajinikanth telah membuat eksperimentasi dengan beberpa genre. Superstar ini telah menlakonkan watak robot dalam genre fiksyen sains, animasi  dalam filem Kochadaiyaan dan filem yang agak berat seperti Kabali dan Kaala. Dalam filem ini, pengarah Karthik Subbaraj berjaya menonjolkan Rajinikanth sebagai seorang pelakon versatil dan menghiburkan. 

Kepada penggemar Rajinikanth, plot asas PETTA adalah pengolahan semula filem hit Rajinikanth, Baasha. Tetapi di bawah arahan Karthik Subbaraj, filem ini menampilkan beberapa variasi dan plot twist yang mengejutkan.  

PETTA juga menampilkan lagu-lagu baru yang catchy dan juga lagu klasik dari filem-filem lama Rajinikanth. Filem ini juga mempunyai beberapa isu seperti babak yang meleret-leret dan over-the top. Tetapi, itulah namanya filem Bollywood, kan?

Secara keseluruhannya, filem PETTA ini adalah sebuah tribut yang bermakna kepada Rajinikanth – caranya berjalan atau “swag”, caranya bersiul, caranya ketawa dan caranya beraksi, segalanya akan membuatkan para peminatnya terkenang akan filem-filem lama Rajinikanth yang masih menjadi kegemaran sehingga sekarang. 

Jadi, jika anda seorang peminat Rajinikanth, jangan lepaskan peluang untuk menyaksikan filem hebat ini di pawagam. Kepada penonton yang masih baru atau skeptikal akan taraf superstar Rajinikanth, anda akan faham tentang pengaruh dan tarikan pelakon veteran ini kepada jutaan peminatnya setelah menonton filem ini.  


PETTA, filem Tamil edaran Malik Streams Corporation ini sedang rancak ditayangkan di pawagam seluruh negara sekarang! Jom kita tonton PETTA!

Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM