UPIN & IPIN: KERIS SIAMANG TUNGGAL RAIH RM25 JUTA



Filem animasi 'Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal' mencatat kutipan tiket RM25 juta hanya dalam tempoh tiga minggu sejak ditayangkan pada 21 Mac lepas. 

Filem tempatan terbitan Les' Copaque Production Sdn Bhd yang telah menemui kira-kira dua juta penonton di Malaysia itu juga bakal menembusi pasaran antarabangsa dalam masa terdekat. 

"Setakat ini, kita memasuki pasaran Vietnam yang mana proses alih suara telah dilakukan sebelum menemui penonton di sana pada 26 April nanti," kata Pengarah Urusan Les' Copaque Production Burhanuddin Md Razi pada sidang media khas mengenai kutipan pecah panggung RM25 juta filem tersebut, di sini hari ini. 

Burhanuddin berkata filem itu juga akan menembusi pawagam Indonesia mulai 9 Mei yang menurutnya satu kejayaan membanggakan kerana bukan mudah untuk sebuah filem animasi tempatan menembusi pasaran negara jiran tersebut.

"Buat pertama kali, sebuah filem animasi (kita) dapat ditayangkan bukan di beberapa pawagam tetapi di pawagam seluruh Indonesia. Permintaan ini sangat luar biasa dan sudah tentu ia menjadi satu pengiktirafan kepada hasil karya anak tempatan dalam animasi," katanya. 

Burhanuddin berkata pihaknya juga bakal menandatangani perjanjian dengan pengedar filem dari China pada 19 April ini untuk memasarkan filem animasi itu di negara berkenaan.

Katanya, pihaknya positif filem itu akan diterima baik penonton negara China setelah dialih suara ke bahasa Mandarin. 

Ia mengisahkan pengembaraan kembar animasi Upin dan Ipin bersama rakan-rakan mereka ke sebuah kerajaan dongeng dikenali sebagai Inderaloka selepas menemui sebilah keris.

Pengarah kreatif filem itu, Adam Amiruddin berkata kehadiran permainan video Upin dan Ipin: Keris Siamang Tunggal The Game pula diharap memberi pengalaman berada di Inderaloka secara berterusan kepada peminat. 

Permainan video itu dibangunkan oleh Les' Copaque Game Development Incorporated.

"Kita mahu peminat dapat bermain dan pada masa sama merasai pengalaman di Inderaloka. Ini sekali gus menjadi kesinambungan pembawaan elemen hikayat Melayu lama daripada filem ke permainan video," katanya.

Jelasnya, permainan video itu sudah mula dimuat turun mulai 15 Mac lepas.

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

SLOT AKASIA TV3 TAMPILKAN DRAMA 'PINJAMAN SYURGA' LAKONAN JANNA NICK & KEITH FOO