7 DESTINASI TERBAIK UNTUK RAIKAN HARI RAYA AIDILFITRI

Iftar @ KL

Eid al-Fitr atau Hari Raya Aidilfitri merupakan perayaan yang diraikan oleh umat Islam di seluruh dunia selepas menjalani ibadah berpuasa dalam bulan Ramadan. Agoda, salah satu syarikat pelancongan digital yang paling pesat berkembang di dunia berkongsi 7 cara untuk anda turut meraikan Hari Raya Aidilfitri di 7 negara di serata dunia!

Kuala Lumpur, Malaysia

Kuala Lumpur, Malaysia 

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Sertai Iftar @ Kuala Lumpur di Dataran Merdeka yang dikelilingi oleh bangunan-bangunan kolonial yang indah dan bersejarah seperti Bangunan Sultan Abdul Samad.

Tempat Penginapan: Ramada Suites Kuala Lumpur City Centre

Walaupun sambutan Hari Raya Aidilfitri di sesetengah negara adalah secara bersederhana sahaja, kemeriahan perayaan ini ternyata berbeza di Malaysia dengan adanya cuti umum selama dua hari dan sambutan yang berpanjangan sehingga sebulan. Menjelangnya Hari Raya, tradisi ‘balik kampung’ masih diamalkan dengan jutaan penghuni kota pulang meraikan perayaan Hari Raya bersama orang tersayang di kampung halaman mereka. 
  
Pada musim perayaan ini, rumah-rumah terbuka akan diadakan dan para tetamu boleh menjamu selera sambil mengeratkan perhubungan. Jadi jika anda cukup bernasib baik untuk menerima undangan, jangan lepaskan peluang tersebut! Sebelum tibanya Hari Raya, pastikan anda menyertai aktiviti Iftar @ Kuala Lumpur, suatu program unik dengan pengunjung dijemput untuk berbuka puasa beramai-ramai di sepanjang jalan paling sibuk di Kuala Lumpur. Pelbagai aktiviti keagamaan turut dianjurkan untuk memberikan peluang pengunjung mengenali keindahan Islam dengan lebih dekat.


London, UK

London, United Kingdom

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Festival Eid 2019, nikmatilah hidangan istimewa dari kedai-kedai makan Timur Tengah di Jalan Edgware, London yang terkenal dengan masyarakat majmuk.

Tempat Penginapan: The Pilgrm, terletak kira-kira 10 minit berjalan kaki dari Jalan Edgware, yang menampilkan hiasan era lama dan pesona vintaj.

Walaupun Hari Raya Aidilfitri tidak digazetkan sebagai cuti umum di London, perayaan ini tetap diraikan dengan meriah oleh masyarakat Muslim di sana. Sambutan dimulakan dengan solat hari raya pada pagi hari, diikuti dengan ziarah atau menjadi hos kepada keluarga dan rakan-taulan sambil menikmati juadah tradisional.

Para pelancong boleh menyertai acara sambutan tahunan Festival Eid di Dataran Trafalgar, di sana mereka boleh menyaksikan pelbagai persembahan menarik, menyertai aktiviti yang seronok untuk seisi keluarga dan menikmati hidangan dari pelbagai negara pada hari Sabtu, 8 Jun, jam 12 tengah hari sehingga 6 petang!


New York, Amerika Syarikat

New York, Amerika Syarikat

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Menyaksikan acara penyalaan lampu di Bangunan Empire State, Pusat Kebudayaan Islam, Muzium Bandar New York

Tempat Penginapan:  Arthouse Hotel di Upper West Side yang menampilkan seni bina kosmopolitan.

Terdapat banyak aktiviti yang boleh dilakukan bagi menandakan berakhirnya bulan Ramadan di New York. Mulakan hari anda dengan melawati masjid yang terbesar di New York di Pusat Kebudayaan Islam New York, dengan upacara keagamaan berlangsung sepanjang hari.

Muzium Bandar New York  boleh turut dilawati seisi keluarga bagi mempelajari tentang tradisi kebudayaan Islam melalui artis tempatan dan koleksi seni, atau dapatkan tatu inai bagi kanak-kanak. Perhatikan Bangunan Empire State pada waktu malam kerana ia akan diterangi oleh cahaya hijau sempena perayaan Hari Raya Aidilfitri.


Istanbul, Turki

Istanbul, Turki

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Bawa bakul berkelah yang diisi dengan manisan dan juadah enak untuk berbuka puasa beramai-ramai di Hagia Sophia dan Masjid Biru yang ikonik di Dataran Sultanahmet.

Tempat Penginapan:  Ajwa Hotel, anda boleh menikmati Hammam tradisional (Mandian Turki) di spa milik hotel tersebut.

Jika anda bertuah, anda akan dapat menyaksikan persembahan gendang yang diadakan pada waktu dinihari untuk mengejutkan orang ramai supaya bersahur, iaitu makan sebelum memulakan puasa.

Hari Raya Aidilfitri turut dikenali sebagai ‘Seker Bayram’ atau Festival Manisan di Turki, dengan sajian yang manis-manis seperti baklava akan dihidangkan. Malah, orang ramai digalakkan untuk mengambil manisan untuk sarapan! Dapatkan manisan Turkish delight dan sambutlah Hari Raya seperti orang tempatan Turki.


Emiriah Arab Bersatu

Emiriah Arab Bersatu

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Iftar di Dubai Opera, aktiviti istimewa di IMG Worlds of Adventures

Tempat Penginapan: Bersuka-ria dengan keluarga anda di Atlantis the Palm Dubai, yang mempunyai taman tema hiburan dan taman air berkeluasan 170,000 kaki persegi.

Rakyat negara ini menghargai masa yang diluangkan bersama keluarga pada musim perayaan ini, terutamanya semasa waktu makan. Pada bulan Ramadan, mereka akan berbuka puasa beramai-ramai bersama keluarga Muslim yang lain. Kunjungilah Dubai Opera untuk satu pengalaman unik yang menggabungkan hidangan Arab yang hebat dan persembahan muzik secara langsung.

Ahli keluarga dan rakan-rakan juga boleh menikmati pengalaman yang mengujakan di salah satu taman tema tertutup terbesar di dunia iaitu, IMG Worlds of Adventures yang dihiasi indah dengan tema Arab tradisional dan menawarkan aktiviti istimewa bagi musim perayaan. 



Arab Saudi

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Festival Eid Tahunan, nikmati perayaan di kawasan pinggir pantai Jeddah Corniche dan Al Balad (Kota Lama)

Tempat Penginapan: Menginaplah berhampiran dengan tempat sambutan diadakan di pinggir Laut Merah yang terkenal di Raddison Blu Hotel, Jeddah Corniche

Mengikut adat masyarakat Arab Saudi, ahli-ahli keluarga akan berkumpul di rumah lelaki yang paling tua dalam keluarga selepas solat Hari Raya. Sebelum makan tengah hari, kanak-kanak akan berpakaian baharu dan bertemu dengan ahli-ahli keluarga dewasa yang akan turut memberikan mereka duit raya. Sambutan raya diteruskan dengan menonton wayang, menyaksikan persembahan bunga api dan persembahan pentas.

Di tengah-tengah pusat bandar Balad, para pelancong boleh menyertai perayaan di Festival Jeddah Bersejarah (Historic Jeddah Festival) untuk mengimbas kembali cara Hari Raya diraikan pada zaman lampau. Gunakan seni interaktif atau dengarkan daripada Hakawati (penglipur lara) untuk mengetahui bagaimana Hari Raya Aidilfitri disambut oleh keluarga Hijazi suatu ketika dahulu.



Srinagar, Kashmir

Tempat Untuk Dikunjungi / Aktiviti: Berlayar di sepanjang Tasik Dal yang terkenal dan singgah di Masjid Hazratbal, sebelum menikmati hidangan di medan selera Lal Chowk.

Solat Hari Raya berjemaah yang terbesar di Srinagar adalah di Masjid Hazratbal yang dipercayai tersimpannya rambut peninggalan Nabi Muhammad. Pada pagi Hari Raya, sesuatu yang manis seperti kurma dan seviyan – sejenis puding bihun dengan susu, air dan kacang, akan dihidangkan untuk sarapan, bersama kahwah, sejenis teh tempatan yang dibuat daripada daun teh hijau istimewa dan helaian safron Kashmir yang dihias dengan buah-buahan kering dan kacang. Nikmati hidangan tempatan seperti naan Kashmir, kebab, kahwah, noon chai (teh merah jambu masin) dan seumpamanya di sepanjang jalan Lal Chowk, medan selera yang terkenal di Kashmir.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://www.agoda.com.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI