SEMANGAT PHANTOM OF THE OPERA MEMUKAU DI ISTANA BUDAYA



Bagaimanakah sebuah kisah klasik tahun 1909 kekal relevan untuk di tonton pada tahun 2019? Itulah daya tarikan unik terdapat pada pementasan "The Phantom of the Opera" dan cabaran yang dihadapi kru penerbitan yang buat pertama kalinya menjejak kaki di Malaysia.

Dalam kegelapan, sebaik sahaja pementasan bermula, penonton dapat merasai kesuraman dan misteri pada babak pembukaan. Dari objek-objek yang dijual dalam lelongan, sedikit demi sedikit kisahnya mula terungkai. Dari nota muzik pertamanya, ia terus menangkap perhatian pendengar dengan tona yang menghantui anda dari mula hinggalah ke nota terakhir. Istana Budaya berubah menjadi lokasi-lokasi penting di Paris tahun 1911, dari rekaan set sehinggalah setiap urat benang dipakaian.


Ini adalah bukti kenapa setiap Ringgit yang anda bayar berbaloi kerana seolah-olah anda berada di dalam Paris Opera House di zaman itu. Secara dasar, kisahnya mengenai cinta tiga segi tetapi mempunyai komplikasi yang mendalam.

Pemuzik genius yang cacat, 'The Phantom' (Jonathan Roxmouth) terlalu obses dengan penyanyi soprano muda berbakat, Christine Daaé (Meghan Picerno) lalu melatihnya menjadi penyanyi terkenal. Tanpa diketahui rakan zaman kanak-kanak Christine, Raoul de Chagny (Matt Leisy) muncul dan menjadi pemangkin kemurkaan Phantom.

Meghan Picerno sebenarnya membawa bebanan tugas paling berat antara mereka bertiga kerana watak Christine Daaé yang alami perubahan drastik. Dari gadis kurang pengalaman semasa latihan "Hannibal" yang baru kematian ayahnya, pelajar yang mahu berjaya tetapi punyai guru penuh kegilaan dan kemudian jatuh cinta dengan Raoul.


Meghan dengan jayanya membawa setiap perubahan menjadi lebih dewasa selepas setiap babak. Kami sudah terpegun dengan kehebatan suara Meghan sewaktu sesi Media Call pada tengahari dan sekali lagi terpesona pada tayangan malam dengan alunannya terutama lagu "Wishing You Were Somehow Here Again".

Beberapa pelakon pembawa watak Raoul sebelum ini agak keterlampauan tetapi Matt Leisy bijak kerana tidak nampak berseloroh dalam memenangi hati Christine atau terlampau mahu menjadi hero berhadapan Phantom. Cara terbaik mengadili pembawakan watak ini adalah melalui lagu "All I Ask of You", Matt dan Meghan punyai korelasi dalam melafazkan kata cinta membuatkan kita percaya akan keikhlasan Raoul.


Pada permulaan, terutama waktu kemunculan Phantom kali pertama, vokal Jonathan Roxmouth agak tenggelam untuk menakutkan penonton namun kelantangannya lebih terserlah dalam memberi arahan melalui nota-nota misteri dalam "Notes".

Pujian tertinggi harus diberi apabila penonton dapat merasai penderitaan dan kesedihan Phantom sedangkan kita sepatutnya rasa benci atau takut kepadanya.

Sesiapa yang tidak sebak atau menitiskan air mata, memanglah hati anda batu! Nak cerita pasal rekaan set dan kostum, 10 muka surat pun tak cukup. Babak "Hannibal" yang penuh keemasan berserta gajah besar sudah cukup menarik perhatian, pencahayaan dan laluan air ke tempat tinggal Phantom cukup mempersonakan tetapi babak yang paling menggagumkan ialah "Masquerade".

Patung-patung yang dipakaikan dengan pakaian pesta Masquerade

Babak ini punyai tangga dari lantai pentas sehingga ke siling yang dipenuhi para pelakon dengan kostum beraneka jenis dan warna. Di bantu dengan muzik yang dipimpin David Andrews Rogers dan gabungan vokal semua dipentas, Istana Budaya bergegar menjadi sebuah pesta bertopeng penuh mistikal.

Akhir kata, anda perlu melalui pengalaman menonton "The Phantom of the Opera" secara live walaupun sudah berkali-kali tengok di YouTube ataupun di pawagam melalui versi filemnya.


Gabungan produksi antarabangsa yang bekerjasama dengan bakat tempatan ini haruslah dipuji dan dihargai kerana inilah salah satu peluang perlu dipelajari dalam meningkatkan seni pementasan tempatan. Bukan mudah untuk merealisasikan sebuah persembahan agung dan mungkin ini adalah satu-satunya peluang menonton Phantom di Malaysia.


The Phantom of the Opera akan dipersembahkan di Istana Budaya, Kuala Lumpur oleh Lunchbox Productions, Base Entertainment Asia dan TEG Dainty.

Persembahan akan berlangsung dari 15 Jun sehingga 7 Julai pada 8.30 malam (Selasa hingga Jumaat) dengan dua pertunjukan - 2 petang dan 8.30 malam - pada hari Sabtu dan Ahad.

Tempah tiket anda sekarang di www.ticketcharge.com.my

Comments

Popular posts from this blog

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

FIRETALK 2024 BY NOURUL DEPP KEMBALI SUNTIK MOTIVASI, UBAH MENTALITI

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI