ZAMANI & EZAD LAZIM REALISASIKAN IMPIAN DENGAN LIMA AKSARA



Sebuah impian yang telah lama dibualkan, diimpikan dan dipendam oleh dua sahabat akrab ini akhirnya tercapai. Lima Aksara terhasil dari penantian yang sangat lama oleh Ezad Lazim dan Zamani untuk berpeluang menghasilkan sebuah lagu duet bersama. 

Pada penghujung 2018, hasrat ini disuarakan oleh Ezad dalam satu perbincangan bersama pihak Broadway Entertainment bersama sebuah demo lagu yang beliau rasakan amat sesuai untuk dijadikan duet bersama Zamani. 

Setelah mendengar demo tersebut dan perbincangan bersama pihak Zamani, akhirnya persetujuan dicapai untuk merakamkan lagu ini dibawah syarikat Broadway Entertainment, dan bersetuju untuk memberi ruang dan masa kepada Zamani untuk selesaikan segala projek yang telah diaturkan untuk beliau terlebih dahulu. 

Lima Aksara merupakan sebuah lagu dengan melodi yang indah ciptaan seorang komposer wanita baru bernama Mulah, dan liriknya ditulis oleh Fedtri Yahya (Noraniza Idris, Nora, Misha Omar) 

Tangungjawab sebagai penerbit digalas oleh Boon Tan , penerbit senior yang pernah menerbitkan album untuk artis-artis seperti Anuar Zain, Awie, Nico dan Dayang Nurfaizah dengan kerjasama Sharon Paul untuk susunan muzik, serta penampilan istimewa Shah (Slam & Exists) untuk rakaman Gitar. Manakala Dato Aziz Bakar pula bertindak sebagai Penerbit Eksekutif untuk projek ini. 

Lima Aksara adalah kisah pengharapan dan pergantungan diri kepada suatu kuasa yang lebih tinggi sebagai tempat pegangan, rujukan atau tunjang disaat kita berusaha untuk merubah kepada kehidupan yang lebih baik dan ianya membawa pengertian yang berbeza bagi setiap individu. 

Ini merupakan projek pertama Broadway Entertainment setelah hampir 15 tahun 'berehat' dari sebarang kegiatan industri muzik bagi memberi tumpuan kepada cabang perniagaan lain. 

Setelah sekian lama kita tidak dipersembahkan dengan sebuah lagu duo lelaki yang hebat selepas Ghazal Untuk Rabiah oleh Dato M Nasir dan Dato Jamal Abdillah pada tahun 1997 dan kemudiannya Lagu Jiwa Lagu Cinta pada tahun 2005. 

Sudah sampai masanya untuk satu lagi lagu duo lelaki dari dua penyanyi yang tak kurang hebat. Ini adalah hadiah duo terbaru oleh dua penyanyi berstatus 'telan kaset' yang bersahabat baik, Ezad dan Zamani untuk semua peminat mereka di Malaysia, Singapura, Indonesia dan Brunei. 

Lima Aksara bakal menemui peminat muzik disemua platform digital muzik pada 28 Jun 2019 (Jumaat) dengan Tayangan Perdana Muzik Video Lima Aksara pada jam 10:00 malam di Channel Youtube Broadway NuMusic. Diharapkan usaha ini mampu memberikan variasi dan merancakkan industri muzik tanahair dan seluruh Nusantara.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!