ALIF & SOFIA CERIAKAN SIMULASI HAJI CILIK 2019



Alif & Sofia, karya terbitan bersama Primeworks Studios dan Blindspot Studios mengumumkan kolaborasi mereka dengan Persatuan Tadika Islam Malaysia (PERTIM) di bawah program Simulasi Haji Cilik 2019 (SHC) hari ini. Kerjasama itu merupakan inisiatif mereka untuk menjangkau dan beramah mesra bersama penonton utama Alif & Sofia yang terdiri daripada kanak-kanak yang berusia di lingkungan 4 hingga 6 tahun. Siri animasi 3D Alif & Sofia yang hanya boleh didapati menerusi platform Youtube, menampilkan kandungan berunsur pengajaran Islam yang sesuai ditontoni kanak-kanak prasekolah pada zaman ini.

Simulasi Haji Cilik merupakan sebuah sesi pembelajaran praktikal yang direka khas untuk memberi pendedahan awal kepada kanak-kanak tentang Rukun Islam yang kelima, iaitu melaksanakan Haji. Senario pelaksanaan Haji telah dicipta semula di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz mengikut stesen-stesen asas dimana lebih 3,000 kanak-kanak yang lengkap berpakaian Haji dibawa oleh guru-guru mereka untuk membuat Haji di setiap stesen terpilih.


Ditubuhkan oleh PERTIM pada tahun 2015, SHC telah dilaksanakan secara serentak di pelbagai lokasi di seluruh Malaysia dengan penyertaan lebih daripada 20,000 kanak-kanak dari lebih 1,000 tadika Islam. Ini menandakan tahun pertama Alif & Sofia bekerjasama dengan SHC secara besar-besaran, seiring itu mengambil watak-watak dari siri animasi itu sebagai inpirasi kepada kanak-kanak bagi memudahkan pembelajaran mereka tentang Haji. 

Terdapat satu episod di dalam siri Alif & Sofia yang diterbit khas dan disyorkan oleh PERTIM ke rangkaian-rangkaian pra sekolah Islam sebagai bahan pengajaran bagi persediaan untuk sesi praktikal pada hari acara SHC. Topik yang dikupas termasuklah prinsip-prinsip Islam (Rukun Islam), prinsip-prinsip Haji (Rukun Haji), dan kisah Nabi Ibrahim a.s. Semua episod siri tersebut boleh didapati menerusi platform Youtube rasmi Alif & Sofia di www.youtube.com/alifsofia dan ianya juga telah dijemput ke udara di program jamuan istimewa khas Hari Raya Haji TV3 Malaysia dari 5 hingga 11 Ogos 2019 pada jam 5.00 petang setiap hari. 


Encik Lukman Nul Hakim Othman, Ketua Pegawai Eksekutif Blindspot Studios berkata, "Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan oleh PERTIM untuk Alif & Sofia untuk menjangkau rangkaian mereka dan terlibat secara langsung bersama kanak-kanak, sebagai sebahagian daripada visi kami untuk mewujudkan kandungan animasi yang bukan semata-mata hiburan tetapi dapat menanamkan nilai-nilai positif dalam diri anak-anak kita. Kami juga berharap kanak-kanak dapat melihat diri mereka melalui sifat-sifat keyakinan dan nilai murni Alif dan Sofia, dan menjadikan mereka berdua sebagai contoh dan inspirasi dalam membina peribadi diri yang terbaik.”


"Sejak kami melancarkan semula saluran YouTube Alif & Sofia pada bulan Mei, saluran ini telah mencapai hampir 60,000 langganan. Kami sangat digalakkan dengan pertumbuhan ini dan dengan kerjasama Simulasi Haji Cilik 2019. Kami berharap Alif & Sofia akan terus menyuntik rasa keseronokan ke dalam proses pembelajaran harian dan aktiviti untuk kanak-kanak dalam tempoh prasekolah mereka, " kata Datuk Ahmad Izham Omar, Ketua Pegawai Eksekutif Primeworks Studios.

"PERTIM sangat mengalu-alukan kerjasama dengan Alif & Sofia untuk mendidik orang ramai mengenai haji dan memastikan masyarakat jemaah masa depan dilengkapi dengan baik untuk melaksanakan ibadah suci ini. Penglibatan Alif & Sofia mempunyai kesan yang sangat besar kerana sifat animasi yang menarik perhatian kanak-kanak sambil berfungsi sebagai alat pengajaran yang berharga, selaras dengan keperluan Kurikulum Asas Pra-Sekolah Kebangsaan (Kurikulum Asas Prasekolah Kebangsaan Malaysia, KSPK), kata Hajah Siti Ruzita Ramli, Penyelaras Program Simulasi Haji Cilik Malaysia.


Episod baru Alif & Sofia ditayangkan di saluran Youtube rasmi setiap Jumaat petang. Ikuti Alif & Sofia di laman Instagram @alif.sofia dan Facebook di www.facebook.com/AlifDanSofia, atau melalui #AlifSofia di semua platform sosial.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA