LEXIS HIBISCUS RAIKAN 2020 DENGAN PARTI TAHUN BAHARU
Sesungguhnya sambutan tahun baru di sebuah resort mewah yang menghadap laut adalah tiada tolak tandingnya. Ini terbukti dengan lebih daripada 3,000 orang pelawat yang berpesta dengan meriahnya di Negeri Sembilan, untuk mengucapkan selamat tinggal kepada tahun 2019 dan meraikan ketibaan tahun 2020 dengan pelbagai hiburan menarik, pertunjukan piroteknik dan juadah-juadah yang enak di Lexis Hibiscus Port Dickson.
"Kami amat teruja kerana ramai pelawat yang turut menyertai kami untuk meraikan Tahun Baru kali ini. Di Lexis Hibiscus Port Dickson, kami ada pelbagai aktiviti menarik untuk semua. Dari makan malam yang lazat kepada Konsert Tahun Baru yang menakjubkan, aktiviti-aktiviti yang kami sediakan sesuai untuk semua peringkat umur. Kami akan menganjurkan lebih banyak sambutan perayaan yang menarik dengan komuniti tempatan Negeri Sembilan untuk tahun-tahun yang akan datang", kata Mandy Chew Siok Cheng, Presiden Lexis Hotel Group.
Pesta dimulakan dengan jamuan hidangan di Roselle Coffee House dimana tetamu-tetamu hotel berpeluang menikmati hidangan lazat makanan tempatan dan antarabangsa yang disediakkan oleh chef-chef hotel. Mereka juga turut diberikan pilihan untuk menikmati sajian Jepun yang tidak kurang enaknya di Umi Japanese Restaurant. Suasana di kedua-dua restoran ini meriah dengan persembahan muzik sepanjang malam.
Menjelang waktu petang, tetamu-tetamu hotel mula menyertai pengunjung-pengunjung luar di kawasan pentas utama Konsert Tahun Baru yang terletak di pantai. Sejurus selepas matahari terbenam, mereka disambut dengan “pertunjukan api” yang dipersembahkan khas oleh Kelab Sukan dan Rekreasi hotel.
Pentas utama konsert dikerumuni peminat-peminat muzik. Kumpulan muzik hotel, iaitu Reflection dan Elite Trio mula mempersembahkan lagu-lagu klasik, melodi pop dan lagu-lagu yang amat sesuai untuk musim percutian sebegini, mereka juga menggalakkan penonton-penonton untuk turut menyanyi bersama. Persembahan mereka disambut dengan sorakan meriah dari semua.
Di selang persembahan nyanyian tersebut, orang ramai turut dihiburkan oleh DJ-DJ yang diundang khas untuk memanaskan lagi sambutan tersebut dengan alunan-alunan muzik rancak. Pengunjung parti kelihatan seronok mengayunkan “glowstick” sambil menikmati rentak lagu yang padat dan bertenaga.
Sebaik sahaja jam mencecah pukul 12 tengah malam, satu pertunjukan bunga api panoramik hebat menerangi langit malam berlatarkan irama yang menyemarakan lagi semangat penonton-penonton yang khusyuk menikmati keindahan pertunjukan bunga api tersebut. Teriakan meriah dan ucapan "Selamat Tahun Baru" membawa pesta sambutan tahun baru tersebut kepada penghujungnya.
Comments
Post a Comment