ANDI BERNADEE TERUSKAN DOMINASI REGGAETON DENGAN 'SHIMMY'



Setelah kejayaan single keempatnya ‘Donde’ yang menjadi trending dan tularsejak Mac 2019, bintang penyanyi muda Andi Bernadee semakin bersinar. Sehingga kini, video muzik rasmi ‘Donde’ telah mencecah lebih 19 juta tontonan sejak dimuatnaik di saluran YouTube Warner Music Malaysia pada 10 April 2019. 

Malah ‘Donde’ juga berjaya dinobatkan sebagai ‘Lagu Viral Onz’ dalam Anugerah Digital Muzik Era (EDMA 2019) yang berlangsung pada 17 Januari lalu, sekaligus menjadikan kemenangan pertama penyanyi yang mesra disapa sebagai Andi pada acara anugerah selepas hampir tiga tahun berada dalam industri muzik. 

Ternyata tahun 2019 merupakan tahun yang cemerlang buat Andi apabila turut tercalon dalam kategori ‘Artis Baharu MeleTOP’ dalam Anugerah MeleTOP Era 2019 (AME2019) dan tersenarai dalam Top 5 ‘Lagu Paling Boom’ dalam Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) ke-32 menerusi single terdahulunya ‘Satu Peluang’. 

Kini bagi meneruskan momentum kecemerlangan kerjaya seninya, Andi muncul dengan single kelimanya berjudul “SHIMMY”. Menerusi “SHIMMY”, Andi sekali lagi bekerjasama dengan rapper dan penerbit tersohor, Alif yang juga bertindak sebagai komposer, penulis lirik dan penerbit rakaman lagu ini. Sekali lagi menyuntik rentak muzik latin yang berusurkan pop ‘reggaeton’ dalam susunan muziknya, sesuai dengan judul lagu ini sendiri yang membawa maksud bergoyang. 

“SHIMMY” yang sarat dengan rentak dan melodi yang ‘catchy’, dilihat mampu membuat pendengar turut bergoyang dan lagu ini turut dijangkakan bakal mencipta fenomenanya tersendiri. Menerusi “SHIMMY”, Andi mengharapkan kedudukannya sebagai penyanyi lelaki yang membawa konsep muzik urban di persada seni Malaysia semakin mengukuh. 

Single “SHIMMY” terbitan Warner Music Malaysia ini boleh didapati di kesemua pelantar digital seperti Spotify, iTunes, KKBox , Deezer, Joox dan juga Apple Music bermula 14 FEBRUARI 2020.


Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA