BMW MALAYSIA BERJAYA SERAHKAN 11,567 KENDERAAN DI TAHUN 2019



BMW Group Malaysia berjaya menyerahkan 11,567 unit kenderaan BMW, MINI dan BMW Motorrad pada tahun 2019, ia disumbangkan oleh pengenalan 32 model baharu daripada jenama BMW dan MINI – empat daripadanya ialah kenderaan elektrik. 

Pengeluar kenderaan premium terus memperkukuhkan kedudukannya sebagai pembekal e-mobiliti yang terkemuka di Malaysia, sebanyak 3,148 unit kenderaan elektrik BMW dan MINI telah diserahkan pada tahun 2019. Ia menyumbang kepada penyerahan yang berjumlah lebih daripada 17,000 kenderaan elektrik oleh BMW Group Malaysia sejak tahun 2015. Kejayaan ini bukan sahaja mengukuhkan penapakan mobiliti elektro di dalam negara, malah turut mencerminkan janji yang ditunaikan dalam skala global. Sejumlah 145,815 unit kenderaan elektrik BMW dan MINI telah diserahkan di seluruh dunia pada tahun 2019, ia menyumbang kepada setengah juta kenderaan elektrik yang berjaya diserahkan setakat ini. 

Harald Hoelzl, Pengarah Urusan BMW Group Malaysia berkata, “Berlatarbelakangkan cabaran yang wujud dalam sektor automotif pada tahun lalu, kami berbangga untuk melakar kejayaan ini dalam segmen kenderaan elektrik di Malaysia dan di seluruh dunia – yang menegaskan harapan kami untuk tahun ini. Kami komited untuk terus menerajui arena mobiliti elektro di Malaysia, khususnya menjelang pengumuman Polisi Automotif Nasional yang bakal melihat kenderaan elektrik memainkan peranan yang penting untuk mendorong sektor automotif ke aras yang lebih tinggi.” 

Tahun 2019 juga menandakan tahun ketiga secara berturut-turut di mana BMW Group Malaysia menyebarluaskan infrastruktur mobiliti elektro di dalam negara. Hanya dalam tempoh tiga tahun, pengeluar kenderaan premium ini telah merungkaikan lebih daripada 30 Fasiliti Pengecasan BMW i. 

Jenama BMW juga telah menyaksikan 9,300 pemilik baharu di Malaysia pada tahun lalu. Ia diterajui oleh penyerahan berjumlah 2,514 unit kenderaan BMW 3 Series, kira-kira 1,000 unit daripadanya ialah BMW 330e M Sport. Satu lagi penyumbang utama kepada jumlah penyerahan yang dicatat oleh BMW ialah BMW 5 Series yang menyaksikan lebih daripada 2,000 pemilik baharu. 

Famili BMW X berjaya mencatat jumlah penyerahan yang memberangsangkan sepanjang tahun 2019, ia terdiri daripada 3,985 unit. BMW X3 merupakan model penyumbang yang tertinggi dengan penyerahan berjumlah 1,354 unit, diikuti rapat oleh BMW X1 dengan penyerahan mencecah 1,331 unit pada tahun 2019. Jentera elektrik BMW X5 xDrive40e turut menyumbang kepada penyerahan berjumlah 24% (975) dalam Famili BMW X, lantas menjadikannya model BMW X yang ketiga terlaris pada tahun 2019. 

MINI telah menyerahkan 1,142 unit kenderaan pada tahun lalu, ia diterajui oleh MINI Countryman yang menyumbang kira-kira separuh daripada jumlah penyerahan yang dicatat (685 unit). Sementara itu, BMW Motorrad berjaya menyerahkan 1,125 unit motosikal kepada pemilik-pemilik baharu. Penyumbang utama kepada pertumbuhan jenama ini masih kekal dalam segmen Pengembaraan (Adventure) yang menyaksikan 600 lebih pemilik baharu pada tahun 2019. 

Secara global, BMW Group telah memecah rekod buat tahun yang kesembilan secara berturut-turut setakat tahun 2019, dengan jumlah penyerahan mencecah 2,520,307 unit. Jenama BMW telah merekodkan angka tertinggi pada tahun lalu, dengan penyerahan berjumlah 2,168,516 unit di seluruh dunia. Di persada antarabangsa, jenama MINI turut berjaya menyerahkan 346,639 unit kenderaan pada tahun lalu, sementara BMW Motorrad mencatat 175,162 unit motosikal yang diserahkan kepada pemilik baharu. 

Tahun 2020 telah membuka tirai, dan BMW Group Malaysia akan terus menerajui Mobiliti Bervisi ke hadapan; dengan komitmen yang jelas dan berterusan untuk memacu daya inovasi, keupayaan pemasangan di peringkat domestik, kesedaran terhadap teknologi yang baharu dan bersih bagi industri automotif, serta untuk mengubah infrastruktur kenderaan premium di Malaysia. Pengeluar kenderaan premium berkenaan juga akan membawa Malaysia ke aras kecemerlangan kesukanan yang baharu menerusi “Story of Thrilling Sportiness” untuk mencabar status quo dalam semua arena, manakala “Story of Independent Style” akan menjadi pendorong utama bagi jiwa keindividualan jenama BMW, mendefinisikan semula aspek kemewahan dengan estetika yang mencetus inspirasi dan inovasi perintis yang dapat memahat tanda aras baharu dalam segmen kenderaan mewah. 

Dengan tawaran pelbagai jenis pelan pembiayaan yang fleksibel, BMW Group Financial Services Malaysia juga berjaya membentuk sebuah portfolio perniagaan yang utuh, separuh daripada kenderaan BMW dan MINI yang diserahkan pada tahun lepas telah dibiayai dengan perkhidmatan berkenaan. BMW Group Financial Services juga telah memperkenalkan solusi pembiayaan Easy Drive untuk memudahkan mobiliti serta menjadikannya lebih fleksibel dan mampu milik untuk semua. 

“Tahun ini membuka halaman baharu bagi kami dan Malaysia untuk gagasan Mobiliti Bervisi. Tahun 2020 bakal menjadi tahun transformasi yang menarik bagi sektor automotif dan kami berasa teruja untuk menjadi sebahagian daripadanya. Mewakili pihak BMW Group Malaysia, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada para pelanggan, kakitangan dan jaringan wakil pengedar kami kerana telah membantu kami melakar kejayaan, meskipun sektor automotif negara telah berhadapan dengan cabaran yang getir pada tahun 2019,” ujar Hoelzl.

Comments

Popular Posts