“RATU KALA JENGKING” MENYENGAT DI PAWAGAM 27 FEB
Berdasarkan beberapa kisah legenda yang terkenal, pastinya kisah mengenai seorang wanita yang berkahwin sebanyak 99 kali antara yang sering diperkatakan.
Malah, kisah legenda mengenai wanita yang bernama Cik Siti ini sebenarnya cukup popular dalam kalangan masyarakat terutama di daerah Kota Tinggi, Johor.
Sehubungan itu, A. Aida Production telah mengambil inisiatif dengan menghasilkan sebuah filem berjudul Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang diinspirasikan kepada kisah legenda berkenaan.
Akan ditayangkan di pawagam pada 27 Februari ini, filem arahan Bade Hj Azmi itu menampilkan Nadia Brian selaku teraju utama yang membawakan watak Cik Siti.
Menurut Nadia, antara sebab utama dia teruja untuk membintangi filem berkenaan kerana kisah legendanya itu sendiri mengenai seorang wanita yang pernah memiliki 99 orang suami dan semuanya mati pada malam pertama.
“Apabila mendengar sahaja tajuk filem ini, ia sudah membuatkan saya teruja. Apatah lagi, ia merupakan sebuah kisah mitos rakyat jelata yang sangat terkenal dan menjadi sebutan ramai.
“Bagaimanapun, bukan mudah untuk saya mendalami watak Cik Siti ini. Namun, sepanjang sebulan menjalani penggambaran, saya telah cuba berikan yang terbaik agar berjaya membawakan watak ini dengan berjaya,” jelasnya.
Selain menampilkan Nadia sebagai teraju utama, filem berkenaan turut menampilkan ramai pelakon lain seperti Amar Ashraf, Datuk Fizz Fairuz, Eyra Hazali, Octavia Manrose, Eyra Hazali dan penyanyi kelahiran Indonesia iaitu Firman Siagian.
Ujarnya, sebagai filem pertama lakonannya dengan memegang watak utama, ternyata ia perlu berhadapan dengan pelbagai cabaran yang terpaksa diharungi.
“Membawakan watak sebagai Cik Siti ini memberikan satu cabaran yang tersendiri kerana perlu pandai bersilat dan berani berhadapan dengan binatang berbisa.
“Sebelum penggambaran saya dah tahu ada babak bersama ular dan kala jengking, tetapi ingatkan ia menggunakan teknik CGI. Namun ketika penggambaran, barulah saya diberitahu saya perlu melakonkan sendiri babak bersama bintang-bintang tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Bade selaku pengarah pula menyatakan ia satu peluang apabila ditawarkan oleh Datuk A. Aida sendiri untuk menghasilkan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda ini.
Ujarnya, ini merupakan kali pertama buat dirinya mengarahkan filem bergenre sebegini dan yakin ia mampu menghiburkan penonton, di sebalik dapat mengetahui tentang kisah legenda yang cukup terkenal itu.
“Penggambaran berlangsung selama 30 hari di Sedeli, Johor dan untuk barisan pelakon pula adalah pilihan daripada A. Aida.
“Sepanjang penggambaran semuanya berjalan dengan lancar dan gembira kerana semua pelakon telah memberikan komitmen yang baik untuk menjayakan watak masing-masing,” jelasnya.
SINOPSIS
Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda mengisahkan tentang Cik Siti yang mempunyai dua orang sahabat baik iaitu Mawar dan Teratai. Siti bercinta dengan Awang, namun dalam diam rupa-rupanya Mawar juga mencintai Awang. Teratai yang mengetahui pekara tersebut menasihati Mawar agar tidak mengkhianati sahabat baik sendiri.
Kemudian, wajah Cik Siti tiba-tiba diserang penyakit misteri apabila ditumbuhi jerawat batu. Keadaan mukanya sangat teruk sehingga orang kampung memanggilnya hantu dan diasering dihina dan dikeji, malah akhirnya Awang juga meninggalkannya. Cik Siti kecewa lalu berkawan dengan Nadim, pemotong kayu yang menjadi tempatnya mengadu. Mawar telah menghasut Cik Siti supaya pergi ke gunung panti untuk berubat dengan Nenek Kebayan, dengan harapan Awang akan menjadi miliknya.
Cik Siti nekad untuk pergi berubat dengan Nenek Kebayan, meskipun ibunya melarang. Semasa ketiadaan Cik Siti, Nadim yang menjaga ibunya siang dan malam. Terharu dengan kebaikkan Nadim, ibu Cik Siti telah berjanji yang dia akan mengahwinkan Nadim dengan Cik Siti.
Sementara itu, Cik Siti meredah hutan belantara tiga hari tiga malam, sehingga dia berjumpa dengan Nenek Kebayan yang bersetuju mengubati penyakitnya, tetapi dengan syarat Cik Siti tidak boleh menderhaka dan mengecilkan hati ibunya. Sekiranya melanggar pantang, Siti akan menerima akibatnya.
Cik Siti bersetuju dan terus berubat. Dia juga menuntut ilmu kebatinan. Setelah menuntut selama 99 hari, terdapat perubahan pada wajahnya. Mukanya licin dan cantik berseri-seri seperti bulan purnama. Untuk mengetahui kisah selanjutnya, jangan lupa saksikan filem Ratu Kala Jengking: Puteri Keranda yang akan ditayangkan di pawagam seluruh negara pada 27 Februari 2020.
BARISAN PELAKON
NADIA BRIAN - Cik Siti
DATUK FIZZ FAIRUZ - Pak Kulim
AMAR ASHRAF - Nadim
MAS KHAN - Awang
FIRMAN SIAGIAN - Firman
EYRA HAZALI - Mawar
OCTAVIA MANROSE - Teratai
DAYANG AREEDA - Nenek Kebayan
APRENA MANROSE - Ana
FAUZIAH NAWI - Mak Embun
ROSLAN SALLEH - Tok Ketua
DATUK AHMAD TARMIMI SIREGAR - Tok Imam
RAJA AZMI - Mak Kiah
TAHA WAHID - Sulong
MAK WAN LATAH - Mak Limah
REZA HASBI - Mamat
PUTRA AMARIS - Dolah
AZAM PITT - Samad
AMAN NASSIM - Taha
MAS HADZEEM - Amin
LAN SIRO - Daud
KHATY AZEAN - Mak Esah
AFZAN - Alias
QAZEM NOOR - Tok Dukun Sidek
MAAROP - Tok Dukun Kasim
BADRUL MUHAYAT - Badrul Muhayat
AISYAH ATAN - Aisah
IKHLAS JALIL - Malik
NAFIEZ ZAIDI - Adam
FAD ANUAR - Orang Bergerutu
PRODUKSI
Penerbit - Datuk A. Aida
Pengarah - Bade Hj Azmi
Penerbit Eksekutif - Rositah Deros
Pengarah Seni - Mohd. Habibullah Mohd. Zin
Jurukamera - Mohd. Faizal Mohd. Ali
Solekan - Azlina Mohd. Aris
Pengurus Produksi
- Mohd. Shafiq Bakhri
- Mohd. Shafiq Bakhri
- Taha Wahid
Wardrobe - Siti Mahanifa Mohd. Diah
Terbitan - A. Aida Production Sdn. Bhd.
Comments
Post a Comment