8 TRIVIA MENARIK TENTANG DRAMA BERSIRI ASTRO CERIA FAMILY SPY



Saluran kanak-kanak nombor 1 di Malaysia, Astro Ceria dengan berbesar hati membawakan sebuah siri komedi aksi terbaharu, ‘Family Spy’ sempena dengan kedatangan musim cuti sekolah Mac ini!

Istimewa untuk kanak-kanak dan seisi keluarga, drama bersiri 8 episod ini merupakan sebuah naskhah asal terbitan Astro GenNext Studios dengan kerjasama rumah produksi Shutterspeak Studio, dan diarahkan oleh Angie Choo. Siri ‘Family Spy’ yang berdurasi selama 30 minit bagi setiap episod ini bakal bersiaran pada setiap hari Rabu, jam 9.00 malam mulai 11 Mac 2020 secara eksklusif menerusi saluran Astro Ceria (611) dan Ceria HD (631) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan on demand untuk pilihan yang lebih fleksibel. 

SINOPSIS RINGKAS ‘FAMILY SPY’ 

‘Family Spy’ mengisahkan tentang seorang bekas perisik hebat antarabangsa, Roz (lakonan Rozita Che Wan), yang terpaksa melepaskan kerjayanya demi melindungi keluarga tercinta. Ahli keluarganya langsung tidak mengetahui latar belakang pekerjaan Roz sebagai seorang bekas perisik, dan beliau berhasrat untuk mengekalkan rahsia itu terutamanya dari anaknya, Daniel (lakonan Alif Satar), yang juga merupakan seorang anggota polis! 

Walaupun sudah lama meninggalkan dunia perisikan (‘the spy life’), Roz terpaksa menggunakan skil dan inteleknya untuk menyelamatkan cucunya, Rin (lakonan Airiezara Jasmin), yang diculik oleh musuh. Musuh dari zaman silam yang beliau sendiri kenali dan cukup tidak disangka-sangka. Kini, dengan kebolehan yang dimiliki namun mempunyai faktor-faktor limitasi, berjayakah Roz menyelamatkan cucunya dari bahaya? Sarat dengan aksi mendebarkan, jangan lupa untuk menyaksikan ‘Family Spy’, Mac ini. 


8 TRIVIA ‘FAMILY SPY’ 

1. Sesi penggambaran ‘Family Spy’ mengambil masa selama 16 hari dan lokasi penggambaran diadakan di sekitar Taman Melawati, Kota Damansara, Kepong dan Shah Alam. 

2. ‘Family Spy’ merupakan siri komedi aksi pertama bagi pelakon wanita popular, Rozita Che Wan (Che Ta), dan terdapat pelbagai adegan di mana Che Ta juga melakonkan aksi ‘stunt’ beliau sendiri tanpa memerlukan bantuan pelakon aksi. 

3. Penyanyi dan pelakon, Charis Ow, yang merupakan Ketua Mouseketeer di Club Mickey Mouse (Asia) yang bersiaran di saluran Disney (Astro CH 615) mahir melakukan aksi ‘somersault’ dan melakonkan babak lawan wataknya sendiri tanpa bantuan ‘stuntman’. 

4. Pihak produksi ‘Family Spy’ memilih penyanyi, pengacara, dan pelakon hebat, Alif Satar untuk menjayakan watak Daniel, seorang anggota polis dan anak kepada Roz (lakonan Che Ta). Pemilihan beliau dibuat setelah mengambil kira bakat versatil yang dimiliki Alif dalam dunia seni tanah air. 

5. Pelakon, pelawak, penyanyi dan penyampai radio ERA, Danial Zaini, melakonkan dua watak antagonis pada waktu yang sama iaitu Dr Kaos and Dr Kaos Junior. Ini merupakan penampilan sulung beliau dalam bidang lakonan. 

6. Finalis Gegar Vaganza musim keenam, Sham Visa juga turut menjayakan siri ‘Family Spy’ ini dengan membuat beberapa penampilan misteri dalam setiap episod. Nantikan elemen kejutan yang bakal Sham tonjolkan kelak. 

7. Airiezara Jasmin yang melakonkan watak Rin baru berumur 8 tahun, dan merupakan anak saudara kepada pelakon, Iedil Dzuhrie Alaudin. Ini merupakan penampilan pertama beliau sebagai pelakon dalam drama bersiri. Sebelum ini, Airiezara atau lebih mesra dengan panggilan ‘Yaya’ turut terlibat dalam sebuah produksi teater muzikal kanak-kanak untuk persembahan di Istana Budaya. 

8. Salah satu aspek utama ‘Family Spy’ adalah penggunaan pembelajaran STEM (sains, teknologi, kejuruteraan, dan matematik) yang selari dengan Pelan Pembangunan Pendidikan Malaysia terkini. Sebagai usaha berterusan Astro Ceria dalam menyuntik elemen pembelajaran digital dalam kandungannya, ‘Family Spy’ turut bakal memperkenalkan barangan cenderahati (‘merchandise’), ‘Learning Box’, di mana pengguna boleh membuat hologram atau membina kacamata penapis cahaya hitam (black light filter goggles) sendiri.


Comments

Popular posts from this blog

SUNWAY MALLS MERAIKAN ULANG TAHUN KE-50 SUNWAY GROUP DENGAN PENUH GILANG DI SELURUH NEGARA

X-CHANGE: ASTRO ORIGINALS YANG PERTAMA HIMPUNKAN PELBAGAI BAHASA, MENGGABUNGKAN GENRE AKSI, JENAYAH & ROMANTIK

KEMPEN ‘MEMPERKASAKAN IMPIAN WANITA’ SUNSILK BERJAYA MENJANA RM100,000 UNTUK SOKONG WOMEN OF WILL

BAWAH PAYUNG AWAN - GANDINGAN ISTIMEWA NABILA RAZALI, BEN AMIR DAN NELISSA NIZAM