MYBALLOONFIESTA DITUNDA KERANA PENULARAN WABAK COVID-19
Acara Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang dijadualkan pada 19 hingga 22 Mac 2020 ditangguhkan ekoran kebimbangan yang semakin meningkat mengenai penularan wabak COVID-19.
Berikutan daripada kebimbangan kesihatan terhadap penularan wabak COVID-19, penganjur AKA Balloon Sdn Bhd dan penganjur bersama Perbadanan Putrajaya (PPj) mengambil keputusan untuk menangguhkan acara yang berlangsung selama empat hari bagi mengutamakan kesihatan serta keselamatan orang awam, juruterbang, vendor, pembekal, kakitangan dan keluarga.
"Ini merupakan keputusan yang amat sukar buat kami, kerana pesta ini adalah acara tahunan yang dinanti-nantikan oleh pelbagai pihak. Seperti tahun-tahun sebelum ini, kami berharap dapat mengalu-alukan lebih daripada 200,000 pengunjung sepanjang empat hari penganjuran. Walau bagaimanapun, setelah membuat pertimbangan yang teliti diikuti dengan perkembangan terkini wabak global coronavirus (COVID-19), adalah amat sukar buat kami untuk meramalkan skala penularan wabak semasa tarikh acara berlangsung dan ketidakpastian pergerakan rentas sempadan pengunjung, juruterbang dan kakitangan" kata Puan Nur Izzati Khairudin, Ketua Pegawai Eksekutif AKA Balloon Sdn Bhd, penganjur utama Pesta Belon Udara Panas sejak 2019.
Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang menjadi acara kegemaran buat pengunjung tempatan dan antarabangsa menghimpunkan lebih daripada 25 belon udara panas daripada 13 buah negara termasuk Malaysia.
"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada peminat setia Pesta Belon Udara Panas Antarabangsa Putrajaya yang sering menanti-natikan acara ini dan rakan kongsi serta vendor-vendor di atas sokongan dan keprihatinan mereka terhadap situasi yang berlaku." kata Datuk Dr Aminuddin Hassim, Presiden Perbadanan Putrajaya.
Untuk maklumat lanjut mengenai proses bayaran balik, sila layari https://www.myballoonfiesta.com/refund
Comments
Post a Comment