“HEROKU” BAWA PENGHARGAAN BUAT PETUGAS BARISAN HADAPAN



Sambutan Hari Pekerja pada 1 Mei 2020 kali ini sangat bermakna dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga perlu diberikan kepada petugas barisan hadapan iaitu pasukan kesihatan dan keselamatan yang telah banyak mengorbankan masa dan tenaga mereka dalam membendung pandemik Covid-19 ini. Pastinya sambutan kali ini memberi impak paling mendalam buat mereka yang telah mempertaruhkan nyawa mereka demi kesejahteraan dan keselamatan kita semua! 
Bagi mengenang jasa barisan hero negara ini, Media Prima Berhad (MPB) dan Telekom Malaysia Berhad (TM) telah bekerjasama menghasilkan sebuah program bual bicara khas HeroKu yang disiarkan bermula 30 April 2020, setiap hari Khamis, pukul 6.30 petang di TV3. Program empat episod berdurasi 30 minit ini akan dihoskan oleh Fariha Onn.

Menerusi HeroKu ini, penonton akan dibawa mendekati dan pada masa sama menyelami jiwa beberapa ahli keluarga kepada para petugas barisan hadapan ini terutamanya golongan ibu bapa yang patut rasa bangga dengan pengorbanan dan dedikasi yang diberikan oleh anak-anak mereka dalam usaha membendung pandemik Covid-19 ini. Lebih menggembirakan apabila mereka dapat berhubung dengan ahli keluarga tersayang dan mengubati kerinduan mereka yang sentiasa bimbang akan keselamatan ahli keluarga yang terlibat dengan barisan hadapan.

Menurut Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima OMNIA, Encik Michael Chan, “Sebagai organisasi media yang sentiasa prihatin dengan isu semasa, kami mengambil peluang ini bersama TM selaku penaja program HeroKu untuk menghubungkan para petugas barisan hadapan dengan ahli-ahli keluarga mereka bagi menzahirkan ucapan terima kasih, meluahkan rasa syukur, rindu dan bangga kepada pengorbanan mereka yang terpaksa berpisah dengan keluarga. Tidak lupa juga kepada petugas media, pasukan teknikal komunikasi serta elektrikal, pekerja pembersihan, ahli bomba dan mereka yang berkepentingan dalam mengehadkan penularan Covid-19 sepanjang PKP ini. Mereka adalah tunggak negara sementara semua orang selesa berada di rumah.”

Sementara itu, menurut Naib Presiden Jenama dan Komunikasi Kumpulan TM, Izlyn Ramli, “Sebagai penyedia perkhidmatan penting kepada negara, kami komited untuk terus menyediakan kemudahan sambungan dan digital tanpa gangguan kepada semua rakyat Malaysia dalam tempoh PKP ini untuk memenuhi gaya hidup digital, membantu mereka kekal di rumah, kekal terhibur, kekal terhubung, kekal produktif dan kekal selamat. Menyedari situasi “luar biasa” yang sedang kita sama-sama alami ini, hasrat kami adalah menghubungkan mereka yang terpisah kerana melaksanakan tugas di barisan hadapan demi negara dan kami memastikan tiada halangan untuk hero barisan hadapan mahupun sesiapa sahaja untuk terus berhubung menerusi perkhidmatan kami yang menyeluruh. Program HeroKu ini sangat istimewa di mana ianya akan memaparkan detik-detik menyentuh perasaan apabila kami dapat menghubungkan ahli keluarga dengan petugas barisan hadapan untuk berkongsi luahan hati mereka. Kami turut berkongsi pengalaman pasukan barisan hadapan TM menerusi program kemasyarakatan sepanjang PKP dilaksanakan.”

Paparan menarik yang disiarkan dalam empat episod ini ialah aktiviti para sukarelawan (Episod 1: Di Sebalik Tabir), cabaran penghantar makanan dan pasukan teknikal TM (Episod 2: Dalam Perjalanan), cabaran para petugas di sektor perubatan dan pasukan keselamatan (Episod 3: Barisan Hadapan) serta tugasan anggota polis bantuan KLIA dan penghantar barang (Episod 4: Khidmat Penghantaran Barangan).

Pasukan kesihatan merupakan pasukan paling penting dan sanggup berhadapan dengan risiko yang amat berbahaya. Begitu juga dengan pasukan keselamatan yang terpaksa bertugas di bawah terik matahari, kadang-kala dalam hujan lebat serta ribut kerana cuaca yang tidak menentu masa kini demi memastikan kita tidak ingkar dengan perintah kawalan pergerakan yang dikuatkuasakan oleh Majlis Keselamatan Negara. 

Jasa sukarelawan juga perlu dikenang kerana mengambil inisiatif DIY bekalan pakaian perlindungan peribadi (PPE) untuk memastikan petugas barisan hadapan sentiasa terlindung dan berada dalam keadaan selamat ketika mereka menjalankan tugas. Tidak lupa juga kepada petugas khidmat penghantaran makanan dari pelbagai platform e-hailing serta para pemandu lori yang sentiasa memastikan bekalan keperluan harian dihantar ke destinasi mengikut jadual yang ditetapkan untuk menjamin kehidupan semua berjalan dengan normal.

Tahukah anda bahawa pasukan teknikal TM terpaksa berkhemah di luar demi menjalankan kerja penyelenggaraan rangkaian TM tatkala kita sedang menikmati kemudahan komunikasi untuk berhubung dengan sesiapa saja dalam tempoh ini? Selain dapat berhubung dengan ahli keluarga, urusan kerja dan sesi pembelajaran dalam talian juga dapat diteruskan dalam keadaan yang selesa di rumah.

Saksikan Fariha Onn selaku hos program Heroku bertemu bual dengan wakil TM dari unifi, TM ONE dan TM ROVers membincangkan peluang perniagaan dalam talian yang diwujudkan kepada pengusaha kecil-kecilan, bagaimana untuk memanfaatkan kemudahan teknologi bagi berhadapan dengan ekosistem baharu dan menyesuaikan operasi dengan normal baharu selepas PKP tamat dan juga apakah inisiatif yang telah dilakukan oleh TM Rovers untuk membantu golongan yang memerlukan.


HeroKu yang dibawakan oleh TM akan mula bersiaran pada setiap hari Khamis, pukul 6.30 petang bermula pada 30 April 2020.



Comments

Popular Posts