SINOPSIS SLOT AKASIA TV3 DRAMA BERSIRI "IRONI KASIH"



Intan Najuwa kemurungan? Adakah tragedi yang menimpanya baru-baru ini menyebabkan kemurungan tersebut? Sebenarnya ia adalah tuntutan wataknya dalam drama bersiri terbaharu, ‘IRONI KASIH’ yang sedang bersiaran menerusi slot Akasia di TV3 bermula 2 April 2020. 

Drama bersiri ‘IRONI KASIH’ merupakan arahan Nazir Jamaluddin hasil produksi Wiranusa Corporation Sdn Bhd. Siri 15 episod ini menceritakan tentang Kasih Ariana (Intan Najuwa) yang hidup sebatang kara selepas kehilangan ibu dan kakaknya. Tragedi yang menimpa kakaknya Suri telah meninggalkan kesan yang begitu mendalam di hati Kasih. 

Kasih memulakan hidup baru di bandar. Pada awalnya Kasih bekerja sebagai pembantu pengurusan di firma arkitek milik Johan (Aqasha), tetapi dia telah dipujuk oleh Emilia (Intan Ladyana) untuk menjadi pengasuh kepada Danish (Isaac Iman), anak tunggal Johan dan isterinya, Emilia. Emilia begitu taksub akan kerjaya sehingga tidak mempunyai masa untuk menguruskan keluarga. Johan pada mulanya tidak bersetuju dengan permintaan Emilia. Akhirnya, Johan terpaksa menuruti juga apabila Kasih sendiri menerima tawaran pekerjaan itu. Kasih bersetuju memandangkan dia ditawarkan gaji yang lumayan dan mendapat tempat tinggal. 

Kasih menjalankan tugasnya dengan baik sehinggakan Danish menjadi sangat rapat dengannya. Johan pula sering pulang untuk makan tengahari di rumah kerana amat sukakan masakan Kasih. Mereka menjadi semakin mesra. Bahkan, Mak Salmah (Ogy Ahmad Daud) iaitu ibu kepada Johan amat menyukai Kasih dan sering membanding-bandingkan kelebihan Kasih yang baginya lebih baik daripada Emilia. Emilia bukannya tidak sedar akan semua ini tetapi dia berfikiran terbuka. Emilia optimis bahawa Johan tidak akan curang padanya lebih-lebih lagi dengan pengasuh yang tidak setanding dengannya. 

Namun hubungan di antara Johan dan Emilia mulai retak apabila Emilia sering meluangkan masa bersama rakan kongsinya, Megat (Datuk Fizz Fairuz). Kemuncaknya apabila pada suatu malam, Johan mengamuk apabila mendapat tahu Emilia dan Megat telah ditangkap berkhalwat. Kejadian ini menyebabkan mereka suami isteri bertikam lidah, sehinggakan Emilia telah mendesak Johan untuk menceraikannya. Johan yang rasa tercabar terus menceraikan Emilia bersaksikan Kasih dan Danish. Kasih amat gembira di atas penceraian Johan dan Emilia. Kini dia telah berjaya bernikah dengan Johan. 

Kasih mula buat perangai malah dia tidak mempedulikan Danish dan sering menyakitkan hati Johan. Johan terkejut dengan perubahan sikap Kasih. Kasih akhirnya membongkar rahsia bahawa segala yang terjadi telah dirancang dari awal. Kasih hadir ke dalam hidup Johan dengan tujuan untuk membalas dendam di atas kematian kakaknya Suri. Suri meninggal dunia akibat dilanggar lari dan kematiannya dalam keadaan berbadan dua tanpa berkahwin telah membuatkan ibunya terkejut sehingga meninggal akibat sakit jantung. Apakah sebenarnya kaitan kematian Suri dengan Johan? Bagaimanakah Johan berhadapan dengan Kasih yang kini hanya berdendam kepadanya? 

Drama ini pasti memberikan impak dan pengajaran dalam kehidupan seharian kita semua. Ironi Kasih dibintangi barisan pelakon seperti Intan Najuwa, Aqasha, Intan Ladyana, Datuk Fizz Fairuz, Isaac Iman, Ramona Zamzam, Afifah Nasir, Syafi Tee DFKL, Sarah Malisa DFKL, Ogy Ahmad Daud dan Nazia Mustafar. 


Ironi Kasih bersiaran pada setiap Isnin hingga Jumaat, pukul 7.00 malam di slot Akasia dan boleh strim di laman sesawang www.tonton.com.my . Untuk mendapatkan info terkini tentang drama kegemaran anda, layari laman sosial Facebook, Twitter, YouTube dan Instagram TV3 iaitu @TV3Malaysia, dan Instagram rasmi Drama Sangat iaitu @dramasangat !

Comments

Popular Posts