‘STREAM THE BEAT’, FESTIVAL MUZIK & KECERGASAN PERCUMA
Fresh Events Asia, sebuah syarikat tempatan, buat julung kalinya telah mencipta festival muzik dan kecergasan yang bakal disiarkan secara langsung untuk memberi hiburan secara percuma sambil beramal. ‘Stream The Beat’ akan membawakan barisan selebriti hebat dari industri muzik, kecergasan dan kesihatan akan menampilkan hiburan penuh aksi sebanyak dua sesi selama 8 jam. Objektif utama penyediaan platform ini adalah mengumpul dana kecemasan bagi menghulurkan bantuan bekalan makanan menerusi The Lost Food Project, sebuah badan bukan kerajaan (NGO) dan bank makanan kepada badan-badan amal dan golongan-golongan yang memerlukan dan terkesan akibat pandemik Covid-19.
Sam Middlehurst, Ketua Pegawai Eksekutif Fresh Events Asia berkata, “Pada masa yang sukar ini, kami ingin mencipta acara ‘live streaming’ yang unik dengan mengumpul kesemua peminat acara-acara kami untuk bersama-sama meraikan muzik, kecergasan dan kesejahteraan keseluruhan melalui satu platform. Kami merasakan, adalah wajar bagi kami memainkan peranan untuk membantu mereka yang memerlukan dan kami sangat gembira kerana dapat bekerjasama dengan The Lost Food Project untuk mendorong sumbangan dana sekaligus membantu menyediakan bekalan makanan secukupnya kepada golongan-golongan ini. Festival ini tidak dapat direalisasikan tanpa sokongan dari Universal Music dan barisan artis-artis hebat yang menyumbangkan masa mereka untuk menghiburkan peminat secara virtual pada tempoh yang sukar ini. Kami amatlah berharap dapat bersama-sama menjemput orang ramai menyokong dan memberi sumbangan ikhlas kepada mereka yang terkesan. Amaun RM10 akan dapat membantu memberi bantuan bekalan makanan kepada 50 orang yang sangat memerlukan”.
Fresh Events Asia telah menghimpunkan barisan selebriti yang mengagumkan dari dunia muzik dan kecergasan, dan dengan kerjasama dari pihak Universal Music, penonton akan dihiburkan dengan barisan artis terbaik di rantau ini. Pelakon dan penyanyi Alvin Chong, artis Hip-Hop, SonaOne dan Rabbit Mac, Simon Webbe dari kumpulan Bleu dan kumpulan wanita, Dolla hanyalah beberapa bintang muzik yang akan bersama-sama menyokong usaha kami. Pengarah Urusan dan Ketua Projek Khas untuk Asia Tenggara Universal Music, Kenny Ong berkata, “Kami amat gembira dapat bekerjasama dengan Fresh Events Asia buat pertama kali melalui acara baru yang menarik ini dimana ia menggabungkan elemen muzik dan kecergasan pada masa orang ramai menginginkan acara yang unik. Kami bersama barisan artis kami akan memberi hiburan terbaik kepada peminat-peminat dan kami amatlah berharap agar inisiatif ini dapat membantu menjana sejumlah dana yang besar untuk bank makanan Malaysia bagi membantu meringankan dan memberi bantuan bekalan makanan kepada mereka yang memerlukan”.
Bagi mereka yang mementingkan gaya hidup sihat dan pemakanan seimbang sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini, terdapat banyak aktiviti kecergasan dan kesihatan menarik untuk seisi keluarga. Ikon kecergasan, Nana Al-Haleq akan mengadakan kelas HIIT, Hansen Lee yang juga merupakan duta Lululemon akan memimpin kelas latihan yoga dan chef selebriti Malaysia, Anis Nabilah akan mengadakan demo masakan makanan yang sihat. Kata Anis, “Saya tidak sabar untuk berkongsi beberapa petua masakan makanan sihat dan menjadi sebahagian daripada acara menarik dan bermanfaat ini. Sebagai duta The Lost Food Project, ini adalah satu inisiatif yang mengagumkan di mana industri muzik dan kecergasan bergabung untuk tujuan yang baik iaitu mengumpulkan dana bagi membantu lebih ramai individu yang memerlukan bekalan makanan untuk mereka dan keluarga mereka”.
Bersiaran secara langsung dari jam 2 petang hingga 10 malam, sesi muzik, kecergasan dan kesihatan akan diselingi dengan beberapa peraduan menarik di mana penonton berpeluang memenangi hadiah hebat dari pihak kami dan barisan artis. Sesi Soal Jawab secara langsung juga membuka peluang bagi peminat berinteraksi dengan artis kegemaran mereka dan bagi mereka yang ingin menunjukkan kemahiran menari, kami akan melancarkan ‘live Dance-Cam’’ untuk mereka menari dengan lagu kegemaran mereka secara langsung.
Mohd Syazwan Mokhtar, Pengurus Besar The Lost Food Project sangat berbesar hati dengan sokongan daripada Stream The Beat; “Pada saat kami menerima permintaan yang tidak henti-henti untuk penyaluran bantuan bekalan makanan, kami sangat berterima kasih dengan sokongan Fresh Events Asia dan semua pihak yang terlibat dengan festival ini. Seperti kebanyakan negara di seluruh dunia, Malaysia mempunyai lebih ramai orang yang jatuh di bawah paras garis kemiskinan disebabkan oleh wabak Covid-19. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memastikan mereka mendapat dana dan bekalan yang cukup khususnya pada waktu yang sukar ini. Terima kasih yang tak terhingga dari kami semua di The Lost Food Project dan badan-badan amal yang bekerjasama dengan kami untuk sokongan dan sumbangan ikhlas yang ditawarkan”.
Stream The Beat akan berlangsung antara jam 2 petang hingga 10 malam pada hari Sabtu, 2 Mei dan boleh ditonton secara percuma. Bagi peminat yang ingin mendaftar, sila layari laman web www.streamthebeat.com dan untuk maklumat terkini dan lebih lanjut, ikuti laman sosial facebook.com/streamthebeat dan instagram.com/streamthebeat.
Comments
Post a Comment