SINOPSIS “AKU, BUNGA” LAKONAN BEN AMIR, NAIM DANIAL & BUNGA ISME

 

Pengarah tersohor, Kabir Bhatia sekali lagi tampil dengan buah tangan terbaharu, “AKU, BUNGA”, istimewa buat penonton setia Astro First Eksklusif. Mengiringi reputasi beliau sebagai ‘Award Winning Director’, filem yang mendapat sentuhannya baru-baru ini, ‘Sangkar’ berjaya merekodkan kutipan pecah panggung. Kini, beliau bersedia untuk menyajikan sebuah lagi karya hebat, “Aku, Bunga” kepada penonton yang merindukan naskhah-naskhah hebat beliau. “Aku, Bunga” bakal menemui peminat di Astro First Eksklusif (saluran 480) mulai 13 Ogos ini. Untuk pilihan alternatif, filem televisyen (FTV) ini juga boleh didapati di platform On Demand.


 

“Aku, Bunga” menampilkan gandingan segar tiga personaliti yang hadir dari latar belakang yang berbeza, Ben Amir, Naim Danial dan pendatang baharu dalam industri seni, Noor Ayu Fatini atau lebih dikenali dengan nama Bunga Isme. Bunga sebelum ini mencuri tumpuan dunia apabila muncul dalam artikel The New York Times dan sebuah video daripada Bloomberg ketika membuat persembahan nyanyian rap dengan berbaju kurung dan berhijab. FTV ini merupakan kemunculan sulung Bunga dalam cabang lakonan. 

“Aku Bunga” mengisahkan tentang Bunga (lakonan Bunga Isme), seorang anak tunggal yang begitu menggemari muzik hip hop dan beliau mempunyai impian untuk mengembangkan bakatnya dalam dunia seni. Minatnya ini disokong oleh kawan baik yang juga jiran rapat, Kahoe (lakonan Naim Danial). 

Dalam satu insiden, Kahoe telah memperkenalkan seorang pemuda yang juga merupakan peguam, Shaq (lakonan Ben Amir) kepada Bunga. Shaq menyelamatkan Kahoe ketika dikejar Ah-Long. Dari situ mereka mulai rapat dan segala hal hutang piutang ayah Bunga, Baba (lakonan Aman Graseka) terbongkar. Shaq hadir dari kalangan orang yang berada dan beliau mula menyukai Bunga. Namun begitu, hubungan tersebut ditentang oleh ibu Shaq (lakonan Laila Nasir) dan beliau berusaha memisahkan kedua-dua anak muda ini. Sehinggalah Shaq terlibat dalam satu kemalangan yang hampir meragut nyawa beliau. Apakah kesudahannya kelak? Mampukah cinta menyatukan Shaq dan Bunga? Atau keluarga mendahului segalanya? Nantikan “Aku, Bunga” pada 13 Ogos ini di Astro First Eksklusif, saluran 480. 

Bermain dengan elemen muzik, cinta dan disaratkan pula dengan konflik kekeluargaan, Kabir Bhatia sekali lagi berjaya menyusun jalan penceritaan yang kemas, namun pada masa yang sama turut mengusik emosi penonton apabila cuba menyatukan dua darjat manusia menjadi satu item berpasangan. Penerimaan masyarakat dipaparkan jelas dalam jalur cerita, yang ternyata masing-masing kelihatan tidak terbuka dengan konsep di antara yang miskin dan yang kaya untuk bersama. Namun, muzik dilihat menjadi medium utama yang mampu menyatukan keikhlasan cinta kedua-dua anak muda ini, Bunga dan Shaq. 

“Aku, Bunga” ditulis oleh seorang penulis skrip yang cukup disegani ramai, saudari Sofia J.Rhyland. Beliau bekerjasama dengan Maizura Ideris untuk melahirkan naskhah ini. Sebelum ini, Sofia juga pernah bekerjasama dengan pengarah, Kabir Bhatia untuk sebuah lagi karya istimewa Astro First Eksklusif berjudul ‘Bisik Pada Langit’ yang kemudiannya turut diangkat ke layar lebar. “Aku, Bunga” juga diterbitkan oleh rumah produksi yang sama dengan ‘Bisik Pada Langit’, Nusantara Seni Karya (NSK). 

Selain bertindak sebagai pengemudi utama FTV ini, Bunga turut menyumbangkan sebuah lagu untuk dijadikan lagu runut bunyi khas atau OST “Aku, Bunga”. Bertajuk ‘Apadehal’, Bunga menulis sendiri lagu ini yang turut mendapat sentuhan dari seorang komposer muda, Amzar Razqa. Ia diedarkan oleh Warner Music Malaysia. 

“Aku, Bunga” merupakan penampilan sulung Bunga sebagai pelakon. Gadis kelahiran Perak yang berusia 20 tahun ini sedang mengikuti kursus Diploma Pentadbiran Awam di Universiti Teknologi MARA (UiTM), Seremban. Tampil dengan single pertama beliau berjudul ‘Bunga’ pada Julai 2019, Bunga merupakan penyanyi rap pertama negara yang tampil berimej sopan dengan berbaju kurung dan lengkap berhijab. Sehingga hari ini, single beliau itu telah menerima hampir 2.5 juta tontonan. 

Selain dari Ben Amir, Naim Danial dan Bunga, naskhah ini turut dikuatkan lagi dengan kehadiran pelakon-pelakon hebat dan berpengalaman seperti Aman Graseka, Laila Nasir, Emelda Rosmila dan ramai lagi. 

“Aku, Bunga” bakal bersiaran di Astro First Eksklusif, saluran 480 mulai 13 Ogos 2020. Dengan hanya RM 15.00, penonton boleh menonton “Aku, Bunga” secara berulang kali dalam tempoh 48 jam (2 hari) dari waktu pembelian. Untuk pilihan yang lebih fleksibel, FTV ini juga boleh ditonton menerusi platform digital, ‘On Demand’.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING