MDEC LANCAR #YOUNGCREATORS UNTUK BANTU GOLONGAN BELIA


Acara maya #YoungCreators yang dianjurkan oleh Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) bakal menyaksikan pelancaran platform baharu untuk memupuk kemahiran digital kreatif dalam kalangan belia di negara ini. 

Sebagai sebahagian daripada Gerakan #SayaDigital anjuran MDEC yang sedang berlangsung, #YoungCreators akan memberi peluang kepada para pencipta kandungan yang baharu mengenai kaedah untuk meningkatkan kemahiran, memperkasakan kreativiti dan menjana pendapatan. 

Para peserta program akan dapat mengukuhkan keupayaan dan kehadiran mereka di peringkat serantau dan antarabangsa. Acara selama dua hari mulai 28 hingga 29 Ogos 2020 akan menampilkan para pempengaruh, bakat dan bintang industri dalam bidang kreatif. 

Buat kali pertama, MDEC akan bekerjasama dengan TikTok, Snapchat dan Binumi untuk memanfaatkan kumpulan teras pempengaruh yang kukuh untuk berkongsi pengalaman, pandangan dan nasihat mereka. Bertindak sebagai “platform” untuk para peserta meningkatkan usaha mencipta kandungan dan mencapai matlamat pengewangan, sesi interaktif akan turut membincangkan cara memanfaatkan platform digital dan media sosial serta teknologi termaju seperti realiti terimbuh (Augmented Reality (AR). 

Kemuncak acara ialah Cabaran Kandungan Kreatif yang menawarkan hadiah wang tunai serta sijil yang diberikan oleh TikTok kepada para pemenang #YoungCreators. 

Seterusnya, 10 orang pencipta muda akan dipilih untuk dimasukkan ke dalam Program Rangkaian Pencipta selama 12 bulan yang dijalankan oleh CastingAsia. Untuk menyertai cabaran ini, semua pengguna TikTok Malaysia yang berumur 16 tahun ke atas digalakkan memuat naik video bermaklumat dan pendidikan asli menggunakan tanda pagar #YoungCreators dan #TikTokGuru mulai 22 hingga 31 Ogos. Panjang setiap video hendaklah sekurang-kurangnya 10 saat dan temanya merangkumi pengetahuan umum, teknologi, kesihatan dan kecergasan, kecantikan, budaya dan jalan pintas kehidupan. 

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC, Surina Shukri berkata, pihaknya percaya walaupun dengan wabak global yang sedang berlaku, pencipta kandungan digital Malaysia telah bergerak jauh ke depan dalam bidang penggunaan digital. “ Perjalanan baru bermula. 

Dengan pandemik global yang sedang mengancam peluang pekerjaan dan ekonomi secara keseluruhan, kita berpeluang mengatasi masalah dengan memperkasakan generasi muda untuk menggunakan teknologi digital bagi meningkatkan kreativiti mereka dan memperoleh pendapatan daripada ciptaan mereka sebagai satu bentuk kehidupan yang lestari. 

Usaha ini memenuhi aspirasi negara untuk mencapai pertumbuhan yang inklusif dan kesejahteraan bersama untuk semua. Hari ini, kita hidup dalam normal baharu dan kita percaya bahawa kerjasama dengan pemain industri yang termaju seperti TikTok, Snapchat dan Binumi, inisiatif #YoungCreators akan berfungsi sebagai platform untuk mendorong anak muda mempercayai kreatif mereka dan mencipta nama untuk diri sendiri, bukan sahaja di Malaysia malah di peringkat global,” katanya. 

Ini juga sejajar dengan agenda MDEC untuk mempercepat penyertaan generasi muda dan untuk membolehkan rakyat Malaysia mahir secara digital pada masa di mana transformasi digital bukan lagi pilihan tetapi satu keperluan. Pengurus Operasi, Pengguna dan Kandungan TikTok Malaysia, Cheah Sheau Mei berkata, pihaknya gembira dapat menjadi sebahagian daripada inisiatif #YoungCreators bersama MDEC dan teruja untuk melihat sejauh mana daya kreatif belia Malaysia dalam menghasilkan kandungan yang bermaklumat, mendidik dan menghiburkan agar dapat dinikmati oleh rakan sebaya dan rakyat Malaysia yang lain. 

“Bagi kami, proses pembelajaran tidak berakhir di sekolah. Pembelajaran merupakan usaha sepanjang hayat dan menjadi lebih menyeronokkan dengan teknologi inovatif yang selamat, positif dan inklusif,” katanya. 

Sementara itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Binumi, Anthony Copping berkata, syarikatnya sangat teruja untuk bekerjasama dengan MDEC dalam inisiatif #YoungCreators. Generasi baharu penyampai cerita dalam ekonomi digital yang baharu untuk memanfaatkan kuasa video. 

Dalam pada itu, Pengarah Urusan Internasional Markets, Snap Inc, Nana Murugeson berkata, kerjasama dengan MDEC akan memanfaatkan Snapchatters di Malaysia untuk meneroka dunia bidang AR dan seterusnya menikmati peluang berkomunikasi secara visual dengan rakan dan keluarga terdekat. 

“Oleh kerana transformasi digital menjadi fokus utama, kami mahu para belia Malaysia diperkasakan untuk mencipta pengalaman AR mereka sendiri melalui aplikasi desktop Lens Studio Snap,” katanya. 

Sempena dengan Hari Belia Antarabangsa baru-baru ini, MDEC telah bekerjasama dengan SnapChat dan Celcom untuk menyediakan akses yang lebih baik untuk belia Malaysia meneroka dunia digital dan menikmati gaya hidup digital yang menyeronokkan. 

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad, Idham Nawani pula berkata, kerjasama berterusan antara Celcom dan MDEC melalui pelbagai inisiatif membolehkan Celcom menghubungkan inovasi digital dan memacu penggunaan digital yang pantas meliputi seluruh lapisan masyarakat di Malaysia dan seterusnya meningkatkan ekosistem digital negara. 

#YoungCreators diharapkan dapat mencapai khalayak seramai 1,200,000 orang sepanjang program selama seminggu dengan pelbagai peraduan menarik untuk belia. Gerakan #SayaDigital adalah program nasional selama sebulan yang dianjurkan oleh MDEC untuk memupuk kesedaran, penerapan dan sokongan pendigitalan. 

Matlamat program adalah untuk terus menggalakkan rakyat Malaysia yang mahir dan menguasai perniagaan yang digerakkan oleh digital di Malaysia. 

Malaysia merupakan pusat bagi industri kreatif digital yang sedang pesat berkembang meliputi bidang animasi, filem, dan permainan video. Industri ini telah terbukti menjadi pemacu pertumbuhan yang penting dalam ekonomi negara dan berpotensi untuk membentuk ekonomi digital negara yang sedang berkembang. 

Pada 2018, industri ini mewujudkan 11,590 pekerjaan, menjana pendapatan sebanyak RM7.9 billion dan eksport sebanyak RM1.42 billion. Permainan animasi dan video yang dihasilkan di Malaysia seperti Upin dan Ipin, Re: Legend, King's League II, BoBoiBoy dan Ejen Ali terkenal di peringkat antarabangsa dan membina kepercayaan global terhadap industri kandungan kreatif digital tempatan. 

Jadual lengkap acara, senarai penceramah dan butiran tambahan acara #YoungCreators boleh didapati di www.mdec.my/youngcreators

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA