ALIBABA CLOUD MEMBANTU PENDIGITALAN GENTING SKYWORLDS

 
Alibaba Cloud, anak syarikat bahagian teknologi digital dan penyelesaian pintar Alibaba Group telah mengumumkan kerjasama dengan Genting Malaysia Berhad di Apsara Conference 2020 hari ini untuk melaksanakan Penyelesaian Sistem Beratur Maya (Virtual Que Solution) di taman tema Genting SkyWorlds, Resorts World Genting yang bakal dibuka. Sistem terbaharu ini akan menyatukan teknologi Alibaba Cloud terkini dengan sistem tempahan bagi tunggangan individu untuk memberikan pengalaman yang lancar dan interaktif dari mula hingga akhir. 

Virtual Que (VQ) Solution oleh Alibaba Cloud adalah sistem komprehensif yang menggunakan sistem Kecerdasan Buatan (AI) dan menyatukan lima modul algoritma – Ramalan Dinamik Slot VQ (Dynamic VQ Slot Prediction), Pengurusan Gamifikasi Dinamik (Dynamic Gamification Management), Perancangan Penjadualan (Itinerary Planning), Penawaran Insentif (Incentive Recommendation) serta Analisis Khalayak dan Ramalan (Crowd Analysis and Prediction). Modul-modul ini digabungkan menjadi sistem pengurusan pengunjung yang efisien dan dapat mengurangkan masa menunggu secara dinamik. Penyelesaian ini turut membantu meningkatkan pengalaman permainan di Genting SkyWorlds dengan pemberian insentif kepada pengunjung. 

“Di Resorts World Genting, kami mengutamakan keseronokan para pengunjung. Apabila Genting SkyWorlds dibuka pada tahun hadapan, pengunjung akan disambut dengan taman tema bertaraf dunia yang mempunyai pelbagai permainan, tarikan, pertunjukan dan pengalaman yang tidak pernah dialami di rantau ini. Melalui kerjasama antara Resorts World Genting dan Alibaba Cloud, VQ Solution akan mengurangkan masa menunggu ketika beratur dan memberi peluang kepada pengunjung menggunakan masa sebaik mungkin di SkyWorlds dan juga di sekitar kawasan resort. Kami begitu teruja untuk menggunakan sistem moden ini bagi memberikan pengalaman yang lebih efisien dan menyeronokkan serta unik kepada Resorts World Genting,” jelas Greg Pearn, Naib Presiden Taman Tema, Resorts World Genting. 

Jordy Cao, Pengurus Besar Alibaba Cloud Intelligence, Malaysia berkata, “Kami berbesar hati untuk menyokong Resorts World Genting dalam usaha transformasi digital mereka untuk meningkatkan pengalaman pengunjung Genting SkyWorlds melalui penyelesaian dan produk yang lebih stabil dan selamat melalui Alibaba Cloud. Kami harap kerjasama ini akan memberi keputusan positif apabila taman tema ini dibuka dan membuka ruang untuk inovasi terkini. Sebagai satu-satunya penyedia perkhidmatan cloud yang beroperasi dengan pusat data tempatan di Malaysia, Alibaba Cloud akan terus bekerjsama dengan rakan niaganya dan pelanggan untuk membawa transformasi digital.” 

VQ Solution akan membolehkan pengunjung merancang pengalaman taman tema mereka sebelum sampai ke lokasi. Pengunjung boleh memuat turun aplikasi mudah alih VQ Mobile Genting SkyWorlds dan membeli tiket dalam talian. Apabila tiket ditempah, aplikasi VQ Mobile membolehkan pelanggan merancang perjalanan atau menyediakan alternatif yang mengoptimumkan jadual perjalanan mereka bagi memberikan pengalaman yang tersendiri berdasarkan pilihan mereka. 

Dengan menilai permintaan dan bekalan setiap tarikan secara berterusan, Alibaba Cloud VQ Solution akan terus membolehkan pengunjung melihat slot VQ yang ada dan tempoh menunggu setiap permainan dalam masa sebenar. Ia juga membolehkan mereka terus ke laluan singkat dan memotong barisan. Pengunjung akan turut menerima jadual saranan yang mempunyai cadangan tarikan yang bersesuaian untuk dinikmati ketika menunggu giliran. Pengunjung yang membeli tiket secara luar talian pula boleh memuat turun aplikasi ini selepas tiba atau gunakan kiosk VQ di dalam taman tema untuk menikmati pengalaman yang sama. 

VQ Solution turut membolehkan Genting SkyWorlds menghasilkan insentif untuk melencongkan pengunjung dari kawasan sesak ke kawasan tanpa tarikan atau kemudahan, seperti tempat makan dan pusat membeli-belah. Insentif juga akan diberikan kepada pengunjung yang terus menggunakan aplikasi VQ Mobile untuk menempah slot VQ dan mengikut jadual yang disyorkan. 

Alibaba Cloud adalah penyedia perkhidmatan Cloud terbesar di APAC dan di tangga ketiga di peringkat global, menurut Gartner. Alibaba Cloud beroperasi di 63 buah zon di 21 negara di seluruh dunia. Ia juga merupakan penyedia cloud pertama yang memenuhi keperluan tambahan Cloud Computing Compliance Controls Catalog (C5) di Jerman dan mempunyai lebih daripada 70 pematuhan dan akreditasi keselamatan di seluruh dunia.

Comments

Popular posts from this blog

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA