KAYDA TERUS MARA KE HADAPAN DENGAN "AUTOPILOT"




Kecil-kecil cili padi, siapa sangka penyanyi rap wanita tanah air yang bertubuh genit ini terus-menerus menghasilkan nukilan-nukilan hebat, Wan Nur Khaleda Aziz atau lebih terkenal dengan panggilan Kayda, 29, kembali dengan single terbaharu berjudul ‘Autopilot’ dengan pendatang baharu dari Amerika Syarikat, Ish, digubah dan dihasilkan oleh Kayda sendiri dengan Ish, serta mendapat kerjasama daripada komposer luar, The Cxdy. 

Kayda yang kini sedang giat mempromosikan lagu terbaharu ‘Skills4All’ bersama KRU Music dan Waris, sebuah inisiatif oleh Kementerian Sumber Manusia bagi menggalakkan pembelajaran teknikal serta vokasional di kalangan anak-anak muda berkata, “Autopilot menceritakan tentang kisah perjalanan saya dalam bidang muzik, bermula daripada membuat persembahan hip-hop kecil-kecilan sewaktu remaja, kemudiannya memuat naik lagu-lagu ciptaan saya di MySpace dan sentiasa konsisten dalam pembikinan muzik secara terus-menerus. 

Pada suatu hari, saya terus ke studio rakaman, berjumpa rakan-rakan, memilih irama yang sesuai, merakamkan apa yang telah saya coretkan sewaktu di rumah dan ia seakan menjadi. 

Setelah itu, saya didatangi pula oleh seorang rakan yang ingin menaja video muzik dan merasakan keseluruhan projek ini seperti dalam modus Autopilot’.” 

Lagu Autopilot yang dirakamkan di Kaya Butter Studio hanya mengambil masa selama beberapa jam sahaja untuk dihasilkan, beliau menerangkan, “Sebenarnya lagu dan video muzik Autopilot telah dihasilkan setahun yang lalu pada bulan Julai 2019, akan tetapi pada ketika itu pihak pengurusan bercadang agar ia ditangguhkan terlebih dahulu dan saya percaya pada keputusan mereka.” 

Tambah Kayda lagi, “Apa yang saya pelajari adalah percaya pada aturannnya dan setiap perkara pasti terjadi, ia tidaklah semudah yang dijangkakan tetapi apa yang patut terjadi akan berlaku pada masanya dan setiap hari ia seakan berada dalam keadaan ‘autopilot’.” 

Bagi pendatang baharu Ish yang berdarah kacukan Melayu-Amerika, beliau berkata, “Kami bertemu sewaktu berlangsungnya uji bakat 16 Baris musim ke-2, beliau ada memberitahu minatnya untuk mempelajari rap dalam Bahasa Melayu dan saya pula pada ketika itu sedang mencari bakat baru yang ingin diketengahkan dalam lagu terbaharu saya, jadi ia seakan jodoh. 

Ish banyak memberi idea yang kreatif dalam penulisan lirik, seorang freestyler yang mahir dan bagi saya salah seorang penyanyi rap terbaik pernah saya temui walaupun usianya masih muda.” 

Bagi Kayda, perjalanan muziknya hanya baru bermula, “Saya harap pendengar di luar sana dapat memahami mesej yang ingin disampaikan kerana saya ingin menggalakkan sesiapa sahaja untuk terus berusaha dalam hidup, dan saya percaya sekecil mana sesuatu perkara itu, apabila kita toleh ke belakang ianya bakal menjadi besar, oleh itu percaya diri dan teruskan perjuangan.” 



Lagu ‘Autopilot’ boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan sebagai panggilan nada dering menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengari melalui penstriman atas talian seperti Spotify, Joox, Deezer dan Apple Music. 

Manakala video muzik lagu ‘Autopilot’ ini juga boleh ditonton secara eksklusif di saluran rasmi YouTube Warner Music MY 

 

Comments

Popular posts from this blog

ASTRO MENAMPILKAN DRAMA ‘TERNYATA SEBUAH BAHAGIA’, MEMAPARKAN KISAH KETABAHAN SUAMI DAN ISTERI.

PESTA SEMBILAN MAHARAJA DEWA DAN AMALAN VEGETARIAN

LOSYEN DAILY MOISTURIZING ENERGIZING AVEENO® – STANDARD BAHARU DALAM PENGHIDRATAN KULIT DAN PENYEGARAN DERIA!