MISI OCEAN’US 2021 DILANCAR UNTUK KEKALKAN KELESTARIAN FESYEN


OCEAN'US adalah inisiatif kerjasama Ocean Hero Conservation (OHC) dan Hatta Dolmat yang dikawal selia oleh Matlamat Pembangunan Mampan PBB yang dikategorikan di bawah Kepenggunaan dan Pengeluaran yang Bertanggungjawab SDG12, Kehidupan Di Lautan SDG14 dan Rancangan Malaysia Kesebelas: Pelan Tindakan Kawalan Pencemaran ke arah Pembasmian Sampah dan Penggunaan Botol Plastik yang akan membahayakan hidupan marin dengan mengambil solusi inisiatif penghasilan fabrik daripada lambakan sisa botol plastik di lautan. Kempen ini merupakan satu usaha bagi mendidik kepentingan pemuliharaan hidupan marin dan untuk mempromosikan perkembangan industri teknologi hijau dalam teknologi penghasilan fabrik daripada botol plastik. 

Fabrik botol plastik yang telah dikitar semula ini boleh diguna pakai oleh industri ekonomi utama di Malaysia, seperti Fesyen & Tekstil, Makanan & Minuman, Hiasan Dalaman dan sebagainya. Seperti yang kita sedia maklum, fesyen adalah industri penyumbang sisa sampah kedua terbesar di Malaysia selepas industri Petroleum. Malaysia kini menduduki tempat tertinggi di kalangan enam negara yang telah disenaraikan dari segi penggunaan botol plastik per kapita tahunan dengan penggunaan sebanyak 16.8 kg seorang, diikuti Thailand sebanyak 15.5 kg. Sejak 1950-an, penghasilan plastik semakin melonjak saban tahun dan kebanyakan plastik ini direka pakai untuk dibuang selepas digunakan hanya sekali lalu mengakibatkan pengumpulan sisa plastik pakai buang sekali guna di tempat pelupusan sampah dan lautan. Hanya sembilan peratus daripada sembilan bilion tan plastik dunia yang pernah dihasilkan telah dikitar semula. Kebanyakan berakhir di tapak pelupusan sampah, longgokan sampah atau dalam persekitaran terbuka. 


Justeru, Ocean Hero Conservation (OHC), KL Young Designers Association (KLYDA) and Hatta Dolmat Design (HDD) telah bersetuju untuk membina kerjasama dengan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bagi melancarkan "OCEAN’US" yang disaksikan oleh Y.M. Tengku Dato' Hishammuddin Zaizi Bin Tunku Azman Shah Al-Haj. Majlis tandatangan MoU antara kedua belah pihak berlangsung secara maya pada 28 Januari 2021. MoU ini ditandatangani oleh Pengasas Ocean Hero Conservation (OHC), Cik Shirene Moong, Pengerusi KL Young Designers Association (KLYDA) dan Ketua Pengarah Hatta Dolmat Design (HDD), Encik Hatta Dolmat sendiri. MoU itu adalah satu bentuk komitmen bersama dalam menjalankan tugas serta fungsi masing-masing dalam perspektif membantu, membangun dan membina Malaysia supaya bergerak maju ke arah Matlamat Pembangunan Mampan menjelang 2030, khususnya dalam menganjurkan kempen, menyediakan penyelesaian permasalahan kepada isu-isu alam sekitar, dan memberi kesedaran kepada orang ramai. Sidang media digital berikut juga menerima sambut baik dan ucapan tahniah oleh Timbalan Menteri Kementerian Belia dan Sukan, YB Wan Ahmad Fayhsal bin Wan Ahmad Kamal. 

Dalam melaksanakan Pelan Tindakan Mampan PBB, OHC, KLYDA dan HDD menyeru kepada badan-badan kerajaan, swasta, institut pengajian tinggi serta pemain industri bagi turut sama menjalinkan perkongsian dan kerjasama yang kukuh bagi mencapai matlamat yang diusahakan. Ikatan ini akan turut membuka peluang kepada semua institusi untuk bekerjasama rapat dalam memperluaskan impak kelestarian di rantau ini. 

Pada tahun ini, OHC, dan HDD akan menganjurkan Pentas Pementasan Fesyen Digital Hatta Dolmat: OCEAN'US yang menampilkan koleksi RTW/Couture lestari Hatta Dolmat yang dihasilkan daripada botol plastik kitar semula (RPET). OHC dan HDD juga bakal mengadakan Bengkel ‘Sustainable and Innovation’ untuk perkongsian inovasi, teknologi, dan kaedah 3R khas bagi orang ramai. Pentas Pementasan Fesyen Digital Hatta Dolmat: OCEAN'US dijadualkan secara tentatif pada Julai 2021 dan Bengkel ‘Sustainable and Innovation’ dijadualkan secara tentatif bagi April 2021. Inisiatif Ini merupakan sebuah langkah kecil ke arah masa depan yang lebih mampan dan berdaya tahan di mana perkembangan industri serta kelestarian lautan dapat dicapai serentak serta bersama-sama menyokong seluruh negara Asia dan Pasifik bagi meningkatkan ekonomi berasaskan kelestarian alam.

Comments

Popular posts from this blog

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

POWER ROOT TERUS MENYUMBANG KEPADA TABUNG KEMANUSIAAN PALESTIN MEDIA PRIMA

IQIYI TAMPILKAN DRAMA BERSIRI 'RESTU' LAKONAN REMI ISHAK, WANNA ALI, SITI ELIZAD, ELIZABETH TAN, DAN RAMAI LAGI