‘KERANA KORONA’ PAPARKAN KISAH KEHIDUPAN SEMASA PKP


Tahun 2020 merupakan tahun yang sukar untuk dunia, namun Astro Shaw sebagai penerbit terus memainkan peranannya dalam membawakan konten baru dan berkualiti bagi memberikan kepuasan kepada penonton serta merancakkan lagi industri filem tempatan meskipun pada waktu yang mencabar ini. Melangkah ke tahun 2021, Astro Shaw bakal tampil dengan sebuah filem yang diinspirasikan daripada latar sebenar iaitu semasa Malaysia dalam situasi pandemik COVID-19.


Filem Kerana Korona mempersembahkan tiga cerita yang mempunyai pertalian dengan satu harapan. Bakal menemui penonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First mulai 21 Januari 2021, ia merupakan filem di bawah arahan pengarah filem pecah panggung, Sangkar (2019) iaitu Kabir Bhatia. Beliau amat terkenal dengan sentuhan magisnya dalam menghasilkan karya-karya yang mampu menyentuh emosi penonton. Jika terdahulu beliau telah mengundang air mata penonton menerusi filem Bisik Pada Langit (2017), kini dengan elemen harapan, cinta dan keluarga sebagai tunjang utama, pasti akan mengulangi fenomena ‘bawa tisu’ ketika menontonnya.


Apa yang menarik, menerusi Kerana Korona, ia akan membawa penonton lebih menghayati nilai murni serta melihat dari sudut positif di sebalik PKP. Seperti babak keluarga menyaksikan hakikatnya PKP memberi peluang untuk mereka memperbaiki serta lebih mengeratkan lagi hubungan bersama orang tersayang. Bukan itu sahaja, bagi babak di kampung yang ditonjolkan, mesej yang cuba disampaikan adalah apabila terjadi PKP ia membuatkan masyarakat Malaysia lebih bersatu membantu antara satu sama lain agar dapat sama-sama meneruskan perjuangan dalam waktu getir.


Sarat dengan emosi, setiap babak telah dijayakan dengan begitu baik oleh pelakon-pelakon hebat tanah air seperti Rita Rudaini, Rashidi Ishak, Ummi Nazeera, Shasha Abedul, Dato’ Jalaludin Hassan, Fatimah Abu Bakar, Idan Aedan, Umar Shakur dan Anwaar Beg Moghal. Ini juga merupakan gandingan semula Rita Rudaini dan Rashidi Ishak sebagai pasangan suami isteri selepas filem Cinta (2006).


Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata Kerana Korona adalah filem pertama yang diterbitkan pada tahun 2021 oleh Astro Shaw istimewa buat tayangan Di Pawagam Rumah Anda, Astro First. “Tahun lalu merupakan tahun yang cukup mencabar buat semua dan kami memahami setiap insan pasti mempunyai kisah mereka tersendiri. Jadi, Astro Shaw telah inspirasikan latar sebenar iaitu ketika dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dalam bentuk filem dengan mengangkat kisah serta konflik berbeza yang mana ia sememangnya terjadi dalam kalangan penonton di luar sana. Menariknya, cerita sebegini tidak pernah lagi difilemkan. Maka, diharap menerusi Kerana Korona sedikit sebanyak ia mampu mengingatkan penonton bahawa meskipun kita berada dalam tempoh sukar, sentiasalah hargai orang di sekeliling, terutamanya keluarga tersayang kerana setiap mereka mungkin sedang melalui pergolakan masing-masing. Kini, memandangkan sebahagian daripada rakyat Malaysia perlu menempuhi sekali lagi tempoh PKP, lalu kami merasakan sekarang adalah masa yang tepat untuk filem dengan tema sebegini menemui penonton bagi mengisi masa mereka dengan menonton bersama keluarga dan terus kekal berada di rumah.”


Kerana Korona tampilkan tiga kisah yang mempunyai pertalian di mana Zati tidak bahagia bersama Razman. Meskipun suaminya sentiasa berada di rumah, namun mereka semakin menjauh. Manakala, anak mereka Harun yang mempunyai cita-cita sebagai juru foto, namun impiannya dipandang rendah oleh Zati dan Razman. Bosan kerana melihat ibu bapanya sering bertengkar, Harun mula keluar secara sembunyi ketika PKP bersama Maya. Manakala, adiknya Bob berusaha menyediakan aktiviti di rumah untuk Zati dan Razman agar mereka berbaik. Kisah kedua menyaksikan tentang seorang doktor bernama Janna yang berdepan dengan dilema tanggungjawab dan pendirian. Manakala, kisah ketiga mengenai warga emas, Leman yang keras kepala dan abaikan prosedur operasi standard (SOP) sehingga merisaukan jirannya Leila. Sementara itu, Leila hidup kesunyian dan tidak berhubung dengan anaknya, Razman.


Saksikan filem Kerana Korona yang akan berada di pawagam rumah anda, Astro First, untuk melanggan sila ke saluran 480. Anda juga boleh strim Kerana Korona di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.

Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!