PASARAYA BERI GANJARAN KEPADA PEMBELI YANG BAWA BEG SENDIRI
Selepas kejayaan melaksanakan kempen tiada plastik beg setiap hari di kaunter pembayaran di Ben’s Independent Grocer (B.I.G), pasaraya Village Grocer dan B.I.G bekerjasama di bawah inisiatif baru untuk menghindari 30 juta penggunaan plastik sekali guna pada tahun 2021.
Inisiatif ini melibatkan penghindaran beg plastik sekali guna untuk hasil segar buah-buahan dan sayur-sayuran dan memperkenalkan penggunaan beg jaring yang boleh digunakan semula untuk menggantikan beg plastik yang sering digunakan pembeli untuk membungkus bahan makanan yang ditimbang.
Ini adalah langkah berani oleh The Food Purveyor (TFP) (pengendali pasaraya Village Grocer dan B.I.G) untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna di semua pasarayanya dan memberi tumpuan mempromosikan bahan alternatif yang boleh digunakan semula dan mampan untuk mendorong perubahan tingkah laku jangka panjang.
Satu kajian yang dilaksanakan oleh WWF menyatakan dari segi sampah plastik, Malaysia menduduki tempat kedua tertinggi di Asia Tenggara dalam keseluruhan sampah yang dihasilkan1. Menurut Persatuan Pengilang Plastik Malaysia (MPMA), purata rakyat Malaysia menggunakan 300 beg plastik setahun2.
Geoff King, Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor |
"Beg plastik yang digunakan untuk membawa buah-buahan dan sayur-sayuran segar sering digunakan sekali dan kemudian dibuang tanpa difikirkan lanjut atau digunakan semula, menjadikan ia barang habis pakai yang merbahaya kepada alam sekitar.
Kami menangani masalah ini dengan menawarkan buah-buahan dan sayur-sayuran tanpa dibungkus plastik dan menggantikan pembungkus plastik yang sekali guna dengan bungkusan mesra alam untuk mengurangkan sisa plastik. Kami mendorong pembeli untuk membawa beg mereka untuk membawa bahan hasil segar mereka dan kami akan memberi ganjaran 50 mata Bites (bersamaan 50 sen) setiap kali mereka melakukannya.
Tahun lepas kami berjaya menghindari keperluan 6 juta beg pembawa plastik hasil dari insiatif tiada beg plastik sekali guna. Tahun ini, kami mensasarkan pengurangan 20 juta beg plastik sekali guna dari hasil segar dan pada masa yang sama mencegah pencemaran plastik. Secara keseluruhan, kami menjangkakan pengurangan lebih dari 30 juta pembungkusan dan beg plastik sekali pakai setahun”, kata Geoff King, Ketua Pegawai Eksekutif The Food Purveyor.
Dia menambah The Food Purveyor berkomited untuk membantu pembeli untuk menukar amalan pembelian menggunakan pembungkusan plastik sekali guna kepada penggunaan beg yang lestari untuk produk segar. Inisiatif ini adalah sebahagian daripada matlamat alam sekitar syarikat "Bebas plastik menjelang 2023" yang bertujuan untuk menghentikan penggunaan plastik sekali guna dari operasi perniagaan kami sebelum akhir tahun 2023.
Melangkah lebih jauh, pasaraya Village Grocer kini melaksanakan tiada beg plastik pada setiap hujung minggu dan akan menghentikan penawaran beg plastik sekali guna di kaunter pembayaran mulai 15 Februari 2021. Inisiatif ini juga menyumbang secara langsung dan tidak langsung kepada Matlamat Pembangunan Lestari Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN SDG) terutamanya SDG14 - Kehidupan Di Bawah Air.
Comments
Post a Comment