IMAMCONNECT MUDAHKAN CARIAN KHIDMAT PROFESIONAL ISLAMIK

 


Situasi pandemik memaksa masyarakat sedunia untuk melakukan penjarakan sosial justeru, tahun 2020 menyaksikan peralihan yang pantas secara dalam talian membabitkan semua aspek kehidupan daripada bidang pekerjaan, pendidikan dan komunikasi dengan orang tersayang sehinggalah kepada pergantungan untuk membeli-belah hampir apa saja secara dalam talian. Lantaran situasi inilah lahirnya www.imamconnect.com, platform dalam talian pertama yang menyediakan perkhidmatan untuk umat Islam sedunia.

Platform inovatif ImamConnect memaparkan komuniti global membabitkan penyedia perkhidmatan untuk umat Islam yang meliputi rangkaian menyeluruh perkhidmatan berkaitan keagamaan dan bukan keagamaan daripada kajian al-Quran, perkahwinan, pengebumian dan wasiat, juga merangkumi bimbingan kehidupan, kaunseling keluarga dan pendidikan di rumah yang sejajar dengan nilai-nilai Islam.

Para pengguna boleh mendapatkan nasihat secara selamat daripada jurulatih tempatan atau antarabangsa, ustaz dan ustazah, ilmuwan Islam, ahli terapi dan ramai lagi, yang perlu melalui prosedur pemeriksaan dan semakan latarbelakang yang ketat oleh pasukan ImamConnect bagi memastikan keselamatan pengguna serta capaian kepada perkhidmatan profesional yang berkualiti tinggi sama ada secara dalam talian atau bersemuka.

Menerusi ImamConnect, para pengguna boleh mencari pakar berdasarkan kawasan geografi dan bidang kepakaran. Selepas pemilihan, para pengguna boleh mendapatkan biografi penyedia khidmat, kadar bayaran perkhidmatan dan ulasan pengguna terhadap penyedia perkhidmatan berkenaan, serta mengetahui kelayakan dan pensijilan berkaitan. Akhirnya, para pengguna boleh menghantar pesanan kepada penyedia perkhidmatan tersebut secara terus untuk menempah perkhidmatan dan membuat bayaran menerusi portal yang selamat dan terjamin seperti PayPal.

Sementara itu, platform berkenaan membolehkan penyedia perkhidmatan meningkatkan pendapatan mereka ketika pandemik ini memandangkan ramai yang terkesan dari segi kewangan dengan kesukaran untuk bekerja dan kekurangan peluang mengajar di khalayak ramai disebabkan kekangan dari segi kehadiran di masjid dan khidmat keagamaan secara tradisional.

Menerusi ImamConnect, penyedia perkhidmatan di seluruh dunia boleh mendaftar di platform berkenaan dan meluaskan pasaran pengguna mereka melangkaui sempadan geografi.

Dibangunkan oleh sepasukan pakar komunikasi, pemimpin perniagaan dan pakar teknologi Islam berpangkalan di Brussels, London, Kuala Lumpur dan New York, ImamConnect dilancarkan Ogos tahun lalu dengan senarai awal lebih daripada 70 penyedia perkhidmatan yang memiliki latarbelakang sahih yang menawarkan kepakaran mereka dari seluruh dunia termasuk United Kingdom, Amerika Syarikat, Australia, Singapura dan Malaysia.

“ImamConnect merupakan pasaran dalam talian sedunia yang pertama seumpamanya, menyediakan perkhidmatan buat umat Islam yang memenuhi keperluan di kedua-dua pihak pengguna dan penyedia perkhidmatan,” kata Pengasas dan CEO ImamConnect yang juga ahli perniagaan Islam Britain, Muddassar Ahmed.

“Ia menawarkan satu kaedah baru sepenuhnya kepada perkhidmatan berlandaskan Islam dan sokongan kepada penyedia perkhidmatan yang mengamalkan nilai-nilai Islam ini untuk berhubung dengan jutaaan masyarakat di seluruh dunia menerusi kaedah yang memastikan kualiti dan kebolehpercayaan. Platform berkenaan mewakili perubahan langkah dalam memanfaatkan kuasa teknologi maklumat bagi menawarkan ketelusan, ketekunan, kebertanggungjawaban dan kecekapan digital komuniti dalam menyediakan perkhidmatan berasaskan Islam, hanya menerusi butang carian,” katanya.

Fasa pelancaran menyaksikan fokus utama kepada perkembangan penyedia perkhidmatan dan pengguna di UK dan AS di mana masyarakat Islam terutamanya yang kurang menerima kemudahan perkhidmatan tersebut akibat kekangan pandemik. Sehubungan itu ia menyediakan capaian tepat pada masanya untuk mendapatkan perkhidmatan berkaitan hal keagamaan kepada sesiapa sahaja yang mempunyai capaian kepada Internet.

Di Malaysia, menerusi Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan yang menyasarkan kira-kira 80% daripada penduduk menjelang suku pertama 2022 dalam tempoh tiga fasa, ia akan mengambil masa sebelum masyarakat dijangka kembali menjalani kehidupan seperti keadaan sebelum pandemik, terutama apabila membabitkan perhimpunan yang besar seperti upacara keagamaan dan sosial. Secara realitinya,

pengguna dan penyedia perkhidmatan Islam di negara ini dialu-alukan untuk bergerak ke arah pendigitalan dan memperoleh manfaat daripada penyedia perkhidmatan berlandaskan Islam di rangkaian ImamConnect yang melengkapi sokongan dan perkhidmatan disediakan oleh pihak masjid dan institusi tradisional.

Muddassar menambah, “Kita sentiasa memerlukan institusi tradisional seperti masjid dan sekolah, itulah tunjangnya. Namun ImamConnect boleh membantu umat Islam di seluruh dunia untuk terus mengendalikan hal keagamaan meskipun hubungan secara fizikal tidak dapat diperoleh. Dengan menyelaraskan model kami dengan nilai-nilai Islam, kami akan meningkatkan kedua-dua piawaian dan pendapatan penyedia perkhidmatan ini dengan menghubungkan masyarakat di seluruh dunia untuk mereka berhubung. ImamConnect mampu merubah penyediaan perkhidmatan berkaitan keagamaan selama-lamanya.”

Mantan penasihat kerajaan UK yang juga pengasas sebuah agensi PR berpangkalan di London, yang berdedikasi untuk menghubungkan jurang antara dunia Islam dan Barat, Muddassar pada awalnya mendapat idea tersebut selepas melihat amalan tidak beretika dan kurangnya urusan tadbir selia dalam kalangan pengamal yang mempunyai kedudukan dalam kepimpinan agama di sesetengah tempat. Satu daripada cabaran utama dalam industri ini adalah kekurangan penyaringan yang sewajarnya dan semakan ke atas para pengamal. Sementara itu, terdapat ramai pengamal yang menyediakan perkhidmatan seumpamanya yang mampu memenuhi peranan ini.

Hari ini, ImamConnect terus berkembang dengan penyedia perkhidmatan dan pengguna baru yang berdaftar di lebih banyak negara dan merancang untuk membuka pejabat serantau di Malaysia. Sejak penubuhannya, pasukan pelbagai negara di sebalik ImamConnect terdiri daripada kira-kira 20 peratus rakyat Malaysia termasuk Syed Azmin bin Syed Nor – pengasas Commerce Dot Com – yang berada dalam Lembaga Penasihat ImamConnect.

“Sebuah negara yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam, Malaysia dipandang tinggi oleh negara Islam sedunia kerana keupayaannya antara lain mampu mengekalkan keamanan dan pertumbuhan ekonomi yang kukuh, malah turut diperhatikan di luar negara ramai rakyat Malaysia yang memiliki rasa rendah diri dan hormat. Ini digabungkan dengan lokasi geografi di ASEAN, capaian Internet isirumah yang tinggi, membina budaya e-dagang dan penduduk yang menguasai bidang digital menjadikan Malaysia sebagai pilihan bagi ImamConnect untu berkembang dan membawakan perkhidmatan kami kepada jutaan umat Islam dari rantau ini,” kata Muddassar, yang tidak asing dengan Malaysia.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA