INTEAM & SAM BUNKFACE “MENCARI SINAR” DI BULAN RAMADAN
Selepas projek kolaborasi lagu “Jangan Menghina” yang menggabungkan Inteam, Alif Satar dan Nocturnal Voice pada tahun 2016, Smileyriver Online (Smileyriver) sekali lagi menggabungkan dua nama besar dari dua genre berbeza - Inteam (pop nasyid) dan Sam Bunkface (punk rock).
“Mencari Sinar” membawa mesej ‘penghijrahan’ dan dilancarkan bersempena Ramadan iaitu bulan penuh rahmat dan keampunan, juga bulan yang sudah sinonim dengan penghijrahan kerana dalam bulan inilah umat Islam lebih bermotivasi untuk berubah dan ‘berhijrah’.
“Mencari Sinar” merupakan sebuah karya baharu yang mana melodi dan lirik asalnya ditulis oleh Allahyarham Ahmadi Hassan. Allahyarham, jika ramai masih ingat dan kenal, ialah penyanyi era 70-80an yang banyak menghasilkan lagu-lagu dakwah. “Mencari Sinar” ialah salah sebuah karya terakhir Allahyarham yang belum pernah dirakam sebelum ini. Istimewanya, inilah satu-satunya karya ciptaan Allahyarham yang diselitkan elemen rap di dalamnya. Bagaimanapun, bagi mengukuhkan lagi mesej yang terkandung di dalam lirik, Sam Bunkface telah membuat improvisasi pada rangkap rap lagu ini.
Bagi mewujudkan kelainan serta keseimbangan kepada genre dan mood lagu, Smileyriver telah mendapatkan khidmat Sam Bunkface sebagai penyusun muzik di mana Sam turut bekerjasama dengan Epul Kuat bagi tugas ini. “Mencari Sinar” turut menampilkan Fauziah Gambus sebagai pemuzik jemputan.
Lagu telah diadun (mixing) oleh Epul Kuat, manakala mastering oleh Felix Voon. Video muzik “Mencari Sinar” diarahkan oleh Muhammad Iszee dari Clora Studio.
Mesej lagu “Mencari Sinar” adalah relevan untuk semua golongan dan peringkat umur, namun bagi menarik minat golongan muda, Smileyriver perlu memikirkan jalan terbaik agar mesej lagu ini sampai kepada mereka. Inteam dan Sam Bunkface mempunyai niche tersendiri, selain mempunyai fan base yang besar. Gabungan dua artis muda dari dua genre dapat membantu menyebarkan mesej lagu ini dengan lebih meluas dan berkesan.
Inteam boleh dikategori sebagai artis muda yang tidak pernah jemu berdakwah melalui lagu. Lagu baharu sentiasa ada, selain Inteam banyak berkolaborasi dengan artis dari luar platform nasyid. Smileyriver berpandangan bahawa Inteam sentiasa bersedia untuk mencuba sesuatu yang baharu.
Sam Bunkface sangat aktif berkarya. Dinilai daripada karya-karya Sam sebelum ini, Smileyriver berpendapat bahawa Sam menitikberatkan mesej yang disampaikan dalam setiap lirik beliau. Lagu “Akhir Zaman” contohnya, memberi gambaran jelas bahawa Sam sangat serius mahu menyampaikan mesej melalui lagu.
“Mencari Sinar” mula berada di semua platform digital pada hari Jumaat bersamaan 9 April 2021.
Comments
Post a Comment