MADAM TAMPILKAN SISI KEROHANIAN DENGAN LAGU BAHARU "KEKASIHKU"


Band pertama Rocketfuel Entertainment yang sedang melonjak naik dan menempa nama di persada muzik tanah air, MADAM, yang dianggotai empat anak muda berbakat besar yang terdiri daripada Putera (vokalis), Azuan (pemain bass), Herman (pemain dram) dan Fadhil (pemain gitar) kembali dengan single religi terbaharu yang berunsur ketuhanan berjudul ‘Kekasihku’ selepas kejayaan memberangsangkan ‘Luka’ dan ‘Musnah’. 

Masih mengenengahkan genre rock moden, istimewanya pada kali ini ia disuntik dengan elemen muzik dari Timur Tengah, lagu tersebut ditulis oleh saudara Jerry dan Zain, manakala melodinya pula mendapat sentuhan oleh komposer hebat iaitu saudara Zimi, dan diterbitkan oleh Rocketfuel Entertainment. 

Bercerita mengenai single terbaharu MADAM, Putera menerangkan, “Kekasihku mengisahkan tentang seorang hamba sahaya yang sedang mencari jalan pulang atau mahu kembali ke pangkal jalan.” “Setiap daripada kita adakalanya terkapai-kapai dan hanyut dengan kerseronokan duniawi, namun ada ketika kita tersentak dan sedar yang kita telah tersasar jauh, sifat keinsafan yang timbul menyedarkan kita bahawa jalan terbaik adalah dengan bertaubat dan sentiasa mencari redha Tuhan. 

Sesi rakaman lagu Kekasihku yang hanya mengambil masa selama 1 hari di Pro Studio, Cheras telah dilakukan ketika Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dengan mengikuti peraturan SOP yang ditetapkan, Azuan berkata, “Proses rakaman berjalan dengan lancar dan buat pertama kalinya, MADAM merakamkan lagu berunsur ketuhanan dan feel-nya agak berbeza kerana maksud liriknya yang mendalam pasti membuat sesiapa sahaja yang mendengarnya berasa insaf.” 

“Lagu ini yang diinspirasikan oleh saudara Zimi tercetus mungkin oleh pengalaman peribadi yang dilalui beliau ketika berasa down, dan pastinya semua orang pernah melalui momen tersebut. “Selain itu, terdapat sedikit perbezaan didalam susunan muziknya dimana alunan melodi dari Tanah Arab yang diterapkan ke dalam lagu tersebut membuatkan kita terasa seakan berada di sebuah padang pasir yang tandus. 

Menariknya, video muzik (MV) Kekasihku yang diarahkan oleh saudara Syaz Johar dengan dibantu oleh team dari Rocketfuel Entertainment turut dilakukan di sebuah lokasi tanah tandus, beliau menerangkan, “Proses penggambaran yang dilakukan selama 1 hari telah dijalankan ketika tempoh PKPB dengan mematuhi SOP yang telah ditetapkan kepada kami.” 

Jalan cerita MV Kekasihku berkisar tentang 4 orang sahabat yang dihamparkan di suatu tempat yang asing di mana mereka melihat diri masing-masing pada sudut yang lain, maka timbullah rasa keinsafan apabila melihat diri mereka berada dalam serba kekurangan. 

“Selain itu, saya juga turut mengunakan teknik special infect bagi menjadikan lokasi pemgambaran dan watak setiap ahli MADAM ada kelainannya, dan diharapkan pencinta seni tanah air dapat menonton MV Kekasihku dengan penuh emosi. 

“Dan terima kasih tidak terhingga kepada Encik Feros Sayna diatas peluang dan kepercayaan yang diberikan kepada saya untuk berkarya, dan tidak lupa juga kepada team Rocketfuel Entertainment kerana turut bertungkus- lumus dalam menjayakan MV ini. 


Bulan Ramadhan yang bakal tiba pasti menyimpan 1001 pengalaman manis buat setiap ahli kumpulan MADAM, Fadhil yang baru sahaja menamatkan zaman bujangnya mengulas, “Bagi saya bulan puasa kali ini agak istimewa kerana saya akan melaluinya berdua dengan isteri tercinta.” 

“Selalunya ketika bulan Ramadhan, MADAM akan berehat daripada mana-mana aktiviti seni dalam lebih fokus kepada melakukan ibadah dan memperbaiki diri, selain mempelajari benda baru seperti mendalami ilmu agama dan sebagainya. 

Menurut En. Feros Sayna, Ketua Label Rocketfuel Entertainment, “Kejayaan demi kejayaan yang telah ditempa oleh MADAM dalam masa yang singkat, saya percaya dengan bakat yang mereka ada dan tidak mustahil pada satu hari nanti jika mereka setanding dengan band-band terkemuka negara.” 

“Kekasihku adalah single terbaharu mereka yang berunsur kerohanian dan tidak tertumpu pada bulan puasa sahaja dan boleh didengar pada bila-bila masa, jadi saya harap pendengar dapat menerimanya dengan hati terbuka. Ujar Herman, “Kami berharap agar single Kekasihku mendapat sambutan dan diterima baik oleh semua kerana mesej yang cuba disampaikan, dan semoga ia menjadi lagu penenang jiwa tatkala berada dalam keadaan resah dan gundah gulana.” 

“Semoga Ramadhan yang bakal tiba menjadi tempoh kita bermuhasabah dan memperbaiki kelemahan diri, dan In Shaa Allah Aidilfitri pada tahun ini bakal membuka lembaran baru dalam hidup kita semua dengan norma yang baru. 

Lagu ‘Kekasihku’ boleh dimuat turun di iTunes Store dan dijadikan sebagai nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan serta boleh didengar dan nikmati bila-bila masa melalui penstriman atas talian seperti Apple Music, Spotify, Joox, YouTube Music, KKBox dan Deezer, manakala MV single ini pula boleh ditonton secara eksklusif di saluran YouTube Rocketfuel Network.


Comments

Popular posts from this blog

WESTLIFE BAKAL KEMBALI KE MALAYSIA UNTUK KONSERT WESTLIFE THE HITS TOUR 2024 DI RESORTS WORLD GENTING