PENGENDALI MAKANAN DISERU UNTUK MENGAMBIL VAKSIN TIFOID


Pandemik COVID-19 telah membawa kepada kemunculan komuniti kumpulan penghantar makanan dalam talian yang tidak terkira banyaknya dan menjadi cara baharu mencari nafkah. Menyedari perkara ini, Akademi Perubatan Pekerjaan dan Persekitaran Malaysia (AOEMM), dengan kerjasama Kumpulan Facebook (FB) CARING MOMS, telah melancarkan kempen pendidikan kesihatan menjelang bulan Ramadhan. Bertemakan Healthy Food Handlers, Food Safety Assured (Pengendali Sihat, Makanan Selamat), kempen ini menyeru semua pengendali makanan dari rumah untuk memberi tumpuan terhadap keselamatan dan kebersihan dalam penyediaan serta penghantaran makanan, dan mendapatkan vaksin terhadap penyakit tifoid (demam kepialu) bagi menjamin keyakinan masyarakat terhadap makanan yang mereka nikmati bersama keluarga.

Menurut Professor Madya Dr. Marzuki bin Isahak, Setiausaha Kehormat AOEMM dan Pakar Perunding Kesihatan Awam & Doktor Kesihatan Pekerjaan, Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Fakulti Perubatan, Universiti Malaya (UM), kempen Healthy Food Handlers, Food Safety Assured (Pengendali Sihat, Makanan Selamat) adalah berdasarkan kepada Akta Makanan 1983 Malaysia yang melindungi masyarakat daripada risiko kesihatan dalam penyediaan, penjualan dan penggunaan makanan, serta Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009 yang menegaskan peraturan berkaitan dengan pengendali makanan.

“Meskipun penting bagi pengendali makanan kita mengambil berat dalam mengamalkan kebersihan diri yang baik seperti kebiasaan mencuci tangan dengan sabun, amat penting juga bagi mereka untuk mendapatkan vaksin terhadap tifoid,” kata Professor Madya Dr. Marzuki, yang turut mempunyai pengalaman sebagai Juruaudit untuk Audit Keselamatan Makanan di premis makanan Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) pada 2018. “Penyakit cegahan vaksin (VPD) ini adalah penyakit akut yang sangat mudah merebak dan berjangkit.”

Profesor Madya Dr. Marzuki berkata AOEMM melihat betapa pentingnya program pendidikan kesihatan ini berikutan kemunculan begitu banyak perniagaan penghantaran makanan dari rumah baharu dalam tempoh yang singkat, yang dicetuskan oleh pengendali makanan yang bijak dalam menangani cabaran pandemik COVID-19. “Memang menarik melihat kepelbagaian perniagaan makanan dari rumah secara dalam talian yang muncul hari ini,” katanya. “Bagaimanapun, ramai pengendali makanan kali pertama ini tidak sedar akan bahaya dan keseriusan penyakit tifoid.

“Pengendali makanan dari rumah mesti sedar bahawa adalah menjadi tanggungjawab mereka untuk melindungi diri sendiri dan pelanggan mereka dengan mengambil langkah proaktif mendapatkan vaksin terhadap tifoid, terutama sekali menjelang bulan Ramadhan di mana bazar makanan akan menarik kedatangan ramai pengunjung. Dalam persekitaran yang begitu, penyebaran tifoid boleh berlaku jika langkah pencegahan tidak diambil.”

Dr. Anza binti Elias, seorang lagi Ahli Majlis AOEMM dan Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Kesihatan Pekerjaan), Twin Towers Medical Centre, KLCC berkata: “Vaksinasi terhadap tifoid adalah satu syarat mengikut undang-undang bagi perniagaan makanan dari rumah kerana ia menguatkan keyakinan pelanggan bahawa makanan yang mereka beli, telah disediakan di bawah terma selamat dan bersih.”


Dr. Anza, juga mantan Pakar Perubatan Kesihatan Awam dengan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sehingga 2012, berkongsi saranan langkah demi langkah berikut buat mereka yang pertama kali menceburi bidang ini untuk menjadi pengendali makanan yang bertanggungjawab:

1. Mendaftar melalui sistem Maklumat Keselamatan Makanan Malaysia (FOSIM) di bawah Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKKM) Kementerian Kesihatan Malaysia.

2. Mematuhi keperluan kebersihan asas dalam penyediaan, pengendalian dan pengedaran makanan seperti yang diajar dalam kursus Pengendali Makanan BKKM.

3. Berjumpalah dengan Doktor/Doktor Keluarga anda ATAU Majlis Perbandaran yang ada Unit Suntikan Tifoid. Dapatkan vaksin awal. Dapatkan vaksin sekarang!

4. Jika sebelum ini anda telah mendapatkan vaksin terhadap Tifoid, vaksinasi semula diperlukan setiap 3 tahun.

Kumpulan FB CARING MOMS telah lama menjadi penyokong kuat untuk latihan pengendali makanan buat usahawan makanan yang mempromosikan perniagaan mereka melalui Jobs for CARING MOMS dan CARING MOMS di FB. “Kami sangat percaya pada pengendalian dan penghantaran makanan yang selamat dan bersih, dan akan terus menggalakkan ahli CARING MOMS serta pengikutnya untuk menghadiri kursus pengendali makanan yang diluluskan oleh KKM dan mendapatkan suntikan vaksin terhadap tifoid,” kata Shera Ann Bosco, pengasas dan pentadbir CARING MOMS.

Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

MULAKAN PAGI ANDA DENGAN PENUH BERTENAGA: ACARA IKONIK MILO® MALAYSIA BREAKFAST DAY KEMBALI SEMPENA SAMBUTAN ULANG TAHUN KE-75 MILO® DI MALAYSIA

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA