RODA PANAS: SELEBRITI KONGSI KOLEKSI KENDERAAN PERIBADI
Program ‘Roda Panas’ ialah sebuah program infotainment berbentuk majalah terbitan saluran Naura dengan kerjasama Nu Ideaktiv Sdn. Bhd. berkaitan tentang perkembangan trend terkini dunia automotif dan permotoran bersama pemilik kenderaan berkuasa tinggi yang terdiri daripada barisan selebriti popular, personaliti serta usahawan berpengaruh tanah air pada setiap episod.
Remy Ishak bersama Dato’ Awie |
Antara koleksi kenderaan peribadi pilihan tetamu jemputan yang akan ditampilkan menerusi musim pertama ‘Roda Panas’ termasuklah Dato’ AC Mizal (Porche Carrera 996 911 4S), Dato’ Awie (Harley Davidson Rod Glide CVO), Dato’ Rosyam Nor (BMW E36 & Satria Neo R3 Lotus Racing), Pekin Ibrahim (Volkswagen Golf R32 MK5), Black Hanifah (Caravan), Achey & Beto Kusyairy (Yamaha RXZ & Ducati 1198), Wak Doyok (Ford Mustang 5.0L V8), Amirul Rejab (Nissan Skyline GTR R34), Tinie Sulaiman (Nissan GTR R35 & Lamborghini Huracan) dan Nabil Rahizad (Toyota Vellfire Modellista & Evo 8).
Selain itu, program ‘Roda Panas’ juga padat dengan pengisian interaktif yang merangkumi perkongsian eksklusif tentang koleksi kenderaan peribadi, reviu dalaman dan luaran, sesi pandu uji dan sebagainya. Bukan itu sahaja, pelbagai maklumat dan tips berkaitan automotif antaranya seperti topik keselamatan, teknik penjagaan serta kepentingan untuk mengenal pasti kesesuaian dan kemampuan sesebuah kenderaan berdasarkan spesifikasi juga akan turut ditampilkan.
Wak Doyok (kanan) |
Julung kali diterbitkan, program ‘Roda Panas’ musim pertama bakal dikemudikan oleh pelakon terkenal yang turut mendapat jolokan ‘Hero Pujaan Malaya’ Remy Ishak selaku hos utama sepanjang 10 buah episod dengan susunan tema berbeza pada setiap minggu. Antara tema mingguan yang akan diketengahkan termasuklah episod ‘supercar’, ‘superbike’, ‘off road vehicle’, modifikasi kereta dan motosikal serta banyak lagi.
Program ‘Roda Panas’ akan berdurasi selama 30 minit dan bakal bersiaran secara eksklusif pada setiap hari Isnin, jam 9.30 malam mulai 12 April 2021 secara eksklusif di saluran Naura (109) serta turut boleh distrim menerusi aplikasi Astro GO dan perkhidmatan On Demand untuk pilihan yang lebih fleksibel.
Tinie Sulaiman (kanan) |
Azlin Reza Azmi, Naib Presiden Perniagaan Saluran Melayu Astro berkata, “Selaku pembekal kandungan utama yang berpengaruh di Malaysia, Astro memainkan peranan penting dalam memberikan hiburan dan menyalurkan maklumat pada masa yang sama kepada masyarakat. Justeru, kami tampil membawakan lebih banyak pengisian berilmiah dalam format komersial yang padat dengan kupasan komprehensif secara santai sebagai inisiatif berterusan untuk mendekati audiens sasaran.
Format infotainment yang diperkenalkan ini sebenarnya bukanlah sesuatu yang baru di platform Astro. Pelbagai program terbitan kami sebelum ini turut disuntik dengan elemen penceritaan yang sama tetapi diterjemahkan dalam genre dan ‘treatment’ yang sedikit berbeza untuk terus memberikan kelainan segar. Ternyata, pendekatan ini terbukti berjaya memikat hati penonton sehingga menjadi antara tarikan utama daripada kami.
Terbaharu, kami dengan berbesar hati membawakan program automotif ‘Roda Panas’ sebagai platform utama dalam menyalurkan informasi semasa mengenai teknologi kenderaan berkuasa besar, teknik penjagaan, perkembangan trend terkini yang berkaitan dengan sektor automotif serta tips bagi meningkatkan kesedaran awam mengenai keselamatan jalan raya.
Walaupun kupasan topik tersebut mungkin agak berat untuk sebilangan penonton, namun corak penyampaian secara santai oleh ‘Hero Pujaan Malaya’ kita iaitu Remy Ishak selaku hos pasti membuatkan penonton suka dan terhibur, pada masa informasi sampai kepada mereka. Itu yang lebih mustahak.
Keistimewaan dan keunikkan program ini juga terletak pada perkongsian eksklusif oleh barisan tetamu jemputan yang akan berkongsi secara mendalam mengenai hobi, minat dan koleksi kenderaan peribadi masing-masing.
Semoga perkongsian ilmu menerusi program ‘Roda Panas’ dapat dijadikan rujukan serta boleh dimanfaatkan bersama baik oleh para penonton terutamanya yang meminati dunia automotif. Semoga terhibur!”
Comments
Post a Comment