DISNEY+ HOTSTAR BAKAL TIBA DI MALAYSIA PADA 1 JUN


Syarikat Walt Disney mengumumkan perkhidmatan penstriman yang dinanti-nantikan Disney+ Hotstar yang bakal dilancarkan di Malaysia pada 1 Jun 2021. 

Penonton kini mempunyai satu lagi cara untuk menikmati kandungan menarik daripada jenama-jenama hiburan yang paling ikonik di bawah Syarikat Walt Disney, termasuk Disney, Pixar, Marvel, Star Wars, National Geographic dan pelbagai siri hiburan dan filem umum bagi khalayak dewasa muda, serta karya-karya tempatan dan Asia yang terulung — semuanya menerusi satu platform tunggal.

Pengguna boleh melanggan Disney+ Hotstar secara terus dengan harga RM54.90 untuk setiap tiga bulan, atau melalui pakej khas dengan Astro bagi menikmati akses kepada koleksi kandungan yang begitu luas.

Pelanggan berpeluang menikmati Disney + Originals, seperti The Mandalorian dan High School Musical: The Musical: The Series, serta WandaVision, The Falcon and The Winter Soldier dan Loki daripada Marvel Studios. Barisan rancangan ini merupakan tambahan kepada siaran “blockbuster” dan barisan kandungan terbaharu, termasuk Avengers: Endgame, Avengers: Infinity War dan Black Panther daripada Marvel Studios; adaptasi aksi langsung Disney - Mulan, Maleficent: Mistress of Evil, The Lion King, Aladdin dan Beauty and the Beast; animasi-animasi Disney popular - Frozen 1 dan 2, Moana dan Big Hero 6, serta Soul, Coco, The Incredibles 2 dan Finding Dory daripada Disney dan Pixar. Selain itu, turut disajikan adalah katalog siri dan filem hiburan umum yang hebat seperti Nomadland, The Walking Dead, Jojo Rabbit, Criminal Minds, Fresh off the Boat, The Simpsons, Grey’s Anatomy, 9-1-1 dan banyak lagi.

Bagi menzahirkan sokongan terhadap komuniti filem tempatan, Disney+ Hotstar telah memeterai satu siri perjanjian beberapa tahun dengan studio-studio tanah air yang terkemuka seperti Skop Productions, Revolution Media Films, Primeworks Studios, WAU Animation, Act 2 Pictures, Les’ Copaque Production, Red Films dan sebagainya.

Perjanjian berkenaan bermaksud Disney+ Hotstar akan menjadi platform eksklusif bagi beberapa filem “blockbuster” Malaysia yang paling dinanti-nantikan - yang akan melangkau pawagam dan dilancarkan terus melalui perkhidmatan penstriman seperti filem J2: J Retribusi, iaitu sekuel “blockbuster” J Revolusi penuh aksi yang dibintangi Zul Ariffin, Ashraf Sinclair dan Amelia Henderson, Zombitopia yang dibintangi Shaheizy Sam, Bront Palarae dan Sharifah Amani, serta Ada Hantu yang dibintangi Hairul Azreen. Ejen Ali The Movie 2 juga akan ditayangkan secara eksklusif di Disney+ Hotstar selepas tayangan perdana di pawagam.

Di samping itu, siri drama masa perdana tempatan daripada TV3 seperti Single Terlalu Lama dan Kekasih Hati Mr. Bodyguard akan ditayangkan terlebih dahulu di Disney+ Hotstar pada pukul 7 pagi pada hari yang sama dengan siaran langsungnya. Dengan ini, penggemar drama dapat menonton siri tempatan kegemaran mereka menerusi platform ini sehingga 15 jam sebelum siaran di platform lain.

Selain itu, beberapa filem Malaysia yang paling ikonik dan terunggul, termasuk J Revolusi, Tombiruo, KL Special Force, Ejen Ali The Movie, Upin & Ipin: Keris Siamang Tunggal, Munafik, Istanbul Aku Datang!, francais filem Rock (Rock, Rock Oo!, Rock Bro! dan Rock 4: Rockers Never Dai), Talentime, Mukhsin, The Kid From The Big Apple 2, Vedigundu Pasangge, Evolusi KL Drift 1 & 2, KL Gangster 1 & 2, Gol & Gincu 1 & 2, Guang, Redha and Roh, akan disajikan menerusi Disney+ Hotstar.

Bagi penonton yang gemar menonton cerita bersiri terus menerus dalam satu masa, terdapat siri-siri yang menampilkan barisan bintang tersohor seperti Wifi Sebelah Rumah (menampilkan Zul Ariffin dan Ruhainies) dan Semanis Senyumanmu (menampilkan Daiyan Trisha dan Aiman Hakim Ridza).

Kanak-kanak dan seisi keluarga dapat menikmati siri hebat seperti Ejen Ali, lebih 10 musim Upin & Ipin, Club Mickey Mouse, T.O.T.S, Alif & Sofia, Wizards of Warna Walk dan Spider-Man daripada Marvel, manakala peminat kandungan Asia dapat menantikan filem dan siri popular dari seluruh rantau ini, seperti Infernal Affairs, Ip Man 4 The Finale, The Deer and the Cauldron, The Legend of Haolan, Pandian Stores and Vishwaroopam 2, serta kandungan eksklusif seperti The Silent Forest, Dil Bechara dan Live Telecast.

Pengurus Besar, Syarikat Walt Disney Taiwan, Hong Kong dan Asia Tenggara, David Shin, berkata, “Pelancaran Disney+ Hotstar di Malaysia menerusi kerjasama dengan Astro, merupakan pencapaian bermakna bagi kami, ketika kami terus melebarkan sayap di Asia Tenggara untuk membawa tawaran hiburan yang mengujakan kepada pengguna di rantau ini. Rakyat Malaysia bukan sahaja mempunyai ketersambungan yang baik tetapi juga celik teknologi dan mereka merupakan antara peminat Disney yang paling besar di rantau ini. Kami sangat teruja dapat menyampaikan pelbagai kandungan untuk segenap lapisan umur menerusi platform bertaraf dunia kami, yang merangkumi program-program terulung daripada pelbagai genre oleh jenama Disney.”

Pengarah Eksekutif Kandungan & Kreatif, Disney+ Hotstar, Asia Tenggara, Ahmad Izham Omar berkongsi, “Selain dapat membawa kandungan jenama Disney yang hebat dari seluruh dunia, kami amat berbesar hati untuk berganding tangan dengan studio-studio dan para pencipta untuk membawa kisah-kisah tempatan ke Disney+ Hotstar, sekaligus memacu pertumbuhan komuniti kreatif kami. Menerusi Disney+ Hotstar, kami berharap dapat terus memberikan sokongan padu kepada kandungan buatan Malaysia, dan menyerlahkan daya tarikan mengenai kisah-kisah, para pembuat filem, serta bakat Malaysia yang penuh inspirasi.”

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Astro, Henry Tan berkata, “Kami teruja dapat menghimpunkan ‘terbaik daripada terbaik’ sebagai destinasi hiburan yang tiada tandingan bagi rakyat Malaysia. Pelanggan kami berhak mendapat hiburan yang hebat, dan tambahan Disney+ Hotstar dengan pelbagai rancangan yang popular, wakil karya tempatan dan program sukan yang menarik pasti akan mengujakan mereka. Disney+ Hotstar akan tersedia untuk pelanggan kami bermula 1 Jun dan selepas itu, kami juga akan berusaha menawarkan Disney+ Hotstar menerusi kotak bersambung Ultra dan Ulti kami pada tahun ini.”

Pengalaman yang Terunggul

Pelanggan akan dapat menstrim Disney+ Hotstar menerusi pelbagai pilihan peranti mudah alih dan TV bersambung yang serasi semasa pelancaran ini, termasuk pemain media penstriman. Setiap akaun yang didaftarkan dapat menyokong dua penstriman serentak, dan sebahagian besar kandungan akan tersedia untuk dimuat turun pada telefon mudah alih dan tablet. Semua kandungan adalah bebas iklan dan mempunyai bahagian mesra kanak-kanak dengan kandungan yang sesuai dengan usia mereka. Ianya juga mudah untuk dilayari oleh pelanggan.

Mulai 1 Jun 2021, pengguna boleh melanggan perkhidmatan tersebut secara terus menerusi laman Disney+ Hotstar, serta aplikasi Disney+ Hotstar melalui peranti Android dan iOS atau dengan Astro. Sila layari DisneyPlusHotstar.my untuk maklumat lebih lanjut.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?