PENDUDUK KG PISANG KEMBALI LAGI DENGAN MUZIKAL RAYA ISTIMEWA
Fenomena Kampong Pisang terus utuh sejak kemunculan drama premium menerusi jenama Astro Originals, Kampong Pisang Bersiri-Siri pada Disember tahun lalu yang mendapat pujian dari sudut kualiti, elemen komedi, konten segar yang berbeza dari kebiasaan dan kekuatan setiap watak sehingga menjadi bualan ramai.
Rentetan daripada itu, fenomena Kampong Pisang diteruskan menerusi filem 18 Puasa Di Kampong Pisang yang ditayangkan pada bulan Ramadhan lepas. Sambutannya hangat diperkatakan oleh penonton dan pengkarya industri hiburan, malah impak daripada filem tersebut juga seiring dengan kutipannya yang mencecah RM5 juta dan sekali gus berjaya memecah rekod mengetepikan filem pecah panggung, Hantu Kak Limah lalu menjadi filem no. 3 paling laris di Astro First sepanjang masa.
Selepas kejayaan demi kejayaan tercipta, kini Astro dan pengarah tersohor Mamat Khalid tidak teragak-agak untuk menghasilkan filem terbaru daripada francais ini yang seterusnya buat peminat dan penonton di Malaysia dengan sedikit sebanyak mengharapkan ia mampu menghiburkan dan keluar seketika dari tekanan dalam keadaan sukar sekarang ini melalui jenaka dan jalan cerita yang santai. Menariknya, kali ini francais kegemaran ramai tampil berbeza apabila muncul buat pertama kali dengan konsep yang sangat istimewa iaitu muzikal.
Jika bulan Ramadhan penonton menyaksikan telatah dan pengajaran daripada penduduk Kampong Pisang yang tidak berpuasa, istimewa Syawal ini penonton bakal dihidangkan dengan gelagat mencuit hati mereka dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri menerusi filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, yang boleh ditonton Di Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 27 Mei ini. Uniknya, terdapat 10 buah lagu ‘evergreen’ yang dinyanyikan sendiri oleh barisan pelakon Kampong Pisang!
Kesemuanya terdiri daripada lagu popular Hari Raya dan juga lagu hit sekitar 1990-an yang mampu membuat penonton sama-sama menyanyi semasa menontonnya; seperti Cahaya Di Aidifitri (Kazar Saisi, Dewa Sapri, Mok Ram & Nazeera Sardi), Pulang (Joey Daud), Suasana Hari Raya (Yah Kuchei & Aziz M Osman), Doa Di Hari Mulia (Yah Kuchei), Selamat Hari Raya (semua barisan pelakon), Halaman Asmara (Kaka Azraff & Datuk Awie), Di Persimpangan Dilema (Nazeera Sardi), Kekasih Awal Dan Akhir (Datuk Awie) Belaian Jiwa (Bell Ngasri), dan Pantun Budi (Mat London, Datuk Awie, Mok Ram, Ahmad Yassin).
Malah, setiap nyanyian turut diiringi dengan tarian oleh setiap watak yang tidak pernah penonton lihat sebelum ini. Masih mengekalkan barisan pelakon utama Kampong Pisang seperti Kazar Saisi, Aziz M Osman, Bell Ngasri, Dewa Sapri, Mat London, Ahmad Yasin, Afea Deana, Joey Daud, Nazeeera Sardi, Avaa Vanja, Yoep Hitler dan kali ini mengembalikan Datuk Awie sebagai teraju utama serta watak-watak baru yang digerakkan oleh penyanyi dan pelakon Kaka Azraff, Imuda serta penampilan istimewa oleh Siti Elizad Sharifuddin dan Raja Azmi.
Bagi edisi Aidilfitri, ia menyaksikan setiap watak mempunyai konflik dan dilema masing-masing dalam menyambut Hari Lebaran. Ia bermula apabila seluruh penduduk Kampong Pisang bersama-sama mengerjakan aktiviti masak-masak pada sehari sebelum raya. Husin kembali ke kampung bersama kekasih baru Nelly sehingga Cik Chun cemburu dan merajuk kerana cintanya ditolak. Manakala Barkoba dikejutkan dengan kehadiran bekas kekasih yang pernah tinggalkannya dahulu kerana berkahwin dengan lelaki berpangkat pengurus kilang.
Pak Din pula sedih kerana anaknya tiba-tiba tidak dapat pulang ke kampung untuk beraya bersamanya. Cik Purnama membawa beg pakaian dan tilam ke mana-mana kerana kesunyian. Pak Karim dan Kak Som hiba kerana ini kali pertama beraya tanpa anak mereka yang telah tiada. Serta Daud M yang perlu bekerja di malam raya bagi penghantaran barang-barang buat penduduk kampong Pisang yang membeli barang di atas talian.
Antara daya tarikan lain filem ini adalah babak-babak yang dipersembahkan mengimbau memori sambutan Aidilfitri di kampung dan serta tonjolkan perubahan sambutan dan tradisi Hari Raya pada zaman dahulu dan masa kini. Antaranya nostaligia rumah yang dihias dengan pelita panjut dan kad Hari Raya, bersama jiran tetangga menyediakan juadah Aidilfitri, kanak-kanak bermain di malam Raya dan banyak lagi.
Menurut Pengarah Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa, Mamat Khalid, “Bersempena Hari Raya Aidilfitri, saya yakin ramai yang ingin bergembira meskipun kita semua beraya dalam keadaan normal baharu dan serba sedarhana. Jadi saya himpunkan lagu-lagu yang dekat dengan penonton ke dalam sebuah filem agar sedikit sebanyak dapat menceriakan hari mereka dengan berhibur serta mengembalikan nostalgia dan memori di hari lebaran. Malah, istimewanya filem ini, ia turut menyelit cerita cinta dan semangat bermasyarakat di Hari Raya yang sudah berbeza jika dibandingkan zaman dulu hingga zaman moden masa kini. Saya harap kehadiran filem ini mampu tunjukkan kepada generasi masa kini tentang suasana dan berkasih sayang di Hari Raya.”
Sementara itu Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Jenama Kampong Pisang semakin kukuh dan sinonim dengan penonton serta peminat karya tempatan di Malaysia. Ia terbukti apabila francais tersebut hangat diperkatakan oleh masyarakat, penggiat seni tanah air, serta mendapat perhatian serta pujian daripada golongan industri lain sejak ia diperkenalkan menerusi filem, kemudian dibawa melalui drama premium Kampong Pisang Bersiri-Siri dan bersambung dengan filem di platform Astro First seperti 18 Puasa Di Kampong Pisang. Kami yakin karya pengarah Mamat Khalid sentiasa dinantikan dan apa yang kami boleh kongsikan, sudah pasti akan ada lebih banyak kerjasama di antara pihak kami dan Mamat Khalid dalam menghasilkan karya yang mampu menghiburkan penonton Malaysia sepanjang berada di rumah lebihlebih lagi dalam keadaan sekarang ini. Jadi, kali ini kami bawakan sebuah filem bertemakan Hari Raya dan lebih uniknya ia adalah filem pertama daripada francais Kampong Pisang yang berkonsepkan muzikal.
Bagi kami sutradara Mamat Khalid sentiasa mempunyai idea kreatif dalam menghasilkan karya. Astro sentiasa terbuka dalam memberi sokongan penuh kepada pengkarya di Malaysia dengan menyediakan platform untuk kembangkan kreativiti mereka agar dapat disampaikan kepada penonton serta memeriahkan lagi industri filem tanah air. Kami harap filem muzikal ini dapat membuka ruang lebih besar di dalam industri agar genre seperti ini turut menjadi pilihan utama penonton Malaysia.”
Saksikan filem Kampong Pisang Musikal Raya Istimewa yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 27 Mei 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulangulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.
Comments
Post a Comment