HUTANG 2D: GELAGAT & AKSI KUMPULAN FLOOR 88 MENCUIT HATI


Lagu popular Hutang nyanyian kumpulan Floor 88 melakar kejayaan tersendiri dengan mendominasi carta radio dan televisyen tempatan pada tahun 2019 serta liriknya telah menjadi siulan oleh golongan kanak-kanak hingga orang dewasa. 

Bait-bait lirik lagu Hutang juga membawa maksud yang cukup mendalam. Terbaharu, lagu tersebut diangkat dan dipersembahkan menerusi filem HUTANG 2D. Istimewa buat penonton, Astro Shaw bakal membawakan filem terbitan Arie Zaharie Production bersama Knack Knack Studios tersebut terus ke Pawagam Rumah Anda, Astro First, saluran 480 bermula 5 Ogos 2021. 


Menariknya, filem ini mempertaruhkan bakat lakonan oleh kesemua ahli kumpulan Floor 88, Ayie Elham, Akram K, Falique Ghazali, Zai Hamzah, Amirul Afeeq dan Eric Fuzi sebagai teraju utama. HUTANG 2D adalah kemunculan pertama kumpulan Floor 88 menerusi filem dan ia bakal hiburkan penonton dengan gelagat, aksi dan komedi yang mencuit hati. 

Terdahulu, Floor 88 pernah pamerkan bakat lakonan menerusi telefilem Kau Roadblock Hatiku (2018) dan Tok Moh Talent Agency (2019) yang ditayangkan di Astro Citra. Buat watak Ayie yang dijayakan oleh Ayie Elham, ia memberi cabaran baru buatnya apabila dia perlu melakukan aksi ‘fight’. 

Namun begitu, pengalamannya dalam teater serta tunjuk ajar daripada pengarah dan kru sedikit sebanyak membantu dia menjayakan watak Ayie. Bukan itu sahaja, malah anggota lain Floor 88 iaitu Eric Fuzi turut melebarkan bakatnya dalam pengarahan filem. Beliau bersama pengarah Irwan Rauf merupakan pengarah untuk HUTANG 2D. 


Selain itu, filem ini juga turut menampilkan gabungan penyanyi-penyanyi terkenal tanah air serta pelakon hebat dalam menggerakkan setiap watak. Antaranya, Baby Shima, Black Hanafiah, Fauziah Datuk Ahmad Daud, Ropie, Altimet, Wafiy Ilhan dan Coki. 


SINOPSIS:

Filem HUTANG 2D mengangkat genre komedi, aksi dan fantasi. Ia mengisahkan tentang Ayie (Ayie Elham), seorang pelukis webtoon yang kuat berangan dan bersifat pengecut. Hubungan Ayie dan ayahnya, Pak Jie (Ropie) tidak mesra, bahkan bakat melukisnya juga sering dipandang rendah oleh Pak Jie. Itu membuatkan Ayie rasa sedih dan kurang keyakinan, termasuklah memendam rasa terhadap jirannya, Shima (Baby Shima). Sementara itu, Pak Jie banyak berhutang dan sering diganggu oleh dua orang gangster, Han (Black) dan Kit (Wafiy Ilhan). Apabila Pak Jie diserang di rumahnya, Ayie terus menyembunyikan diri. 

Segalanya berubah apabila Ayie bertemu dengan Gua Mambang (Altimet) dan telah menghadiahkan sebuah ‘tablet’ ajaib. Ayie mendapati setiap lukisannya di tablet itu akan menjadi kenyataan. Kemudian, Ayie mencipta rakan-rakan baru dengan mempunyai kuasa ‘superhero’ yang luar biasa agar dapat membantunya menyelesaikan masalah hidupnya. 


ULASAN:

Konsep yang ditampilkan di dalam filem ini sangat menarik. 2D di dalam filem ini merujuk kepada lukisan webtoon dalam dua dimensi yang bertukar menjadi realiti dengan adanya sebuah ajaib yang dihadiahkan kepada protagonis filem ini - Ayie (Ayie Elham). Ayie menggunakan tablet ajaibnya itu untuk meloloskan diri dari pelbagai masalah yang dihadapi termasuk usaha menyelamatkan gadis yang disukainya. Transisi dari gambar 2D kepada realiti dijayakan dengan penggunaan CGI dengan live action. Gabungan CGI dan aksi boleh dikatakan agak memuaskan dan banyak membantu penceritaan filem ini. Bagi sebuah filem yang hanya menelan belanja RM300,000, ia sudah cukup bagus.  

Walaupun Hutang 2D bukanlah sebuah filem “adiwira” yang sepenuhnya, watak-watak yang ditampilkan mempunyai kuasa luar biasa mereka yang tersendiri. Ini menimbulkan pelbagai insiden lucu dan menggemparkan di sepanjang filem ini. Contohnya, Si Achoi dengan kuasa api dan kebolehan bertutur dalam “loghat” Inggeris dan Falique dengan kuasa empat saat yang pantas. Nak tahu apa kebolehan Kumpulan Floor 88? Jangan ketinggalan untuk saksikan Hutang 2D.

Pujian harus diberikan kepada pelakon Ropie yang sebelum ini tampil dalam muzik video lagu Hutang dengan watak seorang yang banyak hutang. Menariknya watak tersebut telah dikembangkan ke dalam filem dan menjadi salah satu konflik di dalam penceritaan HUTANG 2D. Pelakon komedi yang tidak asing pastinya membuatkan penonton tidaj kering gusi dengan aski gila-gilanya.     

Kepada yang inginkan hiburan ringan ketika duduk di rumah, jadikanlah Hutang 2D sebagai filem wajib tonton. Sediakan popcorn dan berhibur dengan gelagat dan aksi kumpulan Floor 88 dan pelakon-pelakon lain yang mencuit hati!  


Arie Zaharie - Penerbit Eksekutif Filem HUTANG 2D

Penerbit Eksekutif Filem HUTANG 2D, Arie Zaharie menyatakan keseluruhan kos penggambaran 10 hari itu menelan belanja sebanyak RM300,000. “Idea asal filem ini datang dari Silentkaiju Studio dan pihak kami tertarik dengan idea untuk mengangkat lagu Hutang yang amat popular dalam kalangan masyarakat Malaysia. 

Memandangkan bait-bait lirik yang menggunakan gaya bahasa sarkastik dan membawa kisah tersendiri, jadi, kami cuba mengembangkan elemen serta mesej lagu tersebut ke dalam sebuah penceritaan dan kemudian mempersembahkan dalam bentuk filem. Malah, pihak kami juga berusaha membawa kelainan menerusi Hutang 2D dengan menyajikan penonton dengan konsep menarik. Tahniah buat barisan pelakon, terutamanya kumpulan Floor 88 yang berjaya membawa sisi lain dengan menonjolkan sisi berbeza menerusi filem.” 

“Sementara itu, ketika penggambaran dijalankan, negara berdepan dengan situasi pandemik Covid-19, Penggambaran yang dilakukan di kawasan perumahan flat sememangnya mencabar terutama dalam tempoh pandemik. Pasukan produksi terpaksa menjalankan proses kawalan SOP yang ketat di set penggambaran. Rumah perlu sentiasa disanitasi, memeriksa dan mencatat catat suhu kru dan pelakon. Kru wajib memakai pelitup muka, membasuh tangan dan sentiasa menjaga penjarakan ketika penggambaran dijalankan. Mereka juga terpaksa menjaga keselamatan kerana suasana di kawasan perumahan flat yang ramai orang. Kami harap, Hutang 2D dapat memberi keterujaan kepada penonton dan mencipta kejayaan seperti filem-filem terdahulu yang pernah mengangkat lagu-lagu terkenal sebagai latar kepada jalan cerita,” ujarnya lagi. 



Naib Presiden, Ketua Astro Shaw & Nusantara, Raja Jastina Raja Arshad berkata, “Hutang 2D adalah sebuah lagi filem terbaru di platform Astro First yang memperlihatkan bakat-bakat penyanyi tanah air menonjolkan bakat lakonan mereka. Lebih mengujakan, filem ini memaparkan sebuah kumpulan penyanyi popular Malaysia di samping mengetengahkan unsur komik digital dan fantasi. Kami yakin kemunculan Floor 88 dalam Hutang 2D mampu menarik minat penonton dan berharap filem ini dapat menghiburkan penonton dan terus kekal berada di rumah.” 


Manakala Pengarah Hutang 2D, Irwan Rauf percaya Hutang 2D sesuai untuk tontonan seisi keluarga dan segenap lapisan masyarakat. “Saya sangat berharap, filem ini dapat menghiburkan penonton tambahan dalam keadaan negara yang sedang bertungkus lumus ’melawan Covid- 19 dan sekali gus ia dapat meredakan tekanan orang ramai yang terpaksa ’berkurung’ di rumah. Semoga filem ini dapat meredakan kerisauan dan mengeratkan silaturahim keluarga dengan menonton bersama-sama.” 


Pengarah bersama HUTANG 2D, Eric Fauzi juga menyimpan harapan sama agar filem ini dapat diterima ramai dan penonton terhibur. “Di saat negara dan rakyat sedang berduka dan tertekan akibat Covid-19, filem ini sedikit sebanyak boleh membantu menghilangkan tekanan perasaan. HUTANG 2D adalah filem komedi ringan yang sesuai ditonton oleh seisi keluarga dan lapisan masyarakat.” 


Jangan lupa untuk menonton filem Hutang 2D yang akan berada di Pawagam Rumah Anda, Astro First bermula 5 Ogos 2021. Untuk melanggan sila ke saluran 480 atau anda juga boleh strim di Astro Go atau On Demand. Dengan hanya RM15, anda boleh menonton selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang. Ikuti info dan klip-klip menarik tentang filem ini menerusi akaun Instagram, Facebook, Twitter Astro Shaw.



Tonggak Utama

Dipersembahkan Oleh : Arie Zaharie Production & Knack Knack Studios
Penerbit Eksekutif : Arie Zaharie, Lydia Ibtizam, Dato' Jamil Baharom
Penerbit : Azlan Zaharie, Arie Zaharie, Ezam Merican (Fdam)
Penerbit Penyelaras : Arie Zaharie, Lydia Ibtizam, Ezam Merican (Fdam)
Pengarah : Irwan Rauf Dan Pengarah Bersama Eric Fuzi
Skrip : Azlan Syah Rashid (Chill)
Cerita Asal : Silentkaiju Studio
Lakon Layar : Irwan Rauf Dan Eric Fuzi
Pengurus Produksi : Megat Azhariko
Pengarah Fotografi : Mohd Noor Kassim
Penyunting : Faizul A. Rashid (Konda Kondi Studios)
Korografer Lagak Ngeri : M. Lokman Hakim (Nel)
Kesan Visual : Knack Knack Studios, Mira Digital, Axistence
Muzik Skor : Adzrey Bai (Direct Sound Studio)
Penata Bunyi : Adzrey Bai
Penata Busana : Ahmad Redza Idris
Penata Tatarias : Zack Danial
Jurugambar : Amirul Najmi Ibrahim

Barisan Pelakon Hutang 2D

Ayie Elham (Floor 88) sbg Ayie
Baby Shima sbg Shima
Eric Fuzi (Floor 88) sbg Eric
Akram (Floor 88) sbg Akram
Falique (Floor 88) sbg Falique
Achoi (Floor 88) sbg Achoi
Amir (Floor 88) sbg Amir
Fauziah Dato Ahmad Daud AMN sbg Mak Ima
Ropie sbg Pak Jie
Black Hanifah sbg Han
Wafiy Aan sbg Kit
Coki sbg Aiman
Altimet sbg Gua Mambang

OST

Lagu : Hutang
Penyanyi : Floor 88
Lirik : Achoi Floor 88
Komposer : Zai Hamzah

Lagu : Ku Ingin
Penyanyi : Floor 88
Lirik : Falikh Ghazali & Achoi
Komposer : Falikh Ghazali


Comments

Popular posts from this blog

CARIAN TAHUN 2024: INILAH PERKARA YANG DICARI, DISAMBUT, DAN DIINGATI OLEH RAKYAT MALAYSIA

‘REAL MEN MALAYSIA: WIRA MERAH’- 8 SELEBRITI JALANI KEHIDUPAN SEBENAR JABATAN BOMBA DAN PENYELAMAT MALAYSIA