TURKIYE MENJADI PILIHAN JUARA-JUARA LUMBA BASIKAL MALAYSIA
Turkiye yang telah sekian lama dikenali dengan keindahan dan kepelbagaian, tempat-tempat bersejarah yang kaya dengan kebudayaan serta keunikan lokasi geografi yang menghubungkan dua benua, merupakan salah satu destinasi pelancongan yang terbaik di dunia. Apa yang masih belum dikenali mengenai Turkiye adalah di samping pelancongan berbasikal, ia juga merupakan satu destinasi perlumbaan basikal bertaraf dunia untuk perlumbaan amatur dan profesional.
Sebagai sebahagian daripada usaha untuk mempromosikan pelancongan berbasikal di Turkiye, Kementerian Kebudayaan dan Pelancongan dan Agensi Promosi dan Pembangunan Pelancongan Turkiye (TGA) baru-baru ini telah melancarkan laman sesawang https://gocyclingturkiye.com/, untuk memberikan maklumat mengenai perlumbaan, laluan dan acara berbasikal di seluruh Turkiye bagi basikal gunung, basikal jalan raya dan e-basikal.
Velo Erciyes, penganjur kem latihan dan perlumbaan basikal, telah menganjurkan enam kejuaraan GP, dengan setiap satu merupakan siri perlumbaan sehari yang dikategorikan oleh Kesatuan Lumba Basikal Antarabangsa sebagai Peringkat 1.2 dalam kalendar perlumbaan Eropah. Hadiah wang tunai diberikan kepada pelumba-pelumba yang mendapat tempat teratas.
Terengganu Cycling Team (TSG) dari Malaysia telah menyertai dan memenangi kejuaraan lumba basikal antarabangsa tersebut. Namun begitu, sorotan utama bagi TSG di bulan Julai yang padat bukanlah terhad kepada perlumbaan tersebut sahaja. TSG telah memilih Gunung Erciyes sebagai kem latihan mereka. Gunung yang sentiasa dilitupi salji, dengan ketinggian 3,916 meter, tersergam dengan pemandangan indah yang menampilkan struktur geologi yang digelar “cerobong asap pari-pari,” terbentuk sejak puluhan ribuan tahun yang lalu. Pasukan tersebut menjalani latihan di Cappadocia, yang indah umpama kisah dongeng di mana Pejabat Kedutaan Pelancongan dan Maklumat Turkiye dengan Kerjasama Agensi Promosi dan Pembangunan Pelancongan Turkiye (TGA) telah mengatur lawatan sehari kepada pasukan TSG untuk mengunjungi beberapa tempat tarikan pelancong yang popular di destinasi tersebut.
Bermula 3 sehingga 18 Julai, TSG menghadapi saingan daripada 20 pasukan lain dari Turkiye, Eropah dan Amerika Utara dalam enam acara: Grand Prix Germenica, Grand Prix Kahramanmaras, Grand Prix Erclyes, Grand Prix Kayseri, Grand Prix Velo Erciyes dan Grand Prix Develi.
Pasukan 8 ahli TSG menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dan telah berjaya ke podium dalam kesemua enam acara yang disertai. Kemenangan paling besar pasukan TSG adalah di Kahramanmaras Grand Prix pada 4 Julai, dimana dua pelumba TSG telah menggondol tempat pertama dan kedua: Jambaljamts Sainbayar bergelar juara dan rakan sepasukan Metkel Eyob memenangi tempat kedua.
Wan Mohd Nazri Wan Ahmad, pengarah sukan TSG, menyatakan: “Jalan-jalan di sini adalah amat sesuai dengan pelumba-pelumba kami dan keramahan rakyat tempatan sememangnya patut diberi pujian. Kami berasa selesa sepanjang lawatan kami ke Turkiye,” katanya.
Seorang lagi ahli pasukan, Jeroen Meijers, menambah: “Dalam lawatan kami ke Turkiye, kami mendapati ia sebenarnya adalah syurga untuk pelumba berbasikal. Jalan-jalan dan infrastruktur di Turkiye merupakan antara yang terbaik dan kami turut dapat menikmati alam semula jadi, iklim dan pemandangan yang indah.”
Sememangnya, ramai pelumba basikal dan pasukan lumba basikal lebih gemar menjalani latihan dan berlumba di Turkiye, kerana program “Sijil Pelancongan Selamat” yang baru dilaksanakan. Program ini terdiri daripada satu set protokol dan garis panduan yang telah ditetapkan oleh kerajaan, pemberian pensijilan kepada amalan pelancongan selamat untuk semua tetamu asing dan tempatan dan merangkumi sepanjang tempoh mereka berada di Turkiye.
Dua acara lumba basikal perdana Turkiye adalah Presidential Cycling Tour of Turkiye, dianjurkan di bulan April setiap tahun dan Antalya Cycling Tour, di bulan Februari.
Comments
Post a Comment