DATA TEMPAHAN AGODA DEDAHKAN DESTINASI PILIHAN PELANCONG

 

Kawalan rentas negeri telah dilonggarkan baru-baru ini bagi warga Malaysia yang telah lengkap divaksin mulai 11 Oktober. Dengan pembukaan semula sektor pelancongan yang mematuhi SOP dan peraturan yang dikeluarkan oleh Majlis Keselamatan Negara, data tempahan Agoda telah menunjukkan bahawa warga Malaysia masih berminat untuk melancong ke tempat-tempat tarikan pelancong domestik yang terkenal, dengan perubahan kecil dalam senarai 20 destinasi pelancongan paling utama jika dibandingkan data tempahan 2019/20 dengan 2020/21.


Kuala Lumpur dan Pulau Pinang masih menduduki tempat utama, manakala Johor Bahru telah menjatuhkan Melaka ke tempat ke-4 dan Kuantan pula, telah melonjak naik dari anak tangga ke-7 ke anak tangga ke-5, menjatuhkan Kota Kinabalu dari senarai lima teratas. Klang pula naik satu anak tangga ke anak tangga ke-20, lantas menyingkirkan Taiping dari senarai 20 Destinasi Pelancongan Paling Utama.

Biarpun destinasi 20 Paling Utama adalah terdiri daripada tempat-tempat tarikan pelancong sibuk, tempat-tempat ini masih digemari ramai kerana melambangkan ciri-ciri kemalaysiaan yang menjadi tarikan ramai. Suasana bandar dan kosmopolitan di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang menawarkan gaya hidup yang kontemporari dan pada masa yang sama juga menampilkan daya tarikan sejarah tersendiri.

Pulau Pinang sememangnya terkenal sebagai syurga makanan, bukan sahaja sinomin dengan Char Kuey Teow, kepelbagaian budaya dan sejarah di kota ini telah diserapkan ke dalam citarasa makanan yang terdapat di sini. Salah satu lagi contoh agak sama adalah Johor, yang telah muncul sebagai menjadi destinasi makanan dengan citarasa selatan, dengan pengaruh Arab dan Jawa dalam cara masakannya.

Populariti yang berpanjangan bagi destinasi-destinasi ini juga mencerminkan tabiat pelancong-pelancong tempatan telah berubah susulan kawalan pergerakan yang telah dilaksanakan sepanjang pandemik ini. Dengan pelancongan domestik yang masih menjadi tulang belakang di kebanyakan negara, para pelancong mungkin mencari cara baharu untuk melakukan percutian, sama ada memilih untuk cuti inap (staycation) atau melakukan perjalanan yang singkat.


Data tempahan menunjukkan warga Malaysia, seperti mana warga negara-negara Asia yang lain, telah memilih destinasi-destinasi yang jarang dikunjungi ramai untuk percutian mereka. Menurut hasil Tinjauan Pelancongan Agoda 2021 yang telah diumumkan pada bulan Jun tahun ini, salah satu cara utama warga Malaysia melakukan pelancongan adalah dengan menjelajahi destinasi-destinasi tempatan yang belum mereka kunjungi sebelum ini.

Kuala Rompin menyaksikan kenaikan tertinggi dalam senarai, naik 7 anak tangga daripada kedudukan ke-44. Antara destinasi lain yang telah memasuki senarai 50 Paling Utama tahun ini adalah Kuala Selangor (#46) dan Seri Manjung (#47), naik dari kedudukan ke-52 dan ke-53 masing-masing di tahun 2019/20.

Kuala Rompin (#44), merupakan destinasi dengan lonjakan paling tinggi di dalam senarai 50 Paling Utama. Ia pernah dikenali sebagai pintu masuk ke Pulau Tioman tetapi kini telah menjadi sebuah syurga penggemar makanan laut terutamanya bagi udang air tawar dan kepah dari Sungai Rompin.

Sementara itu, Kluang telah menyaksikan kenaikan kedua tertinggi, mendaki 6 anak tangga untuk mencapai kedudukan ke-28. Kluang yang merupakan sebuah bandar laluan keretapi yang bersejarah menawarkan para pelancong satu peluang untuk mengenali Malaysia di zaman silam dan juga menikmati tarikan-tarikan eko-pelancongan. Antara tarikan utama di sini adalah kopitiam Kluang Rail Coffee yang telah menyediakan kopi dengan cara yang sama sejak tahun 1930-an dan juga kebun-kebun organik yang terdapat di persekitaran bandar, yang menawarkan pengalaman yang lebih santai kepada para pengunjung, jauh dari bandar-bandar yang sibuk.

Destinasi dengan lonjakan ketiga tertinggi dalam senarai 50 Paling Utama adalah Kuala Selangor, naik 5 anak tangga ke kedudukan ke-47. Lokasinya yang jauh daripada tumpuan para pelancong arus perdana membolehkan bandar kecil Kuala Selangor untuk mengekalkan tarikan ala-kampungnya dan juga keindahan alam semula jadi di sini. Contohnya, Bukit Melawati yang mempunyai sebuah kubu yang dibina dalam abad ke-19 yang mana digunakan oleh penduduk tempatan pada zaman itu untuk mengesan kemunculan penceroboh dari Selat Melaka. Para pengunjung ke kubu ini pada hari ini dapat menyaksikan pemandangan indah yang menghijau, termasuk Taman Alam Kuala Selangor.

Bandar-bandar kecil yang lain turut melihat peningkatannya dalam senarai 50 Destinasi Paling Utama tahun ini, dengan enam destinasi yang melonjak naik empat anak tangga setiap satu. Destinasi-destinasi tersebut termasuk Desaru (#25), Kangar (#31), Teluk Intan (#37), Chukai (#38), Kulim (#40) dan Seri Manjung (#49).

“Semangat pengembaraan bagi warga Malaysia kekal bersemarak di sepanjang pandemik — walaupun citarasa mereka berbeza sedikit dengan yang sebelum ini. Mereka memilih destinasi-destinasi yang lebih berhampiran dengan rumah mereka, meluangkan masa di tempat-tempat yang jarang dikunjungi dan menjelajahi tempat-tempat menarik yang masih terlindung dari pengetahuan orang ramai untuk mengalami sendiri kehebatan Malaysia sebagai satu destinasi pelancongan.

“Saban hari kami melihat tanda-tanda pemulihan sektor pelancongan, di dalam dan juga di luar negara. Kami menyaksikan kenaikan mendadak dalam carian destinasi-destinasi di dalam negara dan juga luar negara apabila setiap kawalan pergerakan dimansuhkan. Ini mencerminkan keinginan warga Malaysia untuk kembali melakukan perjalanan, berjumpa di antara satu sama lain dan menjelajahi destinasi-destinasi idaman mereka,” kata Mr. Cleland Robertson, Pengarah Negara, Malaysia dan Brunei, Agoda.

Comments

Popular posts from this blog

ANTA MALAYSIA MELANCARKAN KEMPEN SUMBANGAN KASUT SEMPENA RAMADAN

FOODPANDA MALAYSIA LANCAR INISIATIF RAMADAN BERSAMA COCA-COLA MALAYSIA DAN VIU MELALUI KEMPEN ‘BAKUL MAKANAN’ DI SELURUH NEGARA