BANGSAWAN 'HIKAYAT SI MISKIN MENJADI RAJA' DI KLPAC


Sebagai rakan kerjasama Yayasan Hasanah, di bawah platform ArtsFAS2021, The Actors Studio Seni Teater Rakyat dan Mekar Budaya membawakan sebuah projek persembahan Bangsawan bertajuk “Hikayat Si Miskin Menjadi Raja” selama 3 hari, bermula 17 hingga 19 Disember di Pentas 1, klpac. 

Sebelum kewujudan siaran televisyen, teater Bangsawan pada suatu masa dahulu merupakan salah satu bentuk hiburan utama yang dibawakan oleh kumpulan bergerak yang membuat persembahan dari kampung ke kampung. Malangnya, generasi muda pada hari ini tidak lagi dapat melihat dengan kerap persembahan-persembahan seperti ini. 


Inilah yang mendorong Dr. Marlenny Deenerwan, lebih dikenali sebagai Lenny Erwan serta kumpulannya, untuk membawa perubahan kepada situasi ini. Dilatih sejak 1998 oleh gurunya yang juga Tokoh Bangsawan, Abdul Bakar (Rahman B.) di Akademi Seni Kebangsaan (kini ASWARA), beliau telah meneruskan latihannya dengan menyertai Persatuan Bangsawan Bintang Timur. Sehingga kini, beliau telah menulis 10 skrip Bangsawan, mengarahkan lima daripadanya, serta merupakan pengasas bersama kumpulan Bangsawan Opera Sri Bandaraya di bawah naungan DBKL dan juga kumpulan kesenian Mekar Budaya. 


Lenny juga telah membantu dalam membangunkan silibus Penulisan Skrip Bangsawan di UiTM. Sebagai pelajar dan pengamal yang menghargai sejarah serta bentuk asal Bangsawan melalui proses latihan formal dan tidak formal, ia telah menumbuhkan hasrat beliau untuk melanjutkan pengajian PhDnya dalam bidang Bangsawan. 

“Bangsawan terpaksa berjuang untuk mendapat tempat dalam kalangan golongan muda ketika kumpulan teater yang lain giat mementaskan drama moden dan kontemporari yang mana hasil karya mereka jauh meninggalkan Bangsawan. Oleh itu, karya Bangsawan semakin dilupakan dan hanya dipersembahkan untuk mempertahankan tradisi tanpa sebarang fungsi khusus dalam memenuhi permintaan kontemporari,” kata Lenny, pengarah dan penulis skrip “Hikayat Si Miskin Menjadi Raja”. 

Pertunjukan ini bukan sahaja sekadar meraikan teater Bangsawan tetapi paling penting, persembahan ini adalah penghormatan kepada gurunya, Rahman B, seorang legenda dan pengamal terakhir yang masih hidup dari generasinya. Naskhah “Hikayat Si Miskin Menjadi Raja” merupakan sebuah inspirasi daripada novel “Anak Raja dan Anak Papa” tulisan Pendeta Zaaba (1958), yang diadaptasi daripada “The Prince and The Pauper” karya Mark Twain (1881). Zainariah Johari, 


Ketua, Kesenian dan Ruang Awam di Yayasan Hasanah berkata, “Teater Bangsawan yang sarat dengan nilai murni adalah antara bentuk seni hiburan terawal di Tanah Melayu dan kami berbangga dapat menyokong usaha seperti ini menerusi platform ArtsFAS (Arts for all Seasons) atau Seni Sepanjang Musim, sebuah inisiatif oleh Yayasan Hasanah. Ia selari dengan tujuan ArtsFAS untuk mengetengahkan dan memelihara warisan seni dan budaya Malaysia, di samping mendidik generasi muda akan khazanah seni tanah air kita. Di samping itu, kehadiran Tokoh Bangsawan Rahman B dalam pementasan ini semestinya membawa erti yang besar kepada usaha kami. The Actors Studio adalah antara 21 penggiat seni yang disokong tahun ini, sekaligus menjana kira-kira 1,355 peluang pekerjaan di bawah platform ArtsFAS.” 

Lenny juga berkata, “Tirai merupakan antara aspek terpenting dalam teater Bangsawan yang juga turut dikenali sebagai drama tirai. Kami merancang untuk menghidupkan kembali kaedah klasik penggunaan tirai yang pernah digunakan oleh kumpulan Bangsawan bergerak zaman dahulu, seperti mana yang pernah disebut oleh Rahman B. ketika saya menemu bual beliau untuk penyelidikan PhD saya, kali ini dengan sentuhan kontemporari yang akan memberi kesan kepada cara pertukaran set dan juga persembahan extra-turn. Penonton boleh menjangkakan sebuah cerita klasik dengan nuansa kontemporari dan inovasi, dalam masa yang sama masih menghormati nilai teras teater Bangsawan”. 


Pertunjukan Bangsawan ini menghimpunkan hampir 60 anggota produksi yang mana 26 daripadanya adalah pasukan kreatif termasuk Lenny Erwan, Penolong Pengarah / Jurulatih Lakon Adie Yusoff, Pengarah Muzik Ayop Azril, Koreografer Dikwan, Sinografer Yusman Mokhtar, Pereka Tirai / Multimedia Azim Halim, Pereka Set Along Hazirin, Pereka Cahaya Nawfal Zamri dan Pengurus Solekan & Tatarias Farid Hakimie. Seramai 15 pelakon telah menjalani latihan sejak 4 Oktober 2021. Mereka terdiri daripada Faez Malek, Mior Ahmad, Dekna Sheikh Faisal, Eijat Ashari, Noor Jannah, Zafran Hisham, Syafiq Ahmad, Griffin Robert, Sam Aziz, Jai Ijol, Atiqah Abu Bakar, Azwan Ahmadi, Iqtiman Azmi, Ash dan Nan Rozlan termasuk enam orang penari, lima pemuzik dan seorang penyanyi. 

Bukan setiap hari kita berpeluang untuk mengimbas kembali zaman kegemilangan Bangsawan, lengkap dengan penampilan watak dan kostum yang berwarna-warni, muzik secara langsung, tarian dan unsur komedi. Teater sebegini adalah sebuah pakej yang harus ditonton sekurang-kurangnya sekali dalam seumur hidup anda! 


Tiket berharga dari RM30 - RM60 boleh dibeli secara atas talian sahaja melalui https://www.cloudtix.co/. Untuk makluman lanjut, hubungi 03 4047 9000 atau WhatsApp +6018 227 7212. Jualan menerusi telefon dan atas kaunter tidak dibenarkan. Syarat-syarat kemasukan merangkumi individu yang telah menerima dua dos lengkap vaksin, berumur 18 tahun dan ke atas serta dengan status kesihatan yang dibenarkan dalam MySejahtera. 

Untuk panduan Covid-19 & SOP terkini, tekan pautan http://bit.ly/klpac_covid19_updates. Setiap tiket yang dijual akan disalurkan ke tabung klpac dan The Actors Studio. Orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan derma menerusi pautan https://www.klpac.org/donations/.

Comments

Popular posts from this blog

IQIYI MEMPERSEMBAHKAN DRAMA BERSIRI TERBAHARU ‘SENYAWA’ LAKONAN MANTAP TRISHA OOI, SHAHZ JASZLE & SITI HARIESA

NESTLÉ MALAYSIA DAN BSMM BERGANDING BAHU MEMBANTU PENDUDUK TERJEJAS BANJIR : 5,000 KOTAK BARANGAN MAKANAN ASAS DISEDIAKAN BARISAN SUKARELAWAN

APAKAH RISIKO MAKANAN DIPROSES BERLEBIHAN YANG WAJIB DIKETAHUI?