KEDUTAAN BESAR REPUBLIK KOREA ANJUR FESTIVAL FILEM KOREA 2021

Minari

Dengan harapan agar Malaysia pulih dan maju pasca pandemik ini, Kedutaan Republik Korea dengan bangganya mengumumkan Festival Filem Korea (KFF) 2021 yang akan dianjurkan mulai 2 hingga 5 Disember 2021 di GSC Mid Valley Megamall.

Filem-filem yang dipersembahkan untuk edisi kali ini adalah merangkumi pelbagai genre serta mengetengahkan kepelbagaian budaya perfileman Korea. Apa yang membezakan festival kali ini berbanding sebelumnya adalah semua filem telah dipilih secara terperinci oleh Kedutaan Korea daripada beberapa genre. 

Filem-filem tersebut adalah:

"Minari (2020)" yang telah memenangi salah sebuah kategori Academy Awards daripada enam pencalonan, April lalu. Filem bergenre drama ini telah menarik jutaan penonton di Korea berkisarkan kehidupan sebuah keluarga Korea-Amerika yang berpindah ke sebuah ladang di Arkansas dalam usaha mereka mengejar impian Amerika tersendiri. Kedatangan nenek mereka yang licik, bermulut lantang tetapi penyayang telah mengubah kediaman keluarga ini. Minari memperlihatkan keteguhan keluarga ini walaupun pelbagai drama dan cabaran harus diharungi dalam kehidupan serba baharu di kawasan pergunungan rendah ini.

Filem kedua bertajuk "Seobok (2021)" ialah filem yang menggabungkan genre aksi, sains fiksyen dan thriller. Ki Heon (Gong Yoo), bekas ejen perisikan yang sakit ditugaskan untuk mengangkut Seo Bok (Bo-gum), klon seorang manusia yang pertama. Disebabkan klon ini memiliki kunci kepada kehidupan abadi, semua orang mengejarnya untuk merebut kunci tersebut. Untuk mengelakkan mereka yang berniat jahat berjaya mendapatkan kunci tersebut, Ki Heon yang sedang bertarung nyawa dengan kesakitannya akan melakukan apa saja untuk melindungi klon tersebut.

Filem terakhir iaitu "The Hypnosis (2021)" ialah filem bergenre seram dan thriller. Ianya mengisahkan tentang Do-hyun (David LEE), seorang pelajar jurusan Bahasa Inggeris yang menikmati kehidupan kolej. Pada satu hari, Profesor YEO (SEO Yi-sook) meminta Do-hyun untuk membantu seorang pelajar baharu berpindah yang sedang menjalani rawatan psikologi. Berikutan itu, Do-hyun menemui Profesor CHOI (SON Byung-ho) dan menjalani hipnosis. Selepas bangun daripada sesi hipnosis, Do-hyun mula didatangi bayangan memori yang tidak diketahui. Pada masa yang sama, rakan-rakannya juga mengalami beberapa peristiwa dan halusinasi yang pelik.

Penggemar filem boleh menonton ketiga-tiga filem ini di GSC Mid Valley mulai 2 hingga 5 Disember 2021.



Selain Festival Filem Korea, Kedutaan juga menyediakan beberapa aktiviti tambahan yang merangkumi permainan tradisional Korea dan Malaysia kepada orang ramai, terutamanya kepada mereka yang datang menonton filem-filem KFF ini.

Semua tayangan filem ini dimainkan secara percuma dan terbuka kepada orang ramai. Untuk menebus tiket percuma beserta set bertih jagung dan minuman GSC secara percuma, sila ke kaunter e-bayaran GSC melalui aplikasi mudah alih atau laman web, atau ke e-kiosk GSC di GSC Mid Valley untuk memilih filem KFF pilihan anda.

Penebusan bermula pada 29 November mulai jam 12 tengah hari dan ke atas dan ianya berdasarkan “siapa cepat, dia dapat” sehingga semua tiket habis ditebus.

Untuk jadual dan butiran lengkap semua filem tersebut, sila log masuk ke www.facebook.com/koremy.eng dan www.gsc.com.my.

Comments

Popular posts from this blog

"CHECK, CONFIRM, CONSULT AND CHANGE" UNTUK MEMERANGI PRADIABETES

SERTAI KEMERIAHAN ’HELLO NU SENTRAL’ BERSAMA BINTANG TERHEBAT TEMPATAN PADA 27 APRIL INI!

COMBAT BAZE MEMBAWA PENGALAMAN REKREASI PENUH AKSI DI MALAYSIA